*Temuramah
ini harus diteliti dan difahami oleh semua pihak kerana ia megandungi
perkembangan-perkembangan terkini di Mesir serta pendirian-pendirian
rasmi Ikhwan Muslimin dalam banyak perkara pada masa yang sangat
kritikal ini.
[Temuramah: Gehad El-Haddad: “Ini adalah negara polis, kembali dengan kuasa yang ganas dan kejam”]
Gehad El Haddad, Jurucakap Rasmi Ikhwan Muslimin
Sebagai permulaan, bolehkah anda mula dengan menjelaskan laporan yang
mendakwa bahawa Ikhwan Muslimin bersedia untuk berunding dengan pihak
tentera dengan Kesatuan Eropah (EU) bertindak sebagai orang tengah?
Saya rasa Reuters telah membesar-besarkan perkara ini. Fakta yang
sebenar adalah bahawa EU memohon mengadakan pertemuan dengan Ikhwan.
Mereka mahu memahami pendirian kami dan apakah yang akan membawa kami ke
meja perundingan dengan pihak tentera.
Jawapan kami adalah,
secara rasmi dan tidak rasmi; kita memberitahu [Catherine] Ashton (Ketua
Dasar Luar EU: penterjemah) bahawa tiga perkara berikut perlu dipenuhi:
Pertama, menolak rampasan kuasa tentera dan mengembalikan kepada
keadaan sebelumnya, mengembalikan semula negara Mesir kepada negara
berperlembagaan yang sah, termasuk mengembalikan semula jawatan Presiden
Morsi, Perlembagaan Negara dan Majlis Syura.
Kedua, mengutuk
rampasan kuasa tentera. Menyatakan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa
tentera dan mengutuk negara-negara yang mengiktiraf rampasan kuasa
tentera tersebut.
Ketiga, mengutuk pencabulan hak asasi manusia, pencabulan dan jenayah yang dilakukan oleh rejim rampasan kuasa.
Ini adalah permintaan kami. Jika anda ingin meletakkan semua ini dalam
konteks apa yang mereka maksudkan dari segi perbincangan dan rundingan,
ini adalah seperti pra-syarat sebelum bermulanya apa sahaja. Selepas
itu, segala-galanya adalah di atas meja perunding perdamaian nasional.
Ini termasuk pindaan perlembagaan, pilihan raya parlimen, pilihan raya
presiden; keseluruhan hala tuju (road map) yang dinyatakan oleh Presiden
dua hari sebelum rampasan kuasa dan hala tuju yang yang sama itulah
yang disebut oleh Menteri Pertahanan sekarang, [Abdul Fatah] Al-Sisi.
Itu semua adalah perkara yang sama dari satu segi, perbezaannya adalah
satu berasaskan kesahihan perlembagaan manakala satu lagi berasaskan
kereta kebal tentera.
Anda mengatakan ada pra-syarat untuk
rundingan, tetapi pada masa Mohamed Morsi menjadi Presiden, beliau tidak
menerima pra-syarat untuk datang ke meja rundingan untuk perdamaian
nasional.
Jadi, sekarang kita membandingkan seorang Presiden dipilih dengan kereta kebal tentera?
Tidak, tetapi ia mungkin sukar untuk membawa orang ke meja dengan adanya pra-syarat.
Sudah tentu, kita tidak berminat untuk membawa tentera kepada mana-mana
meja perundingan. Malah, apabila saya berkata dialog kebangsaan dan
perdamaian, ia tidak melibatkan pihak tentera. Tentera bukan golongan
yang harus terlibat dengan politik dan mereka perlu memahami perkara
ini. Peranan tentera adalah di berek-berek dan mereka perlu ditolak
kembali ke berek dan tidak dibenarkan pada bila-bila masa untuk
mempunyai apa-apa peranan dalam dunia politik di Mesir. Kami telah
mengalami penderitaan sebanyak dua kali dengan membenarkan tentera
untuk mengambil peranan politik di Mesir. Sebelum ini adalah pada tahun
1954 apabila kami, dengan penuh kenaifan dan kejahilan, telah memberi
kepercayan kepada pihak tentera untuk melaksanakan pilihan raya secara
demokratik. Malangnya mereka tidak pernah laksanakan. mereka perlu
ditolak kembali ke berek. Ahli-ahli politik dan rakyat Mesir perlu
mengembalikan negara Mesir ke tangan mereka, dan mereka telah lakukannya
selepas revolusi 25 Januari. Kami laksanakan pilihanraya Presiden,
pilihan raya Parlimen, dua pindaan perlembagaan dan satu referendum
perlembagaan. Tetapi selepas itu semuanya dimusnahkan oleh tentera.
Adakah terdapat apa-apa jaminan mereka tidak akan lakukan sekali lagi?
Kita telah membincangkan apa yang tidak boleh dirunding dan apa yang boleh dirunding?
Segala-galanya. Apabila kita wujudkan kesinambungan perlembagaan,
segala-galanya boleh dirunding. Mengikut logik, Ikhwan Muslimin sekarang
berada di paras yang rendah dari segi populariti di kalangan pengundi.
Mengapa tidak diadakan pilihan raya parlimen? Akan wujud nanti wakil
rakyat yang sah; mereka akan dapat mengesahkan pindaan perlembagaan dan
seterusnya boleh melakukan referendum, meminta agar Presiden meletak
jawatan, mengadakan pilihan raya presiden yang lebih awal atau
mengadakan referendum bagi menentukan samada presiden harus terus
memegang jawatan tersebut. Mereka akan menjadi wakil rakyat yang sah.
Bukan seperti sekarang di mana tentera memilih pihak yang membantah
kerana ia lebih menarik kepada mereka daripada pihak yang lain dan
tentera membuat keputusan untuk memihak kepada golongan tersebut, kerana
tentera tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,
sekurang-kurangnya, ia tidak patut melakukannya.
Satu laporan
dari Guardian minggu lalu menyebut bahawa ahli Ikhwan Muslimin Mohamed
Ali Bishr, mendakwa bahawa dia telah bertemu dengan tentera untuk
mengadakan rundingan. Adakah sesiapa dari Ikhwan atau National Coalition
for Legitimacy mempunyai sebarang hubungan dengan tentera atau kerajaan
interim?
Dengan tentera? Ya.
Mohamed Ali Bishr memang
ada melakukan pertemuan, tetapi ia bukan rundingan. Kami tidak pernah
menutup pintu kepada komunikasi kerana ia membolehkan pihak lain untuk
memahami pendirian pihak yang lagi satu, dan itulah apa yang berlaku.
Mereka bertanya kepada kami apakah pendirian kami dan kami berkata,
"anda fikir anda menjemput kami untuk apa-apa jenis dialog dengan
menghantar peluru hidup, membunuh penunjuk perasaan kami, menutup
pejabat kita, merampas harta, menutup saluran television, menutup akhbar
dan memenjarakan pemimpin-pemimpin kami sewenang-wenangnya? 'Adakah itu
bentuk mesej bagi menjemput sesiapa ke meja perundingan? Sudah tentu
tidak.
Kami memaklumkan keengganan kami, serta menyatakan
bahawa ini adalah rampasan kuasa tentera; kami tidak akan mengesahkannya
dan hakikatnya ialah bahawa setiap keputusan yang mereka buat adalah
tidak sah. Ia dapat disanggah pada bila-bila masa dan saya membayangkan
bahawa gerakan anti-rampasan kuasa ini akan mengambil masa kira-kira
setahun, selepas itu, selepas ia menang, dan ia akan menang, dan itu
adalah kehendak rakyat. Tidak ada cara lain selain daripada itu. Pada
abad ke-21, satu rampasan kuasa tentera tidak akan dapat menguasai
negara. Apabila tentera merampas kuasa, setiap keputusan yang diambil
oleh kerajaan rampasan kuasa tentera, (Presiden mereka yang dilantik,
Perdana Menteri mereka yang dilantik, apa-apa perjanjian Tabung Kewangan
Antarabangsa atau pinjaman, atau keputusan pelantikan atau perubahan
undang-undang) semua itu akan terpadam dalam sekelip mata kerana
semuanya itu dilakukan tanpa asas yang sah.
Terdapat banyak
kekeliruan berkaitan dengan siapa yang telah dipenjarakan dan untuk
berapa lama. Siapakah pimpinan utama Ikhwan Muslimin yang kini berada di
dalam penjara?
Bilangannya semakin bertambah, terdapat dua
kumpulan. Yang pertama adalah pasukan presiden; terdapat sepuluh orang
yang ditahan dengan Presiden. Untuk rekod, Pakinam Sharkawy tidak pernah
menjadi salah seorang daripada mereka, dia dibenarkan untuk beredar
lebih awal, sejurus selepas ucapan rampasan kuasa oleh Al-Sisi. Selepas
itu mereka berada dalam tahanan, tidak dibenarkan berkomunikasi, tiada
komunikasi atau interaksi dalam bentuk apa sekalipun.
Terdapat
juga ahli-ahli Ikhwan Muslimin yang ditangkap, Parti Kebebasan dan
Keadilan (FJP) dan ahli-ahli kumpulan yang lain, bukan hanya kami. Pada
asasnya, mana-mana kumpulan yang berdiri di hadapan rampasan kuasa
tentera. Mereka bermula dengan menangkap Mahdi Akef, mantan Murshidul Am
Ikhwan, berusia 88 tahun, Khairat El-Shater Naib Murshidul Am, Dr
[Rashad] Bayoumi seorang lagi Naib, Dr (Saad) Al-Katatni, mantan speaker
parlimen yang juga Presiden FJP, Abdel Moneim Maqsoud, seorang peguam
FJP yang pergi untuk menyiasat mengapa Al-Katatni berada di penjara, dan
mereka berkata, “baik, kami akan tangkap anda juga”. Ini adalah negara
polis, kembali dengan penuh kekuasan yang keras dan ganas.
Anda
berkata tidak ada komunikasi sama sekali. Salah seorang daripada mereka
yang ditahan dengan pasukan presiden adalah bapa anda Essam El-Haddad.
Adakah anda mempunyai apa-apa komunikasi dengan dia?
Tiada
interaksi, tiada komunikasi. Salah seorang daripada ahli pasukan
Presiden telah menelefon salah seorang ahli keluarga beliau dan berkata,
"Kami ok". Itu sahaja. Pihak tentera hanya memaklumkan satu perkara
sahaja, iaitu mereka ditahan di satu tempat yang dirahsiakan.
Apakah yang anda tahu tentang Mohamed Morsi, ada apa-apa maklumat mengenai lokasi atau keadaan beliau?
Tidak ada sama sekali. Sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Beliau
adalah Presiden yang diculik dengan pasukannya, secara literalnya.
Setakat yang kita faham, pasukannya ada bersamanya, kita tidak mempunyai
bukti sebaliknya tetapi kita menjangkakan mereka berada bersama-sama.
Ikhwan telah menolak untuk bertemu dengan Timbalan Setiausaha (Amerika
Syarikat) William Burns, tetapi bertemu dengan Catherine Ashton dari EU,
mengapa terjadi begini?
Kami tidak menolak; ada permintaan
untuk bermesyuarat. Kami berkata mari kita bermesyuarat, ia hanya tidak
pernah berlaku kerana masalah logistik bagi menganjurkannya. Kami tidak
pernah menutup pintu untuk mengadakan dialog dengan sesiapa sahaja.
Akhirnya, kami mahu menjelaskan pendirian kami supaya orang memahami
apakah pendirian kami, apa yang sedang kami lakukan dan apa yang kami
ingin lakukan. Ini adalah apa yang Ikhwan Muslimin lakukan dan apa yang
National Coalition for Legitimacy dan Gerakan Anti-Rampasan Kuasa
lakukan. Kami telah lakukan ini dengan Ashton dan kami bersedia untuk
melakukannya dengan sesiapa sahaja. Akhirnya, seluruh dunia perlu
memahami ia adalah satu rampasan kuasa tentera, dan tidak kelihatan
bodoh dengan cuba untuk tidak menggunakan perkataan 'rampasan kuasa
tentera'. Semua tindakan ini hanya akan meningkatkan ketidakpercayaan
kepada sikap kepura-puraan dan hipokrasi Barat: cuba untuk menganjurkan
demokrasi selama beberapa dekad dan dalam ujian pertama ini mereka telah
gagal.
Adakah anda merasakan bahawa Amerika Syarikat telah berpihak dengan tentera dan kerajaan interim dengan apa-apa cara?
Ia adalah salah satu daripada dua perkara berikut: sama ada Amerika
Syarikat bersubahat dalam konspirasi rampasan kuasa tentera, atau
Amerika Syarikat benar-benar mengalu-alukannya. Tidak ada yang yang
lain, tidak ada pilihan ketiga di sini dan ini adalah kerana kedudukan
kepimpinan yang Amerika Syarikat telah letakkan dirinya, itulah juga
kenapa dunia kini berada dalam keadaan yang bercelaru pada masa ini.
Negara utama yang telah menganjurkan demokrasi di seluruh dunia adalah
yang negara paling hipokrit kerana menyebelahi kepentingan sendiri, atau
dilihat sebagai kepentingan sendiri dan bukannya berasaskannnya
prinsip.
Maka tidak hairanlah jika Amerika Syarikat adalah
negara yang paling dibenci di kedua-dua pihak itu sekarang, kerana
mereka cuba untuk berjalan di atas garisan yang tidak wujud. Anda perlu
memilih salah satu, adakah anda bersama dengan prinsip demokrasi atau
adakah anda berdiri dengan apa yang dilihat sebagai kepentingan sendiri.
