Friday, January 10, 2014

Presiden Morsi dipukul dalam tahanan?


KAHERAH: Kegusaran rakyat Mesir terhadap tahap keselamatan Presiden yang digulingkan, Dr Mohammad Morsi terjawab apabila beberapa portal berita membuat pendedahan yang mengejutkan.

Morsi yang sepatutnya dibicarakan 8 Januari lepas, bagaimanapun tidak dibawa ke mahkamah, tanpa sebarang makluman dari pihak kerajaan.

Semalam portal berita ansarportsaid.net melaporkan Presiden Mesir itu cedera teruk akibat dipukul empat anggota majlis tertinggi tentera.

Portal tersebut mendedahkan bahawa, Morsi dipukul anggota majlis tertinggi tentera kerana beliau menolak tawaran damai mereka.

Empat anggota tertinggi majlis tentera tersebut menawarkan penyelesaian damai dengan mengembalikan Morsi sebagai Presiden Mesir.

Bagaimanapun mereka memberikan syarat supaya Morsi tidak mengambil sebarang tindakan kepada anggota tentera yang terbabit di dalam rampasan kuasa.

Apabila Morsi menolak tawaran mereka sambil menegaskan bahawa merekalah yang mula-mula harus dihukum kerana terbabit dalam pembunuhan ribuan rakyat yang tidak berdosa, khususnya di Medan Rabaah.

Akibat daripada pertengkaran tersebut, mereka memukul Morsi tanpa belas ihsan sehingga menyebabkan Presiden yang sah dipilih oleh rakyat itu mengalami kecederaan yang teruk.

Pihak tentera terpaksa menangguhkan perbicaraan kerana bimbang jika Morsi dibawa ke mahkamah dalam keadaan yang teruk akibat dipukul, ia akan membangkitkan amarah rakyat Mesir.

Sementara itu, media melaporkan 26 orang mahasiswa Universiti al-Azhar dekat sini, dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun enam bulan.

Mahkamah kudeta di bandar Nasr (Madinat Nasr) yang bersidang 9 Januari lepas, menjatuhkan hukuman tersebut kerana mendakwa mereka terlibat dalam demo aman menentang rampasan kuasa.

Mahkamah bersidang secara tertutup tanpa dihadiri wartawan dan wakil media.

Dalam perkembangan yang berkaitan, TV al-Hiwar memetik kenyataan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Dr Ibrahim Munir dari London yang menghuraikan kebimbangan kebanyakan negara Eropah terhadap apa yang berlaku di Mesir.

Menurut beliau, Eropah berasa amat bimbang dengan kegagalan kudeta tentera yang sering mengambil tindakan keras terhadap rakyat Mesir yang boleh mendorong kepada kebangkitan bersenjata rakyat, khususnya dari golongan anak muda.

Untuk rekod, sejak Presiden Morsi digulingkan, para pendokong Ikhwanul Muslimin tidak pernah bangkit dengan kekerasan, mereka menolak penggunaan senjata, walaupun ribuan anggota mereka dibunuh kejam di Medan Rabaah dan di Istana Presiden.

"Jika kebangkitan bersenjata berlaku, ini suatu yang cukup bahaya kepada Eropah kerana mereka punyai banyak kepentingan di Mesir.

"Ianya juga akan memungkinkan penghijrahan beramai-ramai rakyat Mesir di sempadan (menerusi Laut Mediterranean) ke Eropah," kata beliau.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment