Wednesday, April 2, 2014

Misteri MH370 - Bekas Pekerja Radar rasa mustahil hilang tiba-tiba daripada radar..??

Mustahil hilang tiba-tiba daripada radar

Mustahil hilang tiba-tiba daripada radar  
Remli menunjukkan fail prosedur yang perlu diikuti.

KEHILANGAN pesawat MAS, MH370 yang memasuki hari kelapan pencariannya, menimbulkan pelbagai spekulasi daripada pelbagai pihak.

Kes pesawat hilang daripada radar kawalan dikatakan mustahil berlaku ketika sistem teknologi canggih digunakan kini.

Susulan insiden itu, Sinar Harian mengadakan temu bual bersama bekas Pegawai Kawalan Trafik Udara (ATC) Jabatan Penerbangan Awam (DCA), REMLI MOHAMAD, 62, dengan Timbalan Pengarang Berita, Farush Khan, wartawan, Noor Ainul Yakin Mohamad Ishak, jurufoto, Rosli Talib dan juruvideo Sinar Online, Fauzi Mohamed.

Pusat kawalan terus hubungi pesawat jika tiga minit hilang daripada radar. Sepanjang tempoh bertugas, pernahkah alami situasi seperti kes MH370 yang hilang daripada radar?

Saya mula bertugas pada 1971 sehingga 2010, dekat 40 tahun. Pernah menggunakan primary radar dan secondary radar. Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku. Tetapi pesawat kecil memang biasa berlaku hilang daripada radar tetapi tidak lama selepas itu ditemui semula.

Kebiasaannya apabila pesawat hilang daripada radar, pengawal trafik akan kumpul maklumat untuk dapatkan kepastian, di mana pesawat dikesan kali terakhir daripada radar. Bila dah dapat kita akan salurkan maklumat kepada pihak berwajib dalam kes ini, polis yang lebih tepat untuk kes di daratan. Unit lain jika di hutan, Jabatan Orang Asli. Kalau di perairan Jabatan Maritim dan yang berkaitan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Setiap pegawai ATC adakah pantau satu pesawat sahaja?

Setiap pegawai yang bertugas hari itu, akan kawal unit masing-masing. Seperti ruang udara Semenanjung dibahagi kepada beberapa sektor, ke selatan contohnya menuju Singapura satu unit, ke utara seperti ke Penang satu unit, jika nak ke India arah ke barat satu sektor. Ketika saya bertugas ada lima sektor. Jadi masing-masing jaga lalu lintas dan pesawat yang melalui laluan tersebut. Ketika saya bertugas dahulu tidak ramai ATC, tak sampai seribu tetapi sekarang mungkin lebih.

Ketika itu bertugas bahagian mana?

Masa saya di pusat kawalan, bertugas sebagai penyelia dan pernah juga ditugaskan sebagai penguasa pusat kawalan trafik udara.

Sampai mana tugas ATC jika pesawat telah terbang?

Setiap pesawat di bawah kawalan akan dipantau sehingga sempadan negara, ke utara akan dipantau hingga sempadan Bangkok. Jika ke Sabah Sarawak di sempadan Pahang kemudian diserahkan kepada unit pusat kawalan negara tersebut untuk ambil alih seperti Singapura, Vietnam dan Thailand.

Kita pantau dalam kawasan kita, bila dah sampai kawasan mereka akan serah pada mereka. Semuanya ada laluan tertentu ditetapkan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICEO).

Berapakah  jarak radar secondary boleh kesan?

Boleh kesan 200,000 hingga 250,000 ribu kaki atas udara.

Apakah beza sistem radar sekarang dan dahulu?

Sekarang menggunakan secondary radar iaitu lebih mudah untuk dipantau kerana segala maklumat mengenai pesawat telah dimasukkan dalam sistem, jadi bila terbang akan diberi satu kod khas, untuk diaktifkan.

Lepas itu, baru keluar di skrin radar yang mana ada tiga garisan akan muncul untuk memastikan maklumat pesawat dari segi kelajuan, ketinggian dan arah tuju.

Jika sistem primary radar, hanya terlihat plot pesawat di radar tetapi tidak ada maklumat lengkap tentang pesawat.

Jadi untuk mengetahui maklumat lanjut pesawat itu, ATC perlu bertanya kepada juruterbang untuk kenal pasti.

Jika di laluan sama, arahkan untuk membelok sedikit agar dapat dikenal pasti pesawat tersebut. Tugas ini wajib ketika gunakan primary radar untuk kenal pasti betul-betul tentang pesawat, tidak boleh agak-agak.

Secondary radar lebih mudah diuruskan kerana telah mempunyai segala maklumat. Justeru kerja mudah bagi ATC menjalankan tugas mereka.

Jika berlaku kecemasan apa prosedur yang dilakukan?

Pengawal kena ambil maklum dan ambil tindakan bersesuaian dengan apa diajar oleh syarikat yang manual ketika latihan. Ada standard prosedur.

Jika kes sekarang, iaitu MH370 bila kapal terbang sampai sempadan, kita akan serah pada unit kawalan seterusnya, bagi data mengenai pesawat tersebut akan masuki ruang udara mereka. Kita akan beri kod transponder yang digunakan untuk radar pusat kawalan sebelah sana kenal pasti.

Jika tiga minit tiada bacaan di radar, pihak penerima wajib berusaha memanggil pesawat tersebut. Jika tetap tiada jawapan mesti ada perkara telah berlaku. Justeru ATC akan ambil tindakan sepatutnya dalam usaha mencari punca-punca tidak menjawab panggilan. Kita perlu anggap sesuatu terjadi.

Kenapa tempoh keluarkan kenyataan lewat diberitahu setelah pesawat hilang daripada radar?

Itu ikut prosedur biasa, perlu sahkan kehilangan setelah waktu sepatutnya pesawat tiba ke destinasi.

Dalam tempoh tersebut, telah ada tindakan pencarian dengan pusat kawalan lain. Hubungi pusat kawalan berdekatan dengan laluan ke destinasi serta meminta tolong pesawat berdekatan untuk cuba menghubungi pesawat yang hilang.

Jika masih tiada balasan perlu hubungi banyak kali. Tunggu juga masa sepatutnya sampai destinasi, jika masih juga tidak ada balasan barulah dilaporkan hilang secara rasmi.

Pandangan terhadap usaha pihak berkuasa dalam kes MH370?

Apa dibuat oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) adalah betul. Apabila tidak dapat dihubungi buat tindakan serta merta dengan usaha minta bantuan jejaki pesawat dengan bantuan Vietnam serta negara terdekat.

Dan usaha menentukan kawasan pencarian, tindakan diambil wajar dan tidak tunggu lama.

Apa yang berlaku pada pesawat ini sebenarnya?

Andaian saya mungkin pesawat terputus hubungan disebabkan masalah teknikal pada pesawat. Tetapi mustahil berlaku kerana pesawat itu adalah pesawat terbaik dan canggih. Apa pun kita kena berdoa untuk temui pesawat kembali.

Pernahkah terdengar kejadian lebih misteri daripada kes MH370 ini?

Seingat saya tidak pernah jumpa kejadian seperti ini. Cuma pernah dengar di luar negara.

No comments:

Post a Comment