Sunday, January 5, 2014

Haram Ikhwan Muslimin: Petanda Islam menang makin hampir

Di dalam tulisan sebelum ini saya telah menjelaskan antara sebab utama Kudeta yang berlaku di Mesir ialah kerana faktor sejarah politiknya yang menjadi nadi kebangkitan umat Islam ketika berada di saat genting.

Apabila gerakan Ikhwan Muslimin yang bertapak di Mesir sejak sembilan dekad yang lalu menjadi penggerak utama kepada kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia Islam, ini mestilah dibendung supaya kepentingan Zionis di negara haram Israel terus terpelihara dengan menggunakan kuasa-kuasa Barat sejak di zaman British sehinggalah Soviet Union dan Amerika Syarikat.

Mimpi ngeri yang pernah diucapkan oleh Ehud Barak, bekas Perdana Menteri Israel lebih dua dekad yang lalu kini menjadi kenyataan; beliau pernah menyebut setelah kejatuhan Soviet Union, bahaya kepada dunia bukan lagi bahaya merah tetapi bahaya hijau, yang dimaksudkan dengan bahaya hijau ialah kebangkitan Islam khususnya gerakan yang mahu mengembalikan Islam di tampuk pemerintahan.

Perkembangan yang berlaku ini adalah manifestasi kepada Islamophobia yang melanda dunia Barat pasca peristiwa 11September. Fenomena Islamophobia bertukar menjadi Gerakan Islamophobia; Barat cuba menakutkan umum bahayanya Gerakan Islam dengan menggunakan berbagai cara untuk menyekat kemaraannya.

Adakala dikaitkan dengan gerakan pengganas, lebih kerap lagi melabelkannya sebagai golongan yang anti kebebasan dan mahu melaksanakan hukum syariah yang disifatkan sebagai menggundur kebelakang, kejam dan ekstrem.

Strategi menggunakan boneka di negara-negara umat Islam menjadi senjata makan tuan. Satu persatu kerajaan yang berkiblatkan Barat tumbang. Sepatutnya Barat mengambil pendekatan terbuka dengan memberikan peluang kepada Gerakan Islam memerintah dengan stabil bukannya menjadi talang dua muka.

Di saat Barat melaungkan dukungannya kepada demokrasi tetapi redha dengan Kudeta di Mesir dan pelanggaran hak-hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak tentera dan konco-konconya. Baginya kepentingan Israel dan pihak Barat lebih diberikan keutamaan daripada beratus nyawa yang gugur di medan Raabi'ah.

Ramai sudah menjangka Ikhwan Muslimin akan diharamkan dan ini bukanlah kali pertama ianya diharamkan bahkan kebanyakan masanya bergerak secara senyap di bawah tanah.

Di zaman Jamal Abdul Naseer gerakan Ikhwan Muslimin dituduh menjadi dalang perancangan membunuhnya, perancangan yang akhirnya didedahkan oleh pengikut-pengikut setianya adalah lakonan semata-mata untuk menaikkan imej beliau di mata rakyat.

Natijah daripadanya ratusan ahli Ikhwan Muslimin yang diseksa dengan begitu dahsyat, ada antaranya yang digantung kakinya dan diseksa supaya mengaku melakukan perancangan lakonan ini.

Di zaman Anwar Sadat walaupun peranan Ikhwan Muslimin sangat besar di dalam perang menentang pengganas Israel khususnya perang Ramadhan atau Oktober yang menyaksikan kekalahan teruk tentera Israel di bawah pimpinan Jeneral Sa'duddin Syazzili. Akan tetapi jasa Ikhwan Muslimin dibalas dengan tekanan dan pengharaman Ikhwan Muslimin, semata-mata tidak mahu gerakan ini menggugat kuasa pemerintahan tentera.

Dengan termeterainya perjanjian Camp David mengukuhkan lagi kedudukan tentera hasil daripada perancangan Barat khususnya Amerika Syarikat. Antara isi perjanjian ini tentera AS akan melatih tentera Mesir secara tetap, mereka yang terpilih sahaja yang dihantar antaranya General Abdul Fattah As-Sisi.

Sekarang ini peranan beliau pula untuk berdepan dengan Ikhwan Muslimin, sekali lagi gerakan ini diharamkan dan lebih daripada itu lagi meletakkannya di dalam senarai kumpulan pengganas dengan alasan ianya terlibat di dalam beberapa siri serangan bersenjata dan bom yang mengorbankan sebilangan anggota keselamatan dan orang awam.

Pihak Ikhwan Muslimin menafikan dengan sekeras-kerasnya dan menegaskan bahawa wasilah perjuangannya ialah dengan cara aman bukannya kekerasan. Tindakan yang diambil seperti skrip yang sudah diatur.

Sehingga hari ini siri-siri kekacauan termasuklah serangan bom terus dilaporkan oleh media-media pro Kudeta dan semua tuduhan ditujukan terhadap Ikhwan Muslimin. Pepatah arab ada menyebut yang bermaksud; ' Dia memukul aku dan dia yang mengadu dipukul'. Inilah realiti yang sedang berlaku di bumi Mesir, pihak Kudeta yang menuduh Ikhwan Muslimin sebagai pengganas merekalah sebenarnya pengganas yang membunuh rakyat sendiri, menangkap, memenjara, menakut dan menyeksa lalu mengadu mereka dituduh sebagai pengganas.

Pertembungan yang berlaku sekarang ialah antara pihak yang menyokong kudeta dan rakyat yang mahukan kepada perubahan, bukannya antara kerajaan dan Ikhwan Muslimin. Kenapa Ikhwan Muslimin begitu ditakuti? Adakah pemimpinnya penjenayah yang membunuh dan merompak harta benda awam ?
Ikhwan Muslimin adalah gerakan tajdid dan islah yang berjuang untuk mengembalikan umat Islam supaya berpegang dengan ajaran Islam yang syumul merangkumi kesemua aspek daripada ibadah sehinggalah kepada pemerintahan negara.

Pendekatannya ialah dengan jalan aman melalui sistem demokrasi pilihanraya walaupun dengan menggunakan pelbagai nama-nama parti, yang terakhir dengan nama FJP (Freedom and Justice Party) yang memperoleh kemenangan besar dalam pilihanraya yang lepas sehingga berjaya menghantar ahlinya, Mohammed Mursi menjadi presiden pertama yang dipilih dengan demokrasi pilihanraya yang telus.

Inilah kesalahannya sehingga ianya dikenakan tindakan sebegitu rupa. Ikhwan Muslimin bergerak bersama nadi rakyat yang dihimpit dengan sistem yang zalim dan kejam. Kerja-kerja da'wah, pendidikan dan kebajikan adalah intipati gerakannya.

Ikhwan Muslimin telah melalui mehnah yang sangat dahsyat di sepanjang sejarahnya. Ramai pemimpinnya yang dibunuh samaada dengan cara assasin seperti pengasasnya As-Syahid Imam Hasan Al-Banna atau dihukum gantung sampai mati seperti As-Syahid Syed Qutb, As-Syahid Abdul Qadir Awdah dan ramai lagi.

Ribuan ahlinya dipenjarakan dan diseksa semenjak dari zaman Jamal Abdul Naseer sehinggalah zaman Husni Mubarak. Ribuan lagi yang terpaksa hidup di dalam buangan, berhijrah di serata dunia.

Walaupun melalui mehnah yang begitu dahsyat, ianya sedikit pun tidak mengurangkan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir bahkan sokongan rakyat kepadanya makin bertambah. Pihak kerajaan Kudeta serba salah berdepan dengan situasi ini kerana sokongan yang didambakan daripada rakyat tidak seberapa.

Sehingga kini sebilangan besar pimpinan Ikhwan Muslimin dipenjarakan dan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan yang direka-rekakan dan ratusan lagi ahli-ahlinya yang ditahan. Presiden Mohammad Mursi yang masih berada di dalam tahanan diubah tuduhan ke atasnya dengan dikaitkan tuduhan jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman mati.

Saya sangat yakin mehnah yang dilalui oleh Ikhwan Muslimin akan dapat ditempohi dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. Barangkali mehnah ini adalah petanda kemenangan yang lebih besar umpama ibu yang kesakitan untuk melahirkan anak, setelah anak dilahirkan terserlahlah kegembiraan.

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment