Thursday, April 17, 2014

Harimau Jelutong sudah tiada






IPOH, 17 APR: Pemimpin veteran DAP Karpal Singh meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi.

Jurucakap polis memberitahu kenderaannya merempuh sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat di kilometer 301.6 arah Utara. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

Karpal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah. Pembantunya, Michael Cornelius turut terkorban manakala anaknya Ram Karpal dilaporkan cedera.

Karpal, 74 tahun dikenali dengan gelaran Harimau Jelutong kerana ketegasannya dan sikap lantang memberi hujah serta pandangan di Parlimen, selain kehandalannya sebagai seorang peguam terkenal.

Karpal baru sahaja meletakkan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP akibat mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan yang menghalang beliau memegang jawatan setelah disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mac lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu dan lima orang anak termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Karpal dilahirkan di George Town, Pulau Pinang pada 28 Jun 1940 dan menerima pendidikan awal di St Xavier’s Institution sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).

Beliau menyertai profesyen peguam pada tahun 1969 sebelum menyertai DAP pada tahun berikutnya. Karpal memenangi kerusi Parlimen Jelutong pada tahun 1978 dan kekal di kerusi tersebut sehingga tahun 1999. Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Ops Lalang pada Oktober 1987.

Sebagai seorang peguam, Karpal telah muncul dalam banyak kes berprofil tinggi, termasuk menjadi peguambela utama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia kehilangan seorang negarawan ulung. Terima kasih Saudara Karpal. Berehatlah dengan tenang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment