Monday, April 15, 2013

PRU13: Dalil BN akan tewas terlalu banyak

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Dalil BN akan tewas terlalu banyak, tulis Aspan Alias.
Kali ini kita sebut sebahagiannya sahaja. Yang paling menonjol ialah tiga Presiden parti-parti dalam BN tidak bertanding, iaitu Chua Soi Lek dari MCA, Peter Chin dari SUPP dan Koh Tsu Koon dari Gerakan.

“Kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari jawapannya kerana kepada siapa yang memahami keadaan sebenar dalam BN itu mereka akan mudah mengetahuinya,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/, sebagaimana di bawah.

Dalil BN akan tewas terlalu banyak. Kali ini kita sebut sebahagiannya sahaja. Yang paling menonjol ialah tiga Presiden parti-parti dalam BN tidak bertanding, iaitu Chua Soi Lek dari MCA, Peter Chin dari SUPP dan Koh Tsu Koon dari Gerakan. Kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari jawapannya kerana kepada siapa yang memahami keadaan sebenar dalam BN itu mereka akan mudah mengetahuinya.

Sebenarnya BN itu hanyalah UMNO dan saya telah menyebutnya setahun yang lalu. Pilihanraya kali ini adalah di antara UMNO dengan Pakatan Rakyat kerana parti-parti dalam BN sudah boleh dianggap tidak wujud lagi...MCA, Gerakan, MIC dan PPP boleh kita anggap hanya tinggal pada namanya sahaja.

Parti-parti komponen dalam BN ini hanya membebankan UMNO yang mempunyai masalah besarnya sendiri. UMNO sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dari orang Melayu yang paling ketara. Tetapi dalam politik UMNO terpaksa juga mencari jalan untuk ‘survival’nya sendiri. Tindakan UMNO mengambil kembali banyak kerusi yang sebelum ini diagihkan kepada parti-parti komponen itu membuktikan yang UMNO sendiri menganggap rakan komponen mereka itu sebagai beban besar kepada BN.

Kawasan Kuantan dan Gerik telah pasti kembali ke tangan UMNO dan UMNO sedang berusaha mengambil kembali Gelang Patah dan Wangsa Maju. Semuanya ini tidak sepatutnya dilakukan oleh UMNO jika BN mengambil berat tentang setiakawanan dalam BN itu. Tetapi apa lagi yang UMNO perlu lakukan jika tidak mengambil kembali kawasan ini? Pendeknya BN sedang berhadapan masalah yang paling besar dalam sejarah kewujudannya.Mengambil kembali kerusi yang telah diagihkan kepada MCA dan Gerakan itu merupakan 'vote of no confindence' UMNO terhadap rakan komponennya sendiri.

Semuanya ini membuatkan rakyat tidak lagi berkeyakinan kerana sesebuah parti atau ‘coalition’ yang bermasalah sampai ke tahap ini secara ‘natural’ nya akan tidak diyakini oleh rakyat yang mengundi itu. Acapkali saya menyebut tentang isu ‘legitimacy’ dalam blog ini. Ramai di antara pimpinan UMNO sendiri tidak mangambil kira isu ‘legitimacy’ ini dengan serius. Mereka mengutamakan kedudukan sahaja dan mereka lakukan dengan berbagai-bagai cara untuk menaiki tangga kepimpinan melalui cara dan kaedah yang tidak menjamin ‘legitimacy’ itu.

Saya sudah lama menyedari yang memilih Perdana Menteri secara ‘convention’ sekarang ini tidak memberikan ‘legitimacy’ terhadap kepimpinan negara. Seseorang Presiden UMNO itu secara automatik menjadi PM yang diamalkan hari ini tidak lagi berkesan untuk kestabilan negara ini dalam jangka panjang. Selama ini dengan otot yang ada kepada seseorang PM itu digunakan sepenuhnya untuk menguasai perwakilan UMNO yang tidak melebihi dari lima ribu orang.

