Saturday, January 11, 2014

Juruterbang pesawat Cessna sempat hubungi TUDM sebelum hilang

KUALA LUMPUR: Juruterbang pesawat Cessna 172 dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) yang dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini petang semalam, berjaya menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memaklumkan lokasi.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata juruterbang itu, yang hanya dikenali sebagai Kapten Saiful, telah menyatakan bahawa beliau berada di kawasan bukit bertentangan dengan Empangan Batu.
Kapten Saiful juga sempat memaklumkan bahawa beliau tidak dapat mengesan dua lagi rakannya yang bersama dengannya dalam penerbangann latihan itu sebelum panggilannya kepada TUDM terputus dipercayai berpunca daripada kehabisan bateri telefon, katanya kepada Bernama awal pagi ini.
Abdul Rahim berkata pihaknya difahamkan Kapten Saiful dan dua lagi, yang memulakan latihan penerbangan pada jam 4.50 petang, telah tidak dapat dihubungi melalui komunikasi radio oleh menara kawalan DCA pada pukul 5.15 petang semalam di kawasan sekitar Batu Caves dan Rawang.
"Pesawat itu sepatutnya pulang ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur dalam masa dua jam. Sehingga kini pesawat tersebut tidak dapat dihubungi," katanya.
Beliau berkata maklumat lengkap mengenai ketiga-tiga orang yang menjalani latihan penerbangan dari KPDS itu, masih belum diketahui.
Operasi mencari dan menyelamat yang telah dijalankan sebaik mendapat maklumat petang tadi telah ditangguhkan pada 7 malam semalam dan akan dimulakan semula pada 7 pagi ini oleh pasukan TUDM, polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata pihaknya dimaklumkan pesawat berkenaan membawa tiga orang.
Pesawat terbabit dipercayai berada di kawasan sekitar Empangan Batu, Hulu Yam, katanya.
"Kami bersama DCA dan bomba sedang melakukan pemantauan di kawasan tersebut," katanya kepada Bernama.
Menurut Abdul Rahim, operasi mengesan pesawat itu akan dijalankan pukul 7 pagi esok. - Bernama

No comments:

Post a Comment