Kenali tokoh ulama' kite..
 SYED ABDUL RAHMAN (TOKKU PALOH)
 PROFIL****
 Nama sebenar   = Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus.
 Pangkat            = Qutubul Ghaus (tiap 100 tahun seorang)(sumber dari guru)
 Asal                 = Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu.
 Tahun lahir       = 1817
 Tahun wafat     = 1917 (usia 100 tahun)
 Sumbangan      = Ulama besar Terengganu pada abad ke-19.
 Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad 
Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang. 
ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus 
atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh 
keramat serta sangat ditakuti penjajah. Diceritakan pada suatu ketika, 
British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal 
Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar 
tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.
 Baginda
 menyebut, “Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan 
tuannya terlebih dulu,” yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah
 orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan. Mendengar 
jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian 
bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan 
bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu 
dibawa balik ke negeri mereka.
 “Kalau untuk mencampuri urusan 
pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi 
kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana 
yang pihak British mahu, ambillah tanah,” demikianlah jawapan ulama 
besar itu. Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit 
hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi
 yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi 
yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.
 Lalu Tokku 
Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi 
kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?” sekali gus menyebabkan British 
beredar dengan perasaan malu. Selepas peristiwa itu, British cuba 
berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang 
mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara 
psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu
 menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.
 Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu 
mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau 
naik. Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku
 Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah
 juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke 
kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak 
British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.
 
Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan 
Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga
 pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu
 menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih 
hidup. Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama 
besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di 
Terengganu.
 Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III 
dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di 
Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat 
jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk 
Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Peristiwa itu berlaku apabila pasukan 
pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah 
diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera 
penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.
 Keadaan 
tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan 
menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, 
mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh. Hasil 
perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang
 terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad 
menentang penjajah British di Pahang.
 Walaupun dikenali sebagai 
ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan 
diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat 
Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal. 
Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik 
menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk 
berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.
      Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala 
Terengganu. Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri 
iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain 
beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu
 agama dan menimba pengalaman. Sekembalinya dari Makkah selepas 
kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di 
masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum 
membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri. 
 Tokku Paloh 
memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan 
sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan 
turut mengamal serta mengembangkan amalan Syahadat Tokku iaitu satu 
amalan yang disusun oleh bapanya. Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap
 dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III 
untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu 
Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.
      Dalam 
usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan 
maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan 
penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai Budak Raja. Pasukan Budak
 Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada
 hari ini. Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat
 terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari 
tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala.
 Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan 
masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik 
berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada 
keesokan hari. Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk 
mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya. 
 Usaha beliau itu 
mendapat perkenan daripada pihak istana. Hubungan rapat antara Tokku 
Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya
 iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku 
Paloh. Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak 
ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.
 Tokku Paloh 
meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 
tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 
November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan 
berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.

 
No comments:
Post a Comment