Thursday, September 12, 2013

Prestasi UM meningkat sejak 5 tahun, kata VC


Naib canselor Universiti Malaya Tan Sri Ghauth Jasmon berkata kedudukan institusi tersebut bertambah baik dalam ranking dunia sejak lima tahun lalu.

Katanya, kedudukan di tangga ke-156 pada tahun lalu adalah pencapaian terbaik universiti tersebut.

Tambahnya, peningkatan dan penurunan dalam ranking dunia adalah normal dan tiada universiti yang dapat terus meningkatkan prestasi, katanya kepada Malaysiakini.

Apa yang penting, universiti tersebut menunjukkan peningkatan secara keseluruhan dalam tempoh berkenaan, tegasnya.

Beliau mengulas prestasi universiti tertua di Malaysia itu yang merosot ke tangga ke-167 dalam senarai dikeluarkan firma Quacquarelly Symonds (QS).

Ghauth berkata institusi berkenaan akan menjalankan usaha bagi memperbaikinya.

Katanya, QS melakukan sedikit perubahan dalam kaedah untuk menilai reputasi akademik universiti dunia – yang didakwa menyumbang kepada kemerosotan ranking UM.

Peningkatan menyeluruh
Prestasi tersebut bagaimanapun menunjukkan peningkatan secara menyeluruh antara 2008 hingga 2013, katanya.
"Untuk makluman semua, kedudukan 156 pada tahun 2012 adalah kedudukan terbaik UM dalam sejarah universiti ini.
"Ada satu ketika dalam masa 8 tahun lepas UM pernah mencatatkan kedudukan ke-89 tetapi itu berlaku sebab terdapat kesilapan dalam data yang dihantar UM kepada QS-THE Ranking pada masa itu," katanya.

Katanya, UM menjalankan usaha untuk memperbaiki prestasi tersebut, antanya:
  • Menjalankan penyelidikan berimpak tinggi secara aktif melalui Geran (HIR) yang diberi oleh Kementerian Pendidikan berjumlah RM590 juta bagi tempoh 5 tahun mulai 2011 sehingga 2015.
  • Keanggotaaan tiga orang Pemenang Hadiah Nobel dan dua orang Felo Terkemuka (bertaraf Highly Cited Researcher) dalam Majlis Penasihat bagi projek HIR.
  • Usaha mencari lebih ramai Academic Icon yang mempunyai latar belakang dan rekod pencapaian penyelidikan yang terkemuka.
  • Usaha membawa masuk seramai 300 orang pelajar yang mempunyai Kepujian Kelas Pertama melalui Program Bright Spark.
  • Kerjasama dengan lebih daripada 300 buah universiti ternama di seluruh dunia, termasuk dari Amerika Selatan dan Afrika. Antaranya dalam bidang Penyelidikan bersama, Pertukaran staf akademik, Joint PhDs dan Pertukaran Pelajar.
Ghauth juga berkata, kemerosotan prestasi UM pada tahun ini adalah kesusutan sebanyak 3.8 peratus dalam pengiraan untuk menilai reputasi akademik.
"Pada tahun ini, pihak QS telah mengubah cara pengiraan reputasi akademik dengan pemberatan dalam ranking mata pelajaran yang memberi impak yang besar terhadap pencapaian UM secara keseluruhannya.
"QS memberitahu pemberatan tersebut adalah bergantung kepada kecemerlangan sesuatu disiplin atau bidang tertentu di dalam sesebuah universiti," kata Ghauth.

Sumber malaysiakini

No comments:

Post a Comment