Tuesday, April 30, 2013

Politik lucah: Gatera serah memo kepada Najib

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera) diketuai oleh Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain hari ini menyerahkan satu memorandum membantah politik kotor, lucah dan samseng kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat parti itu di PWTC.

Memorandum itu antara lain melahirkan kemimbangan rakyat terhadap iklim politik tanah air yang semakin sarat dengan kelucahan, fitnah, rasuah dan samseng sehingga melampaui batasan agama dan budi bahasa masyarakat Malaysia.

“Demi kerakusan kuasa dan ingin mengekalkan kuasa, mereka menggunakan bahkan menyuburkan segala kekejian, keganasan, dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan.

"Mereka tidak menghiraukan batasan agama dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun”, katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum itu kepada wakil presiden Umno itu pagi ini.

Pada masa sama beliau juga mengingatkan kepada semua parti politik di Malaysia supaya kembali ke landasan politik yang luhur dan lestari bagi menjamin keamanan dan keharmonian semua kaum dan semua pihak.

“Ini sekaligus meletakkan Malaysia seumpama ‘telur di hujung tanduk’ yang akan berada di ambang kejatuhan dan pemerhatian musuh. Pada ketika itu, semuanya sudah tidak berguna lagi”, katanya.

Pada petang ini, memorandum sama juga akan turut diserahkan kepada Pakatan Rakyat.

Difahamkan pihak mereka akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat PKR Petaling Jaya pada jam 3.30 petang ini.

No comments:

Post a Comment