Wednesday, December 26, 2012

Tuntut royalti Terengganu


W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
26 Disember 2012
KUALA TERENGGANU – Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu meminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meneruskan usaha menuntut hak Terengganu jika benar kawasan medan minyak baru di Blok PM307 Bertam berada di kawasan perairan negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah berkata, usaha tersebut perlu dilakukan sekiranya fakta awal berhubung laporan yang diterima dari sebuah syarikat cari gali dari luar negara itu benar walaupun pihak atasan telah pun membuat kenyataan berhubung perkara itu.

Menurutnya, apa yang penting, tuntutan perlulah berdasarkan fakta yang jelas walaupun sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Pahang dijangka menerima sekitar RM100 juta setahun ekoran penemuan kawasan tersebut.

“Saya sebagai Pengerusi Amanah Terengganu menggesa Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu menuntut hak Terengganu ke atas Blok PM307 itu setelah beliau sendiri mengakui blok tersebut dalam kawasan perairan Terengganu yang boleh menghasilkan pendapatan RM100 juta setahun berdasarkan surat dari Syarikat Lundin Oil dari Sweeden,” katanya.

Raja Bahrin berkata demikian dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan 13 Disember lalu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah supaya menghormati keputusan kerajaan berkaitan hak milik kawasan minyak di Blok PM307 Bertam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas dua hari laporan berhubung kenyataan Ahmad Said pada Sidang Dun Terengganu ke-12 bahawa syarikat cari gali berpangkalan di Sweeden mengesahkan Blok PM307 Bertam berada dalam perairan Terengganu dan surat secara rasmi telah ditulis kepada Petronas tetapi belum mendapat jawapan rasmi.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin minta supaya isu  itu diselesaikan secara matang tanpa melibatkan emosi dan sentimen kenegerian, kedudukan dan kuasa seseorang.

“Hujah yang matang dan rasional  penting kerana seseorang pemerintah akan dihormati atas kebijaksanaan dirinya dan bukan semata-mata atas kuasa serta kedudukan sebagai orang besar dan pemerintah,” katanya.

Pada masa sama, Raja Bahrin turut meminta Ahmad menuntut kembali royalti minyak yang telah ditarik balik Kerajaan Negeri di bawah pimpinan beliau beberapa bulan lalu.

Saman terhadap kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti difailkan di mahkamah oleh Pas ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Sumber Sinar Harian

No comments:

Post a Comment