Adalah satu kenaifan jika anda berfikir bahawa kepentingan anda adalah
bersama tentera, sedangkan untuk pertama kalinya kami mempunyai peluang
untuk membina sebuah negara demokrasi yang baru muncul di Mesir yang
boleh berjaya dalam sekelip mata. Ia adalah satu proses yang sangat
panjang dan memerlukan banyak penyertaan dan sokongan, dalam dan luar
Mesir, tetapi anda telah membenarkan negara-negara jiran untuk
menjejaskan kestabilan pentadbiran Morsi.
Antara negara-negara jiran yang anda rujuk?
Negara-negara Teluk, mereka yang mengiktiraf rampasan kuasa,
negara-negara yang sabotaj bantuan kepada Mesir lebih daripada sekali.
Negara-negara yang kini, apabila rampasan kuasa berlaku, bergegas untuk
mengiktirafnya; tiba-tiba Mesir menjadi rakan mereka yang terbaik dan
mereka lambakkan banyak wang, $12billion, ke dalamnya. Demokrasi akan
mengubah rantau ini jika ia dibenarkan berlaku kerana rakyat
bercita-cita untuk mempunyai kebebasan untuk memilih pemimpin mereka
sendiri, tetapi jika anda menutup jalan untuk pemindahan kuasa secara
aman melalui cara demokratik, anda telah mengurangkan keupayaan
orang-orang bijaksana untuk menundukkan hujah yang menggalakkan
keganasan. Sekarang hujah kami terima daripada mereka adalah “kami dah
katakan. Demokrasi adalah untuk semua orang kecuali kepada parti Islam
'.
Ramai yang mengatakan bahawa semasa pemerintahan Morsi,
beliau melaksanakan amalan yang tidak demokratik: sebagai contoh,
pengisytiharan perlembagaan November 2012, pelantikan Talaat Abdallah
sebagai pendakwa umum dan cara perlaksanaan referendum perlembagaan
secara tergesa-gesa.
Cara anda bertanya soalan telah memberi
indikasi di mana letaknya masalah tersebut. Anda berkata bahawa
perlembagaan telah dilaksanakan secara tergesa-gesa. Itu tidak benar, ia
mengambil masa enam bulan, kini kerajaan interim mengumumkan
perlembagaan dalam tempoh empat bulan. Ia mengambil masa enam bulan,
bukan kerana Morsi memilih itu tetapi sebenarnya kerana Majlis Tertinggi
Angkatan Tentera (SCAF) telah meminda perlembagaan pada tahun 2011 dan
mengunci pelan tindakan dan menuntut masa selama enam bulan untuk
menulis perlembagaan. Kebanyakan pilihan tindakan yang kita ada semuanya
tersekat oleh proses interim, yang ditentukan oleh SCAF pada masa itu.
Malah kemusnahan Parlimen adalah juga melalui cara yang sama.
Mari kita tetapkan dua peraturan di sini. Pertama, tiada siapa yang
mempunyai hak, walaupun Jabatan Negara (Amerika Syarikat), untuk
mengatakan bahawa pemerintahan Morsi adalah tidak demokratik. Ia bukan
hak anda untuk berkata demikian. Satu-satunya orang yang boleh berkata
demikian adalah rakyat Mesir. Kedua, rakyat Mesir tidak bercakap melalui
rancangan “talk show” di television atau melalui akaun Twitter atau
pemimpin yang tidak dilantik yang tidak boleh bercakap mewakili rakyat
Mesir. Rakyat Mesir bercakap melalui dua cara: sama ada secara langsung
melalui peti undi atau melalui badan-badan perwakilan mereka.
Terdapat dua badan-badan perwakilan di Mesir: Presiden dan Majlis Syura.
Bagi yang lain, ia adalah pendapat dan tidak dikira kecuali apabila ia
diletakkan ke dalam konteks proses demokrasi. Dalam konteks itu, apa
yang kami beritahu kepada semua orang adalah 'mari kita adakan pilihan
raya parlimen”. Sekurang-kurangnya, maka anda akan mempunyai Ahli
Parlimen yang mempunyai legitimasi untuk bercakap bagi pihak rakyat, dan
mereka akan mempunyai suara untuk bercakap tentang sama ada presiden
ini adalah demokratik, jika dia telah melakukan yang terbaik. Mereka
akan menyuarakan pendapat mereka sama ada kita perlu mengadakan ada
pilihan raya presiden lebih awal atau referendum bagi menentukan
presiden harus terus menjawat jawatan tersebut, namun ia perlu melalui
proses demokrasi. Bukannya berakhir dengan calon presiden yang gagal
yang sentiasa menjauhkan diri dari setiap pilihan raya dan kemudiannya
pergi merengek kepada tentera, dan kemudiannya diletakkan sebagai
kepimpinan negara secara paksaan kerana tentera fikir dia cukup comel
untuk jawatan tersebut.
