Sunday, April 14, 2013

SPR beri 16 hari





Subky Latif,

BERSIH 2.0 menuntut tempoh berkempen bagi PRU13 selama 21 hari, tapi SPR memberinya sekadar 16 hari – dari hari penamaan calon pada 20 April hingga hari mengundi 5 Mei, 2013.

Ini bererti satu lagi tuntutan demokrasi Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

Bagaimana pun ia elok dari zaman pentadbiran Tun Abdullah Badawi yang memberi sekadar 8 hari bagi PRU 2004 dan dinaikkan sikit kepada 13 hari dalam PRU12.

Dibandingkan dengan tempoh kempen zaman Tun itu, tempoh 16 hari di bawah Najib ini tak dapat calon pergi ke lebih banyak dan menemui lebih ramai pengundi.  Tak sempat calon hendak menemui pengundi dan tak sempat pengundi hendak mengenali calon.

21 hari yang Bersih tuntut itu tidak juga begitu cukup bagi calon berjumpa dan menjelaskan peranan yang hendak dimainkannya untuk kawasan, pengundi dan negara. Tetapi ia jauh lebih baik dari yang diberi dari zaman Tun Razak hingga ke zaman anaknya.

Zaman Dr. Mahathir langsung tidak dapat buat apa 10 hari, malah PRU terkhirnya tahun 1999 hanya 9 hari.

Itulah masa calon hendak memperkenalkan dirinya. Sepanjang saya bertanding dari 1979 hingga 1999 saya cuma bercakap antara lima dan lapan minit saja di setiap perjumpaan. Saya terpaksa pergi pula ke perjumpaan lain. Kira-kira selama sepuluh hari itu saya sempat berjumpa tidak sampai 40 peratus pengundi dan dapat mengunjungi sampai dari separuh kampung  dalam kawasan pilihanraya itu.

Kesimpulannya calon tak kenal pengundinya dan pengundi tak kenal calonnya. Peluang semua pengundi hendak melihat calonnya dari dekat dalam masa kempen itulah. Setelah dia menang belum tentu dia dapat pergi ke semua kampung di kawasannya.

Apa pun kita boleh berbangga dengan masa yang cukup untuk kempen pada zaman Tunku menjadi Perdana Menteri. Dari PRU 1959 hingga PRU 1969 diberinya 35 hari. Walaupun sepanjang itu calon tidak juga tiba ke semua lokaliti, tetapi mereka sempat pergi ke merata tempat. Lebih banyak tempat dikunjungi dan lebih ramai pengundi ditemui.

Yang mula singkat kempen ini ialah apabila Tun Razak mengambil alih pentadbiran. Sekali  saja PRU di zamannya tahun 1974. Diberinya 16 hari sama dengan yang diberi oleh anaknya.

Mengapa disingkatkannya? Mungkin dia mengira kempen 35 hari berekor dengan kecelakaan 13 Mei, 1969. Agak nak mengelakkan ketegangan dalam kempen, maka  disingkatkan saja. Agaknya.

Tetapi Tun Razak dipercayai meniru demokrasi Lee Kuan Yew di Singapura. Lee memulakan kempen tak  sampai 10 hari. Singapura kawasan pilihanrayanya kecil.  Calon boleh pergi ke tiap-tiap lorong tiap-tiap hari. Mereka boleh pusing kawasannya tiga empat kali sehai. Tapi bagi kawasan seluas Kuala Lipis dan Gua  Musang, 35 hari pun tak cukup, apa lagi 10 hari pada zaman Mahathir.

Pada zaman Tunku itu dipercayai calon dan sekalian pekerja parti terlalu penat. Bagi yang tidak berduit seperi pembangkang tempoh sepanjang itu menyebabkan duit habis. Tetapi tidak mengapa kerana calon dapat berjumpa dengan seramai-ramai orang dan dapat menyampaikan penjelasan tentang apa yang pengundi hendak tahu.

Kalau pengundi tidak menyokongnya kerana mereka tidak setuju dengannya, mereka sekurang-kurang puas hati kerana mereka telah jumpa semua pengundi. Mereka telah bekerja. Tetapi dengan 9 dan 10 hari, maka banyak terbuang, belanja besar, tak dapat jumpa pengundi. Tidakkah ia malang namanya.

Mungkin Dr. Mahathirlah orang paling takut rakyat dapat dengar banyak hujah pembangkang. Jika banyak mereka dengar, banyak mereka tahu tentang kelemahan kerajaan dan BN. Dia takut mereka tidak menyokong partinya.


Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment