8 APRIL — Mewakili Parti Keadilan, saya mengalu-alukan
pelancaran Manifesto Barisan Nasional yang dibuat semalam sebelum
berlangsungnya penamaan calon. Sebagaimana umum sedia maklum, Pakatan
Rakyat telah mendahului Barisan Nasional dengan melancarkan Manifesto
bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) pada 25 Februari 2013 yang lalu,
sekaligus merintis jalan ke arah landskap persaingan politik yang
sihat.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk
Seri Najib Razak dan Barisan Nasional yang nampaknya banyak bersetuju
dengan langkah dan cadangan Pakatan Rakyat mutakhir ini, sehinggakan
tema Manifesto Barisan Nasional (“Membawa Harapan”) pun menyadur tema
Pakatan Harapan Rakyat yang digunakan oleh Pakatan Rakyat.
Pun begitu, saya yakin bahawa persaingan politik khususnya semasa
kempen pilihanraya perlulah berkisar kepada persoalan dasar dan program
untuk rakyat, selain kredibiliti dan rekod calon yang ditampilkan.
Seperti mana yang ditekankan oleh Pakatan Rakyat selama ini, persaingan
idea dan dasar harus diangkat ke tahap yang lebih tinggi melalui
perdebatan terbuka yang boleh disaksikan umum di media arus perdana
untuk diadili sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat.
Justeru, keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat secara
terbuka mengenai dasar mencacatkan imej beliau sebagai pemimpin
berwibawa dan merencatkan budaya persaingan politik sihat yang dituntut
oleh rakyat. Lebih-lebih lagi apabila Barisan Nasional tidak
mempedulikan langsung etika Kerajaan Sementara (“caretaker government”)
dengan menyalahgunakan ruang masa penyiaran di platform media awam untuk
membentangkan manifestonya sedangkan Pakatan Rakyat telah dinafikan hak
yang sama. Ini jelas merupakan suatu amalan pilihanraya berat sebelah
dan penyalahgunaan harta benda awam oleh sebuah Kerajaan Sementara.
Walau bagaimana pun, saya nekad untuk memastikan PRU13 ini menjadi
medan persaingan idea dan dasar dalam kerangka membentuk persaingan
politik sihat. Saya telah meneliti Manifesto Barisan Nasional dan akan
membentangkan pandangan Keadilan dari semasa ke semasa. Saya juga telah
mengarahkan pasukan dasar Keadilan untuk mengkajinya secara menyeluruh
dengan tujuan memberi maklumbalas segera pada hari Isnin, 8 April 2013.
Secara umumnya, saya tidak yakin Manifesto Barisan Nasional secara
menyeluruh dapat membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi,
politik dan sosial sedia ada yang begitu mencengkam dan menghimpit. Yang
paling ketara adalah Manifesto Barisan Nasional tidak mempunyai roh
reformasi yang amat diperlukan untuk merubah sistem yang bobrok dan
penuh kepincangan, seperti yang diharapkan oleh rakyat. Sangat jelas
bahawa reformasi menyeluruh dan holistik dari segi sosio-ekonomi,
struktur, institusi, politik, urus tadbir dan perundangan tiada tempat
dalam kerangka polisi Barisan Nasional. Ingin saya tegaskan bahawa tanpa
sebarang agenda reformasi yang komprehensif, usaha meningkatkan
keberdayasaingan jangka panjang Malaysia di peringkat antarabangsa
supaya setanding dengan negara-negara maju lain akan terus dikekang.
Pada masa yang sama, Manifesto Barisan Nasional ketandusan idea
baharu dan kontang perinciannya yang mana banyak program telah dipakej
semula, berbanding gagasan segar yang dibawa oleh Manifesto Pakatan
Rakyat. Lebih 90 peratus dari program-program yang disenaraikan sudah
pun diketahui rakyat dan berbentuk terlalu umum tanpa sebarang perincian
khusus.
Ketandusan idea baharu bermakna Datuk Seri Najib Razak akhirnya
terpaksa menelan hempedu dan menciplak beberapa dasar utama Pakatan
Rakyat untuk disuntik ke dalam Manifesto Barisan Nasional terutamanya
cadangan penurunan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara
berperingkat dengan merombak Dasar Automotif Nasional, pemberian permit
teksi individu secara langsung kepada pemandu teksi dan penyeragaman
harga barangan keperluan di seluruh negara yang menjadi salah satu isu
utama di Sabah dan Sarawak. Berpegang teguh kepada prinsip percukaian
adil seperti yang disarankan oleh Pakatan Rakyat, maka saya yakin
harapan rakyat mahukan penghapusan langsung duti eksais kereta, bukannya
dipotong pada kadar 30 peratus sahaja seperti yang dijanjikan di dalam
Manifesto Barisan Nasional.
Manifesto Barisan Nasional masih mencerminkan mentaliti lapuk dan
kepercayaan usang Barisan Nasional bahawa hati dan pemikiran rakyat
boleh dibeli. Tunjang kempen Barisan Nasional jika diteliti inisiatif
sedia ada dan pakej tawaran manifestonya jelas berpaksi kepada Bantuan
Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang mahu ditingkatkan bayaran tahunnya kepada
RM1,200 bagi keluarga dan RM600 bagi individu bujang. Cadangan ini akan
melibatkan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion setiap tahun yang saya yakin
akan terus meningkat saban tahun sejajar dengan pertumbuhan semulajadi
populasi dan kegagalan berterusan Barisan Nasional meningkatkan
pendapatan bulanan isirumah. melebihi paras kelayakan sebanyak RM3,000
bagi keluarga dan RM2,000 bagi individu bujang.
"Direct transfer payments" seperti BR1M, Baucar Buku 1 Malaysia dan
Bantuan Persekolahan yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional
jelas merupakan langkah dasar ekonomi jangka pendek untuk meraih undi
tanpa cadangan ampuh untuk menyelesaikan permasalahan sosio-ekonomi asas
rakyat untuk jangka masa panjang seperti monopoli yang menyebabkan
herotan pasaran dan kenaikan harga; ketirisan, pembaziran dan amalan
korup dalam pentadbiran kewangan kerajaan yang mengurangkan peruntukan
bagi kebajikan rakyat serta dasar-dasar kerajaan lain yang berat
sebelah, menekan rakyat dan bersifat diskriminasi. Yang lebih
mendukacitakan ialah apabila pemberian tunai berkos tinggi ini akan
terserlah sebagai suatu polisi ekonomi yang gagal tanpa membebaskan
rakyat dari belenggu kesempitan hidup secara efektif pada jangka masa
panjang sedangkan beban kepada perbendaharaan negara akan terus
meningkat saban tahun. Saya khuatir sekiranya budaya kebergantungan
berlebihan ini dibiarkan berterusan selama beberapa dekad, maka segala
usaha untuk meningkatkan produktiviti, nilai tambah dan keberdayasaingan
negara akan menjadi sia-sia.
Tawaran langkah-langkah untuk memerangi dan seterusnya menghapuskan
gejala rasuah di dalam Manifesto Barisan Nasional jelas merupakan suatu
lelucon atau lawak jenaka sebagai bahan hiburan rakyat. Berbekalkan
kesungguhan politik yang jitu tanpa kepentingan peribadi, hanya
pentadbiran Pakatan Rakyat bagi kerajaan pusat yang baharu sahaja yang
mampu membanteras secara signifikan wabak rasuah melalui Dasar Banteras
Rasuah Negara (DEBARAN) seperti yang diperincikan dalam manifesto
PRU13nya.
Saya akan terus menghuraikan kritikan membina mengenai perkara ini
dan menyerahkan kepada rakyat untuk mengadili keupayaan Manifesto
Pakatan Rakyat dalam melaksanakan agenda perubahan seperti yang
diimpikan rakyat berbanding Manifesto Barisan Nasional. Proses
perbandingan idea dan dasar ini akan menjadi platform utama kempen
Keadilan di dalam PRU13 dengan melibatkan keseluruhan pimpinan, jentera
pilihanraya dan semua calon.
* Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum PKR.
No comments:
Post a Comment