Written by Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Madinah sebelum kedatangan Rasulullah adalah sebuah Negara yang tidak dikenali oleh masyarakat dunia. Namun, selepas hijrahnya Nabi SAW, Negara Madinah mula dikenali sebagai negeri yang diutuskan Nabi akhir zaman. Bahkan Negara Islam Madinah menjadi sebuah Negara yang digeruni oleh musuh dan dihormati oleh kawan.
Masyarakat madinah sebelum kedatangan Islam ialah masyarakat yang berpecah belah di atas dasar kabilah-kabilah (puak-puak). Ekonominya pula dimonopoli oleh bangsa yahudi yang mengamalkan sistem riba yang mengakibatkan masyarakat Madinah berada dalam keadaan tertindas. Ini menjadikan masyarakat Madinah dalam keadaan terumbang ambing tanpa kemajuan.
Apabila hijrahnya Nabi ke kota Madinah, Nabi telah menyatukan antara kabilah (puak) Aus dan Khazraj yang dinamakan golongan Ansar. Dan Nabi menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin yang datang dari bumi Mekah. Penyatuan ini dilakukan atas nama Islam yang dapat dilihat dengan terbinanya Masjid Nabi sejurus selepas Nabi sampai di bumi ini.
Pembangunan ekonomi juga dijalankan dengan terbangunnya pasar Madinah yang baru menggantikan pasar yang sedia ada yang telah dimonopoli oleh bangsaYahudi. Berasaskan kepada kekuatan keadilan dalam ekonomi dan perniagaan, pasar Madinah yang dibina oleh Nabi terus membangun sehingga meruntuhkan pasar Yahudi yang penuh dengan penipuan.
Ini antara contoh pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh baginda di kota Madinah yang berteraskan kepada agenda pembangunan manusia. Kesemua pembaharuan inimenarik perhatian masyarakat dunia dalam masa yang sama menggerunkan golongan pemimpin-pemimpin yang zalim.
Islam datang dengan pakej yang lengkap untuk pembangunan negara. Dalam menangani isu jenayah yang semakin berleluasa. Kanun Jenayah Hudud, Qisas dan Ta'zir menjadi penyelesai yang terbaik bahkan telah dibuktikan keberkesanannya. Dalam menangani isu pembangunan ekonomi negara, Islam datang dengan pakej pembangunan ekonomi yang lengkap samada dari sudut cara mendapatkan kewangan dan keutamaanya dalam membelanjakan kewangan negara. Ini belum termasuk sistem pembinaan manusia dan pembanguan masyarakat yang berasaskan kepada pembangunan dalaman manusia.
Berdasarkan kepada laporan audit negara, kewangan negara banyak dibazirkan dengan ketirisan yang dialasankan dengan kecuaian. Pemimpin negara hidup dalam keadaan kemewahan dan pembaziran sedangkan terdapat rakyat yang berada dalam kesusahan. Kos sara hidup meningkat yang mungkin membawa kepada peningkatn jenayah seperti mencuri, merompak sehingga membunuh.
Isu jenayah semakin berluasa sehingga menjadikan rakyat berada dalam keadaan tidak selamat. Pembunuhan, kecurian, rompakan semakin hari semakin bertambah. Ini menjadikan sistem-sistem yang ada dalam Islam semakin relevan untuk dilaksanakan sebagai penyelesai kepada permasalahan yang berlaku.
PAS sebagai sebuah gerakan Islam yakin dan percaya sebagaimana Nabi berjaya membangunkan Madinah dengan Islam. Malaysia juga pasti berjaya dan membangun apabila Islam dijadikan asas dalam membangunkan Negara.
Marilah sama-sama kita berjuang untuk mengembalikan sistem-sistem yang ada dalam Islam untuk digunapakai secara menyeluruh demi menyelamatan Negara
No comments:
Post a Comment