Siapa yang anda maksudkan?
Dr [Mohamed] ElBaradei
Akhbar Daily News Egypt baru-baru menemubual jurucakap tentera. Dia
menuduh Ikhwan menggunakan senjata dan menyifatkan taktik Ikhwan sebagai
"peperangan propaganda". Adakah anda mempunyai respon terhadap
kenyataan tersebut?
Saya fikir mereka pada dasarnya menerangkan
taktik mereka sendiri, kerana bukti-buktinya jelas. Tentera masih
mempunyai kenaifan untuk berfikir bahawa kita masih berada pada tahun
1954 dan 1956 kerana mereka merencanakan perkara yang sama sebelum ini.
Tetapi ini adalah era digital, ini adalah era di mana semua orang dengan
iPhone atau kamera boleh merakam apa yang sedang berlaku. Beberapa jam
selepas persidangan akhbar mereka berates-ratus video muncul di YouTube
menunjukkan pembunuhan beramai-ramai dari setiap sudut dan ia
benar-benar menyokong kisah di pihak kami, dan tentera terus malu untuk
mendedahkannya lagi. Mereka perlu mengakui hakikat bahawa mereka
menggunakan peluru hidup tanpa amaran, membunuh penunjuk perasaan pada
waktu subuh semasa mereka solat. Maksud saya, apakah kebodohan yang
mempengaruhi mereka, apa kezaliman yang menguasai sehingga mereka
membunuh rakyat mereka sendiri dengan peluru mereka sendiri, gaji mereka
dibayar oleh oleh pembayar-pembayar cukai Mesir?
86 meninggal
dunia pada satu pagi atas arahan tentera. Kita tidak boleh membenarkan
ini berterusan, dan tidak kira apa sahaja yang mereka katakan ia adalah
sebuah negara polis, kembali dengan kuasa yang zalim. Mereka sendiri
yang membunuh rakyat Mesir secara beramai-ramai, mereka merekacipta
bukti dan keterangan dan mereka memotong dan mengedit rakaman video dari
adegan yang berbeza dan cuba untuk mempersembahkannya sebagai bukti.
Pasukan polis mereka-reka cerita-cerita yang diperlukan, badan kehakiman
bersubahat menerima keterangan dan media menjual kepada orang ramai dan
anda mempunyai kes.
Perkara yang sama juga telah berlaku dari
pihak anda juga; terdapat gambar dua orang kanak-kanak Syria yang
didakwa terbunuh di luar ibu pejabat Pengawal Republikan.
Salah
satu laman web yang berkaitan dengan Ikhwan Muslimin adalah sebuah
laman web tidak rasmi. Akhirnya, terdapat beberapa wartawan yang berbeza
yang menulis artikel tersebut dan menggunakan gambar-gambar mereka
sendiri, sudah tentu mereka akan membuat kesilapan. Kami mempunyai
maklumat tentang apa yang berlaku di tiga buah hospital, dan pusat
perubatan Rabaa, dan kami mempunyai laporan yang soheh oleh mereka yang
menyaksikan kejadian serta rakaman video tentang apa yang berlaku di
sana. Ia adalah satu bantahan secara aman yang dilakukan oleh lelaki,
wanita dan kanak-kanak. Kematian kini direkodkan dan semua orang
mempunyai salinan-salinannya.
Jumlahnya 51 orang dan selebihnya
masih dalam proses pengesahan. Human Rights Watch dan Amnesty
International menerbitkan laporan mereka berdasarkan laporan saksi.
Malangnya kebanyakan orang-orang yang meninggal dunia daripada 86 orang,
tidak mati kerana tembakan peluru terus ke kepala tetapi akibat
daripada ditinggalkan berjam-jam dalam keadaan cedera di tempat
kejadian.
Mereka tidak boleh dibawa ke hospital kerana tentera
terus menembak. Ia adalah pertumpahan darah yang berlangsung selama
berjam-jam, bahkan orang-orang yang melarikan diri dari tempat kejadian
dikejar, ditangkap malah ada yang ditembak dalam keadaan mereka telah
cedera. Kita telah melihat rakaman video yang seolah-olah telah berlaku
beberapa jam selepas itu di mana pihak polis sebenarnya menembak mereka
yang telah cedera. