17 APRIL — Di zaman Rasulullah SAW berdakwah dan berjihad,
Islam bukan sahaja menghadapi musuh di kalangan ahli kitab, tetapi juga
dari kalangan mereka yang berilmu berkenaan Islam dan kenabian Muhammad
SAW. Mereka ini juga ikut serta menentang Islam secara terbuka, atau
bersembunyi di belakang kalangan munafiqin (yang berpura-pura Islam)
atau mempengaruhi orang-orang Islam yang lemah imannya.
Kumpulan ini sanggup menentang Islam kerana terlalu terpengaruh
dengan harta dan pangkat yang mudah dicapai. Mereka ini bersedia
melakukan apa sahaja yang terdekat dan cepat tanpa memikirkan akibatnya.
Walau pun mereka percaya benarnya Islam dan mulianya Rasulullah SAW
dengan sifat yang terpuji dan akhlak yang luhur, tetapi kemenangan Islam
dianggap payah dan mungkin mustahil . Apatah lagi mereka memikirkan
bahawa akhirat terlalu jauh, lalu memilih jalan yang mudah, dekat dan
tidak mencabar.
Kalaulah seorang tokoh seperti Rasulullah SAW pun menghadapi jenis
manusia yang begitu rupa, maka di zaman umat yang menyambung
perjuangannya tentulah lebih banyak lagi, mungkin dengan cara dan sifat
yang berlainan.
Di zaman penjajah pula digunakan para ulama yang mencari kebendaan
dan pangkat untuk menentang jamaah Islam yang menentangnya. Penjajah ini
mengambil langkah menghapuskan ulama yang berpolitik, dan membiarkan
dan menyokong ulama yang tidak berpolitik. Maka kalangan umat Islam yang
jahil dan lemah imannya menjadi keliru, kerana ada ulama yang menyokong
penjajah dengan membaca ayat-ayat Al Quran dan Hadith juga. Sehingga
ada kalangan tokoh ulama pewaris Rasul menjadi mangsa di bunuh, di buang
negeri, di penjara dan sebagainya.
Di zaman ini penjajah asing sudah keluar. Negara sudah merdeka, namun
umat Islam dan rakyat bukan Islam yang lemah bersamanya masih
dibelenggu dengan penjajah tempatan yang meneruskan kemungkaran dan
kezaliman yang membelenggu rakyat keseluruhannya.
Pada waktu ini pula di bawah pemerintahan Kerajaan BN selama puluhan
tahun, taktik kerajaan yang bermasalah ini turut sama menggunakan khadam
untuk mempertahankan takhta politiknya. Di antaranya menggunakan
kumpulan yang berjenama Islam bagi mempertahankan kebatilan yang masih
berkuasa dengan zalim dan fasik, serta memerintah dengan segala tipu
dayanya.
PAS bersama Pakatan Rakyat
Dalam menghadapi PRU-13 ini, PAS memperkenalkan konsep Negara
Berkebajikan dengan makna yang menyeluruh. Bukannya “Negara Kebajikan”
mengikut istilah barat, tetapi “Negara Berkebajikan” bersama pemimpin
yang beriman dan budiman dan adil terhadap semua.
Konsep ini diterapkan dalam Buku Jingga dan ditafsirkan dalam
Manisfesto di peringkat pusat dan kerajaan negeri masing-masing,
berasaskan sistem Federalisma yang membahagikan bidang kuasa dan
memberikan ruang yang lebih berkesan mengikut realiti negeri dan
masyarakat yang berbeza. Konsep ini dapat diterapkan melalui konsep
Islam itu Rahmat dan adil terhadap semua. Ini mampu dilaksanakan dalam
Pakatan Rakyat walau pun berbeza ideologi dan agama, tanpa perlu
berganjak dari dasar Islam dan tanpa paksaan terhadap pihak yang
berbeza.
Penyokong PAS mengundi DAP di atas konsep Tahaluf (persefahaman) dan
bersama menolak BN kerana kemungkarannya yang besar, parah dan nyata.
Atas kesediaan DAP dan PKR menerima konsep bersama menentang kemungkaran
yang besar, maka penyokong DAP dan PKR bukan Islam mengundi PAS dan
menolak MCA, MIC dan lain-lain parti komponan BN dan bukan sahaja
menolak Umno. Tembok perkauman yang menjadi tiupan Umno melalui Biro
Tata Negara (BTN) milikan Kerajaan ini berjaya dipecahkan!
Sebaliknya penyokong Umno (Melayu Islam) pula tidak mengundi PAS,
tetapi mengundi MCA, Gerakan dan lain-lain di kalangan bukan Islam dalam
keadaan slogan Umno hidup melayu dan mempertahankan Islamnya dengan
solekan godaan politik wang (rasuah). Maka ketika ini muncullah khadam
yang digunakan dengan berbagai pendekatan.
Kemunculan Khadam — untuk selamatkan Umno
Ada kalangan media melayu Islam mengambil pendekatan menakutkan orang
bukan Islam dengan undang-undang syariat seperti hudud dan lain – lain
tanpa penjelasan hikmat, proses kehakiman dan caranya yang adil. Ada
juga yang mengambil pendekatan semangat perkauman dan agama untuk
memecahkan Pakatan Rakyat dengan sikap sangat bersimpati terhadap PAS,
pada hal merekalah tangan yang menzalimi penyokong PAS selama ini.
Dalam masa ini, wujud satu lagi golongan yang mendakwa ingin menarik
undi Melayu Islam di atas nama Islam, tetapi tujuannya nyata untuk
memenangkan BN bukannya memenangkan Islam. Mereka hanyalah sekadar
khadam kepada BN Umno atau askar upahan dan sebagainya. Hakikatnya
mereka hanya bertanding di sejumlah kecil kerusi sahaja, dan
kawasannyanya hanya sekangkang kera yang tidak boleh bertanam dan
membina rumah.
Umno yang sangat gelabah dengan perkembangan mutakhir, mereka mula
secara tidak langsung sedang menggunakan khadam daripada NGO yang
berjenama Islam seperti ISMA dan lain-lain, bertanding di atas nama
Islam, dengan tujuan untuk menarik undi Melayu Islam di kawasan bukan
Islam. Tindakan pendek politik ini hanya berjaya untuk memenangkan MCA,
MIC, Gerakan atau Umno yang sedang bergelumang dengan kemungkarannya.
Sekiranya kita memahami demografi pengundi dan politiknya,
dicampurkan dengan faktor jumlah kerusi yang sangat kecil ini, maka
mereka ini perlu faham bahawa tindakan bertanding ini tidak akan
membolehkan mereka untuk menegakkan negara atau menjadi pembangkang.
Tindakan mereka ini hanya berjaya menjadi khadam menyelamat kemungkaran
yang sedang berakar umbi. Caranya bertepatan dengan apa yang dinyatakan:
Ucapan yang benar, tetapi dikehendaki tujuannya yang salah.
Mereka bertanding bukan bertujuan untuk menang dan mendokong suara
Islam dengan berani dan tegas, tetapi untuk memberi kemenangan kepada
kebatilan yang telah berlalu lebih daripada lima puluh tahun, bermakna
sejak belum mereka dilahirkan ke dunia.
Kalau kail hanya sejengkal, jangan memancing di lautan yang dalam.
Politik dalam Islam adalah amanah besar, perlu dipelajari dan difahami
kalau mahu berpolitik berlandaskan Islam dan matlamatnya. Ketahuilah
bahawa politik Islam itu ada hukum dan feqahnya, seperti juga feqah
sembahyang, haji dan zakat. Rasulullah SAW mengajar Islam semuanya
secara Feqah dan Akhlak (Tasawuf) yang berlandaskan aqidah (Iman)
mematuhi perintah Allah. Firman Allah :
Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam
(dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut
jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang
terang nyata. Al Baqarah 208
Marilah kita sama-sama bandingkan dengan amanat Tun Mahathir : “Lebih
baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada berkawan dengan
malaikat yang kita tidak kenali”.
Bolehkah berkawan dengan parti yang politiknya dipisahkan daripada
Islam ? Ada juga yang mencari nasihat bomoh yang bersahabat dengan
syaitan bagi menentukan tarikh pilihan raya, dan menggoda rakyat dengan
wang dan sebagainya untuk menang walaupun banyak salah lakunya. Allah
SWT melarang kita mendekati syaitan dan jin ini kerana godaannya sangat
menarik.
Adapun orang yang bukan Islam pula, terdapat juga di kalangan mereka
yang diizinkan oleh Allah untuk kita bekerjasama dengan mereka, di atas
sifat dakwah dan kemanusiaan sejagat yang diwajibkan ke atas masyarakat
madani dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya SAW
bagi menegakkan adil terhadap semua.
Fahamilah feqah politik Rasulullah SAW sebelum tegaknya negara
bersama dengan sahabatnya yang setia dan ikhlas bersama Islam, dan
bersama bukan Islam seperti Abu Tholib, Mut’im bin ‘Adi dan lain-lain
yang belum Islam dan tidak bermusuh atau tidak keras kerana masih ada
sifat–sifat kemanusiaan. Rasulullah SAW mengizinkan Abu Bakar RA
menggunakan khidmat seorang bukan Islam ketika berhijrah yang sangat
memerlukan ciri keselamatan, seterusnya bertahaluf dengan kalangan bukan
Islam ketika menegakkan negara di Madinah.
Tahaluf ini juga dilaksanakan oleh kerajaan Islam di zaman Al
Khulafa’ Ar Rasyidin dan selepasnya bersama masyarakat majmuk berbagai
agama, termasuk agama yang tidak ada di negeri arab, berkongsepkan sabda
Rasulullah SAW :
Dan orang-orang Islam itu wajib berada di atas segala syarat yang
mereka janjikan, kecuali syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan
yang haram.
Rasulullah SAW. menyerang Makkah walau pun pemimpinnya daripada
kalangan bangsanya dan keluarga terdekat, apabila kabilah Khuza’ah yang
bertahaluf denganya telah diceroboh oleh kalangan yang bertahaluf dengan
pemimpin Makkah yang zalim.
Fahamilah, bahawa kerjasama PAS bersama Pakatan Rakyat adalah tahaluf
yang diajar oleh Islam, sangat berbeza dengan kerjasama Umno (melayu
Islam) bersama BN.
Syarat-syarat hukum Islam tidak ada dalam parti kebangsaan seperti
Umno, walau pun melayunya Islam. Jawatankuasa Biro agamanya tidak berhak
membuat dasar dan mengatur strategi, kerana Umno tertakluk dengan
konsep BN yang tidak terikat dengan konsep politik mengatasi agama atau
berkonsepkan politik dipisahkan daripada agama.
Selepas melakukan penipuan dan rasuah, ianya seolah-olah boleh
diselesaikan dengan haji dan umrah subsidi. Sehinggakan kalangan
agamawan dalam Umno hanya sekadar menjadi makmum yang tidak boleh
membuat kenyataan mendahului imam walau pun imamnya sudah batal wuduk
dan solatnya.
Sembahyang tanpa feqahnya menjadikan seorang yang jahil feqahnya
mendahului imam ketika berjamaah dan boleh berbual, ketawa bersantai
ketika bersembahyang. Puasa tanpa feqahnya hanya sekadar mogok lapar
tanpa ibadat. Haji tanpa feqahnya umpama melontar batu besar dan sepatu
merejam kawan bukannya merejam syaitan. Maka begitulah juga politik
tanpa feqahnya hanya sekadar mejadi khadam kepada musuh Islam atau
khadam kepada mereka yang berlarutan zalimnya.
Ya Allah!, lindungilah kami daripada syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.
* Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah presiden PAS
No comments:
Post a Comment