Saturday, September 14, 2013

Ranking jatuh: UiTM tidak kejar kedudukan, kata Naib Canselor


Oleh Hasbullah Awang Chik


Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar hari ini berkata, UiTM tidak mengejar kedudukan apabila mengulas kedudukannya di tangga 701 universiti terbaik dunia berbanding kedudukan 601 pada tahun lalu.
Beliau berkata, UiTM tidak pernah meminta untuk dinilai bagi berada dalam kedudukan itu dan salah satu faktor yang diambil kira adalah bilangan pelajar antarabangsa menjadikan UiTM kurang daripada segi pemarkahan.
"Kita tidak mempunyai pelajar antarabangsa dan peluang diberi seluas-luasnya kepada hampir 200,000 pelajar yang kini menuntut di UiTM.
"Universiti lain yang tersenarai hanya ada 20,000 pelajar. Mana boleh disamakan dengan kita. UiTM ada program diploma dan pensyarahnya pula kebanyakan berkelayakan sarjana sahaja.
“Bilangan pensyarah kelulusan sarjana lebih tinggi daripada doktor falsafah, itu sebabnya dikurangkan markah. Tujuan kita jelas mahu meramaikan kakitangan separa profesional.
"Kita tidak sama seperti universiti lain yang mengejar kedudukan. UiTM bukan universiti penyelidikan tetapi masih ada dalam kedudukan.
"Banyak universiti lain tidak berada dalam kedudukan, bermakna UiTM hebatlah boleh sama dengan universiti penyelidikan," katanya ketika ditemui di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam hari ini.
Beliau turut menyelar pihak yang memperlekehkan kemerosotan kedudukan universiti itu dan berkata: "Siapa kata ranking kita jatuh, ilmunya kurang.  Apabila ilmu cetek, cakap banyak, orang label kurang pintar. Kaji baik-baik, baru tahu apa bezanya. Orang tidak tahu pasal ranking jangan cakap. Yang boleh cakap pasal ranking, hanya ahli akademik."
Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu menambah bilangan pelajar UiTM kepada 250,000 orang, beliau berkata, ini satu cabaran besar untuk menggiatkan usaha dalam penambahan pelajar kerana jumlah pelajar buat masa ini mencecah 200,000 orang.
Katanya, dengan pengumuman Perdana Menteri itu, pertambahan pelajar dapat dilakukan secara rasmi dan peruntukan kerajaan juga dapat disesuaikan dengan pertambahan pelajar.
"Tenaga mengajar tidak menjadi masalah di UiTM kerana kami ke arah pembelajaran maya tetapi yang menjadi isu adalah keselesaan pelajar disebabkan pertambahan itu.
"Kualiti pelajar tidak perlu dipertikaikan kerana setiap jabatan di universiti dikawal selia oleh badan profesional. Kejuruteraan dan Perubatan mendapat pengiktirafan untuk lima tahun tetapi universiti terkemuka kerajaan hanya tiga tahun sahaja," katanya.
Sahol turut menyelar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program Destini Anak Bangsa menemui kegagalan.
Katanya, program itu berjaya melahirkan 80 peratus pelajar kurang berkemampuan berjaya di universiti itu.
"Mereka kena ingat asal-usul UiTM. Asalnya memang begitu. Saya pun dari pra diploma tetapi sekarang sudah jadi profesor dan Naib Canselor. Salah ke orang yang masukkan saya dahulu? Orang yang mendakwa seperti ini cemburu dengan kejayaan UiTM dan anak mereka tidak masuk ke universiti ini. Jangan samakan kami dengan universiti lain. Saya dapat surat belambak-lambak ucap terima kasih anak mereka berjaya. Saya tidak umumkan pun," katanya.
Beliau berkata, UiTM wujud kerana Umno dan sekarang Umno juga yang pertahankan UiTM.
“Kesesakan pelajar di kampus utama di Shah Alam dapat dikurangkan selepas pelajar yang terlibat dipindahkan ke kampus cawangan,” katanya. – 14 September, 2013

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment