Thursday, October 29, 2015

MENGAMBIL KETELADANAN DARIPADA PERPECAHAN GERAKAN POLITIK ISLAM INDONESIA (SIRI I)

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Indonesia mempunyai sejarah yang panjang dijajah oleh kuasa Belanda selama 350 tahun sehinggalah merdeka pada tahun 1945. Penjajahan dan perompakan hasil bumi Indonesia mendapat tentangan sengit daripada rakyat Indonesia seperti yang diterjemahkan melalui peristiwa Perang Jawa (1825-1830) yang dipimpin oleh ulama' iaitu Imam Diponegoro malah di Acheh juga penjajah kafir Belanda mendapat tentangan sengit daripada para santri dan para 'alim ulama'. Ribuan madrasah atau pesantren yang wujud di seluruh Indonesia telah menjadi benteng pertahanan aqidah yang cukup ampuh bagi mempertahankan Islam dan melahirkan para pejuang Islam.
Di Indonesia, pertubuhan sosial keagamaan yang paling besar keanggotaannya adalah Nahdatul Ulama' (NU) yang dianggarkan mempunyai seramai 35 juta orang ahli di seluruh negara. NU ditubuhkan di Surabaya pada 31 Januari 1926 dengan kepimpinan awalnya ialah Kiai Abdul Wahab Hasbullah dan Kiai Muhamad Hasyim. Penubuhan gerakan ini dilatari kebimbangan tentang kemaraan yang digelar Wahabi (juga digelar kaum muda atau salafi). Pada masa itu, pengikut Wahabi berjaya menguasai Hijaz dan Raja Abdul Aziz Ibnu Saud ingin mengadakan muktamar antarabangsa di Mekah. NU sehingga sekarang masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam sektor sosio politik di Indonesia.
Sebahagian besar umat Islam di Indonesia mempunyai tradisi membaca doa mengikut mazhab, membaca qunut, membaca talqin. Beberapa amalan dan adat yang telah berakar umbi ini telah ditentang oleh gerakan pembaharuan Wahabi dan ulama'-ulama' tradisi pula merasakan ini merupakan satu ancaman, maka Nahdatul Ulama' (NU) telah menjadi wadah penyatuan mereka. Semasa penguasaan NU, ulama'-ulama'nya telah menggariskan matlamat NU yang dipanggil Khitbah 1926 yang menegaskan NU ialah sebuah pertubuhan sosial keagamaan yang bebas daripada pengaruh politik kepartian, slogannya ialah 'Izzul Islam Wal Muslimin' (Kemuliaan Islam dan Umat Islam). Orientasi perjuangannya terarah kepada masalah ubudiyah, sosial, dakwah, keilmuan dan kemasyarakatan.
Di Indonesia satu mercu tanda penyatuan umat Islam di zaman pendudukan Jepun ialah penubuhan Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia) yang dipimpin oleh seorang tokoh besar iaitu Mohamad Natsir. Ditubuhkan dalam kongres Umat Islam Indonesia yang diadakan di Yogjakarta pada 7 dan 8 November 1945 yang dihadiri oleh wakil-wakil pertubuhan Islam di Indonesia. Kejerihan dan kepayahan hidup di zaman penjajahan Jepun telah memungkinkan umat Islam mencari forum perpaduan malah tapak politik kekuasaan untuk membela Islam. Masyumi telah mengikat pelbagai pertubuhan Islam di Indonesia seperti Nahdatul Ulama', Muhammadiah, Persatuan Ulama' Seluruh Acheh, Nahdatul Watan, Al-Irsyad, Persatuan Islam Bandung, Perikatan Umat Islam, Sarekat Tani Islam, Sarekat Nelayan Islam dan pelbagai lagi. Masyumi juga diundang ke Malaya untuk pelancaran Hizbul Muslimin pada Mac 1948.
Kesatuan Aqidah dan disertai lagi dengan kepimpinan Mohamad Natsir yang berwibawa membolehkan parti ini meraih undi kedua terbesar dalam Pilihanraya Umum Pertama yang dipimpin oleh Soekarno. Gerakan Islam ini akhirnya dikhianati oleh puak sekular Indonesia apabila Masyumi telah dituduh terlibat dalam pemberontakan di Sumatera dan Sulawesi, malah ramai pimpinan serta pendokongnya dihumban dan mendekam dalam penjara. Masyumi telah diharamkan pada 17 Ogos 1960, namun para ahlinya tetap memberikan sumbangan kepada Islam melalui pelbagai kegiatan yang lain seperti menghidupkan majlis-majlis Ta'lim, menyebar risalah dan buku seperti yang dilakukan oleh Mohamad Natsir, Omar, HAMKA dan Mohamad Roem. Indonesia terus melalui jalan yang berliku untuk aktivis Islam di zaman pemerintahan Soekarno dan juga Soeharto. Di zaman Soekarno berlakunya peristiwa pembantaian di Tanjung Periuk dan Tragedi Talangsari serta sekatan melampau terhadap gerakan Islam. Zaman gelap ini berakhir dengan berlakunya 'reformasi 1998', tumbangnya Jeneral Soeharto dalam gerakan massa yang dipicu dengan kebangkitan anak muda
Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan Pusat)

No comments:

Post a Comment