Seorang Presiden UMNO hanya memerlukan undi 51 peratus dari lima ribu orang ini untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu lebih kurang 2,600 orang sahaja. Oleh itu nasib negara hanya ditentukan oleh 2,600 orang Melayu yang boleh dibeli dengan wang ringgit dan janji untuk jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Rakyat negara yang berjumlah hampir 30 juta orang ini tidak mempunyai peranan untuk melakukan pemilihan terhadap seorang Perdana Menteri itu.

Itulah masalah hiliran politik memilih Perdana Menteri secara ‘convention’ ini. Peruntukan perlembagaan untuk memilih seorang Perdana Menteri secara betul itu ada tetapi tidak pernah dilakukan. Dalam Perlembagaan kita, telah diperuntukkan yang sesiapa di kalangan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti itulah yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri. Peruntukan itu ada tetapi tidak pernah terpakai dan dipakai. Perdana Menteri sekarang ini sesungguhnya tidak mempunyai 'legitimcy' yang kuat untuk mengaku sebagai PM pilihan rakyat.

Dalam keadaan terdesak sekarang ini, UMNO telah menggunakan media massa perdana untuk mencari kesalahan pihak pembangkang seperti orang mencari kutu. Media massa diperguna untuk memberikan ruang kepada orang yang tidak mempunyai ‘purity of mind’ seperti memberikan ruang kepada Tunku Aziz, seorang ‘political novice’ yang telah meninggalkan DAP oleh kerana perselisihan peribadi yang kecil dalam parti itu.Tunku Aziz telah memilih untuk melayani ego beliau yang besar dan tidak lagi bertindak seperti seorang yang kanan yang mempunyai 'wisdom' kepimpinan.

Tunku Aziz pula mengambil kesempatan untuk membelasah DAP seolah-olah parti itu tidak pernah ada jasa membawa beliau dikenali ramai seperti sekarang ini. UMNO menggunakan isu Tunku Aziz untuk membelasah DAP sedangkan DAP tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap beliau kerana memberikan reaksi terhadap tuduhan Tunku Aziz itu adalah tindakan yang membuang masa sahaja. Masalah beliau (Tunku Aziz) itu merupakan masalah peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan perjuangan parti.

Isu perkauman yang dimainkan oleh Dr Mahathir sekarang ini adalah tanda-tanda dan dalil awal yang UMNO itu akan gugur dalam pilihanraya ini. Kini rakyat mahukan perpaduan kaum dan tidak mahu lagi hidup bermusuh-musuhan. Pilihanraya kali ini merupakan titik tolak untuk penentuan sama ada ‘ultimate’ kita untuk mencapai perpaduan kaum itu tercapai.

Jika kita mendengar hasutan Dr Mahathir maka kita akan menghadapi masalah perkauman yang berpanjangan. Jika rakyat mengambil dan menerima nasihat pihak lain yang mengutamakan perpaduan kaum dengan lebih tekun itu maka berbahagialah kita hidup dalam suasana muhibbah.

UMNO sudah tidak lagi mempunyai nilai-nilai untuk kerukunan hidup bersama dalam masyarakat majmuk negara ini. Mereka sanggup membeli hati rakyat dengan berbagai-bagai cara dan membeli pimpinan yang tidak stabil pemikiran seperti Tunku Aziz dan lain-lain lagi.

Hidup mereka sentiasa hendak bergaduh dan tidak lagi tunduk kepada tuntutan agama dan adat yang sentiasa melarang kita bergaduh sesama sendiri. Kali ini, kita lakukan apa yang perlu dalam pilihanraya yang akan sampai hanya beberapa hari sahaja lagi.

Pastikan permuafakatan diantara kaum ini kita perkayakan dan tidak lagi terkongkong dengan ‘communal politics’ yang tidak berpenghujungan itu.
Pilihlah di antara kemahuan UMNO dengan kemahuan rakyat

No comments:

Post a Comment