Beliau berkata, pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai 30 peratus dan golongan tersebut kini masih dalam tempoh transformasi sejak empat dekad lalu.
"Pertama, daya modal insan Bumiputera perlu ditingkatkan dengan menawarkan peluang pekerjaan serta membantu graduan dari segi latihan tambahan melalui peruntukan tambahan kepada Giat Mara dan memperkasa program latihan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kepada dua sesi.
"Graduan Bumiputera yang tidak bekerja akan dipadankan kemahiran mereka selain tambahan yang dianjurkan oleh Skim Latihan 1Malaysia.
"Begitu juga dengan meluaskan program lepasan ijazah bagi menambah bilangan pelajar Bumiputera dalam sektor kritikal dan teknologi terkini," katanya keitka merasmikan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam hari ini.
Empat pendekatan lain yang diumumkan Perdana Menteri adalah memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.
Katanya, bagi memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan diwujudkan dengan menambah 10 bilion unit saham.
"Ekuinas turut dilantik bagi membimbing syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia di bawah Skim Jejak Jaya Bumiputera.
"Yayasan Wakaf Malaysia menjadi enititi wakaf korporat bagi mentadbir hartanah Bumiputera Islam terbiar yang menyebabkan kemerosotan pada harga hartanah.
"Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut diamanahkan mencari lokasi strategik bagi pembangunan ekonomi Bumiputera selain Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan memastikan pertambahan perumahan mampu milik untuk Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.
Di bawah perancangan keempat yang digarislkan Perdana Menteri iaitu memperhebat keusahawanan Bumiputera, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat peruntukan menyediakan pinjaman sebanyak RM300 juta untuk lima tahun.
Katanya, pinjaman yang banyak didominasi oleh kaum wanita itu mensasarkan 500,000 ahli menjelang 2015.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan kepada Tekun sebanyak RM700 juta bagi meningkatkan jumlah peminjam kepada 370,000 orang menjelang 2015.
"Saya mengarahkan syarikat milik kerajaan (GLC) membangunkan vendor berdasarkan meritokrasi Bumiputera dan menjadikan sasaran dan perolehan Bumiputera sebagai penanda aras oleh Ketua Pegawai Eksekutif.
"Skim Usahawan Baru Bumiputera (Superb) memperuntukkan RM100 juta dalam masa tiga tahun dengan geran RM500,000 kepada usahawan baru yang kreatif, berinovasi dan mempunyai potensi untuk masa depan," katanya.
Pendekatan kelima yang digariskan oleh Najib untuk memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap kumpulan Bumiputera adalah dengan mewujudkan unit pembangunan Bumiputera di setiap kementerian dan melindungi agenda Bumiputera.
Katanya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan ditambah bilangan pelajarnya kepada 250,000 orang pelajar menjelang 2020 dengan pertambahan kampus baru. Dana RM1 bilion juga diperuntukkan kepada Mara bagi membangunkan keusahawanan, penyelidikan dan inovasi.
"Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) akan menggantikan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa orang menteri dan pihak yang berkepentingan dalam orgsnisasi ini. Majlis ini akan bermesyuarat sekali sebulan atau lebih jika ada isu penting," katanya.
Najib turut menggesa kaum Bumiputera agar tidak memberi tanggapan negatif terhadap pemerkasaan ekonomi Bumiputera kerana menurutnya program ini bukanlah jalan pintas, mengambil hak atau menafikan milik sesiapa.
Katanya, kerajaan melakukan perkara yang adil dan betul serta tidak bersikap prejudis kepada kaum lain dengan mengagihkan kekayaan negara secara saksama.
"Orang Melayu jangan bimbang, survival Melayu tetap menjadi kutamaaan selagi hayat dikandung badan," katanya mengakhiri ucapan itu. - 14 September, 2013.
Sumber themalaysianinsi
No comments:
Post a Comment