Saturday, December 5, 2015

Mat Sabu Jurucakap DAP

Kenyataan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan IS adalah strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap sebagai musuh nombor satu DAP.
Mengikut sumber dalaman, kenyataan ini sebenarnya tidak dipersetujui oleh sebahagian besar pimpinan utama PAN. Dan Mat Sabu membuat kenyataan ini tanpa merujuk dan mendapat restu mereka.

Ketika ini, Mat Sabu dilihat lebih mementingkan survival politiknya sendiri berbanding PAN yang dia sendiri sudah sedar telah kehilangan 'steam' dan momentum setelah hanya beberapa bulan ditubuhkan. Walaupun majoriti pengundi Cina menyokong DAP tetapi masih terdapat sebahagian mereka yang masih menyokong PAS.

DAP di bawah Lim Guan Eng mahukan dominasi total ke atas pengundi Cina apatah lagi dalam suasana menghadapi pilihan raya negeri Sarawak. Oleh itu, Mat Sabu cuba mengaitkan PAS dengan IS untuk menakutkan pengundi Cina.

Khabarnya, Mat Sabu juga sudah mendapat jaminan Lim Guan Eng untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam PRU ke-14 akan datang sama ada di bawah simbol PAN atau DAP.

Ini kerana Mat Sabu sedar bahawa kedudukannya sebagai Presiden PAN goyah kerana pengaruh kumpulan Islamis Ikram, Alami dan lain-lain mula meresap dalam PAN dan golongan ini tidak senang dengan Mat Sabu yang mempunyai latarbelakang yang diketahui umum.

Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah untuk menjadi alat atau jurucakap DAP apalagi persepsi umum sudah melihat PAN tidak lebih dari proksi DAP.

Oleh itu, walaupun tuduhan itu berniat jahat tapi provokasi itu tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana rakyat dan masyarakat umum sudah memahami pendirian PAS. Sebaliknya ia akan mengesahkan pandangan rakyat bahawa PAN dan Mat Sabu adalah proksi DAP sebagai satu realiti bukan lagi sekadar satu persepsi. -HARAKAHDAILY 5/12/201

Datuk Mustafa Ali
Pengarah Pilihan raya PAS Pusat
5 Disember 2015

No comments:

Post a Comment