AMALAN pemakanan yang seimbang sangat penting untuk menjalani kehidupan seharian. Ini kerana corak atau pun pola pemakanan yang tidak sekata akan menyumbang kepada masalah obesiti yang semakin menular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Individu atau masyarakat digalakkan untuk mengamalkan diet yang bersesuaian dengan mereka. Tujuan mengamalkan pemakanan atau diet yang seimbang selain daripada mencegah obesiti, juga bertujuan mengekalkan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit-penyakit berbahaya seperti darah tinggi, kencing manis, strok dan masalah jantung.
Ramai yang masih tidak menyedari bahawa punca utama bagi serangan penyakit-penyakit “tenat” seperti kanser dan jantung adalah kerana kurangnya keperihatinan dalam pemakanan yang yang sempurna dan kurang mengambil makanan yang berkhasiat dan kurang bersenam.
Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri anda adalah apa yang anda makan". Kenyataan ini benar dalam soal kesihatan.
Menurut sumber, Malaysia mempunyai masalah obesiti yang serius. Empat daripada sepuluh orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau terlebih berat badan (obesiti). Permasalahan ini boleh diatasi melalui amalan corak pemakanan yang sihat.
diet
Menurut Zainab (2001), diet sihat mengandungi semua zat makanan (nutrien) yang penting dan tenaga yang perlu bagi mencegah kekurangan dan kelebihan zat makanan dan menjaminkan kesihatan. Diet sedemikian boleh didapati dari pelbagai makanan yang mudah didapati, mampu dibeli dan dinikmati oleh sesiapa sahaja.
Makanan yang baik bukan sahaja kelihatan menarik dan menyelerakan tetapi juga mesti seimbang. Ini bermakna makanan kita perlu mengandungi kesemua tujuh kelas makanan dalam kadar yang betul dan sejajar dengan keperluan tubuh badan.
Makanan kita perlu mengandungi protein untuk tumbesaran, karbohidrat dan lemak untuk tenaga, makanan tambahan lain seperti vitamin, mineral dan air untuk kesihatan.
Individu atau masyarakat haruslah menikmati pelbagai jenis makanan setiap hari termasuk bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ayam, kekacang, susu, lemak dan minyak. Namun pengambilannya wajar dilakukan mengikut kuantiti yang tertentu berdasarkan empat peringkat di dalam Piramid Makanan.
Peringkat pertama dalam pengambilan makanan adalah bijirin kemudian diikuti dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang berada di peringkat kedua. Seterusnya susu, dadih, keju, ikan, daging dan kekacang yang berada di peringkat ketiga. Produk makanan yang paling sedikit yang diperlukan oleh tubuh badan berada pada peringkat pertama iaitu di puncak dan ia adalah lemak, minyak, gula serta garam.
kalori
Setiap individu perlu mengekalkan berat badan yang sihat dengan mengimbangkan pengambilan makanan dan aktiviti fizikal.
Sebelum menyediakan atau mengambil setiap hidangan, ketahui nilai kalori dan pastikan hidangan yang dimakan sepanjang hari tidak melebihi nilai kalori yang diperlukan badan kerana ia akan menambahkan berat.
Nilai kalori bagi bagi setiap hidangan adalah sangat penting bagi tubuh badan kita. Apa saja yang dimakan atau minum akan dikira sebagai penambahan kalori, tenaga atau lemak dalam badan.
Sebagai contoh dalam tempoh 24 jam, jumlah makanan diambil ditolak dengan segala tenaga yang diguna juga dalam tempoh yang sama. Jika jumlah kalori yang kita makan untuk tempoh tersebut adalah 2000 kalori dan pembakaran kalori hanya 1800 kalori sahaja bermakna kita telah terlebih makan 200 kalori untuk sehari.
Keperluan kalori seharian adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Sebagai contoh, keperluan kalori bagi seorang budak lelaki yang aktif dengan seorang budak perempuan yang kurang aktif adalah berlainan. Keperluan kalori juga adalah bergantung kepada beberapa faktor lain seperti jantina, umur, saiz badan, jenis pekerjaan, iklim dan keadaan kesihatan. Manakala setiap 8000 kalori yang lebih atau terkumpul pula akan menaikkan 1kg berat badan anda.
obesiti
Wanita memerlukan 1600-2000 kcal kalori sehari manakala bagi lelaki pula, mereka memerlukan lebih kurang 2000 – 2500 kcal kalori sehari. Setiap 7000 kcal kalori yang terkumpul dalam badan sebenarnya akan menaikkan berat badan seseorang itu sebanyak 1 kilogram.
Beralih pula kepada obesiti, ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang berlakunya pengumpulan atau penyimpanan lemak yang berlebihan dalam badan. Secara umum seseorang dewasa yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) 30 kg/m2 dan ke atas dikelaskan sebagai obes.
Walau bagaimanapun penilaian peratus lemak badan adalah lebih tepat. Seseorang individu boleh dikategorikan sebagai obes sekiranya peratus lemak di dalam badan melebihi 25 peratus bagi lelaki dan 35 peratus bagi wanita (Clinical Practice Guidelines on Management of Obesity, 2004).
Obesiti boleh memberi pelbagai kesan, terutamanya dari segi ketrampilan diri dan juga penyakit contohnya darah tinggi, kencing manis dan jantung. Langkah untuk mengelak daripada obesiti adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat.
Mengambil hidangan bijirin dan buah-buahan serta sayur-sayuran penting kepada tubuh kerana ia adalah sumber vitamin yang lengkap, tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti yang betul.
Senaman pula haruslah sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian secara berterusan setiap hari dalam tempoh 20 hingga 30 minit sahaja bergantung kepada aktiviti yang dilakukan. Senaman ini merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya.
Kesimpulannya corak pemakanan yang sihat amat penting dalam menjalani kehidupan seharian. Sekiranya tubuh tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik,segala aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Aktiviti harian juga menjadi tidak bermakna sekiranya badan sentiasa rasa tidak bermaya dan lesu.
____________________
Penulis ialah pelajar program Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
Sumber harakahdaily
No comments:
Post a Comment