Saturday, March 9, 2013

Hugo Chavez: Pejuang tulen pendidikan percuma — Karthiges


— Pada 5 Mac 2013, Hugo Chavez, seorang pejuang tulen hak rakyat telah meninggal dunia. Hugo Chavez juga merupakan antara pelapor perjuangan untuk pendidikan percuma di seluruh dunia. Pemuda Sosialis dan Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) mengucap takziah dan menyangjung perjuangan beliau dalam membina sebuah negara dan dunia baru tanpa penindasan.
Pada ketika beliau mengambil tampuk pemerintahan Venezuela pada tahun 1998, antara perubahan drastik yang cuba di bawanya ialah dalam sistem pendidikan negara. Beliau menyatakan pendidikan harus dikecapai oleh semua tanpa mengira kaum, agama dan kelas. Pendidikan haruslah percuma dan dinikmati oleh khususnya golongan miskin yang selama itu dipinggirkan oleh penindasan dan pengabaian.
Menurut laporan UNESCO, kadar literasi Venezuela akan mencapai 97 peratus pada tahun 2015 dan ini merupakan antara peningkatan tertinggi di dunia. Antara punca peningkatan ialah pelaburan yang berterusan dalam sistem pendidikan, peningkatan pembinaan universiti awam, penambahan kemasukan pelajar dari tadika hingga ke institusi pendidikan tinggi, dan pegangan bahawa pendidikan bukanlah satu komiditi dan adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyatnya.
Jesteru, Chavez mahukan kecapaian pendidikan secara menyeluruh dan mewujudkan polisi misi seperti Mission Robinson II, Mission Ribas dan Mission Sucre. Polisi Mission Robinson II adalah untuk memastikan kecapaian pendidikan asas kepada pelajar dan masyarakat dan sehingga 2011 lebih 710,196 pelajar dan orang dewasa telah diajar untuk membaca dan menulis. Mission Ribas pula diwujudkan kerana sehingga 1998, hampir 5 juta pelajar tidak dapat menghabiskan pendidikan sekolah tinggi kerana polisi penswastaan neo-liberal. Chavez menentang sistem penswastaan ini dan melalui misi ini lebih 630,000 pelajar berjaya melepasi pendidikan sekolah tinggi yang diberikan secara percuma. Misi Sucre pula ialah untuk pendidikan kolej dan universiti di mana pengangkutan, penginapan dan makan turut dibekalkan secara percuma untuk memastikan kecapaian pelajaran tanpa halangan. Menurut UNESCO, Venezuela mengecapai kadar enrolmen tertinggi dunia untuk pelajar ke universiti.
Chavez memberitahu bahawa pendidikan yang tulen ialah mengajar nilai kemanusian dan bukan kebendaan. Tiada sesiapa pun harus ditinggalkan di belakang hanya kerana kemiskinan. Beliau melihat pendidikan sebagai hak dan bukannya alat perniagaan sepertimana yang berlaku di negara kita. Chavez percaya rakyat sendiri secara demokrasi harus terlibat dalam penetapan polisi sistem pemerintahan (termasuk pendidikan) agar kepentingan umum dipelihara daripada cengkaman kaum kapitalis.
Pemikiran dan perjuangan Chavez boleh diteladani melangkaui sempadan kelas, negara dan bangsa. Pada ketika laungannya menjadi ancaman kepada kaum penindas, perjuangannya menjadi pedoman dan inspirasi kepada kaum pejuang kemanusian dan hak rakyat seluruh dunia. Bak kata hikmat, ‘Revolusi Tak Akan Melangkah Ke Belakang’, pemergiannya pasti akan diiringi dengan penerusan perjuangan.
Hidup Rakyat
Karthiges
Pemuda Sosialis & Penyelaras GMPP
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment