Tuesday, December 22, 2015

Cadangan Balas Kepada Datuk Hishamuddin Hussein

Datuk Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat
Media memetik Naib Presiden UMNO Datuk Hishamuddin Hussein bahawa tugas memulihkan imej Islam harus diberi keutamaan.
Pada dasarnya, saya setuju dengan cadangan tersebut. Memperbaiki imej Islam bukan pada gaya pakaian atau negara tertentu. Tetapi ianya turut melibatkan penghayatan ajaran Islam dalam pelbagai bidang.
Maka di sini, saya mencadangkan kepada Umno sebagai kerajaan memerintah untuk melaksanakan beberapa perkara berikut sebagai mengambil langkah pertama untuk memperbaiki nama Malaysia dan Islam.

1. Meminta Presiden Umno bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB. Ini penting untuk memulihkan nama baik Presiden Umno, Malaysia dan juga Islam kerana siasatan perlu akan kelihatan adil sebelum keadilan dapat dilakukan.

2. Menghapuskan GST. Cukai ini bertentangan dengan Islam kerana orang fakir miskin turut dipaksa bayar cukai.

3. Mengurangkan pembaziran dan salahguna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

4. Mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hidup berjimat kementerian seperti yang terpaksa dilakukan rakyat dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga minyak dan juga kenaikan kos hidup yang semakin meruncing.

5. Menyiasat Yapiem dengan telus dan terbuka dan memastikan mereka yang didapati menyeleweng dana Yapiem dibawa ke muka keadilan.

6. Berhenti menganiaya Kelantan dan memulangkan royalti minyak dengan kadar segera.
Semua perkara ini boleh dilakukan UMNO tanpa PAS, sebagai langkah UMNO menunjukkan kepada rakyat, terutamanya mereka yang beragama Islam, kesungguhannya untuk mendaulatkan Islam.
PAS pula akan meneruskan kerja dakwahnya agar rakyat dapat turut bersama memperjuangkan Islam sebagai Ad-deen dalam pentadbiran negara dan kehidupan rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
21 Disember 2015

No comments:

Post a Comment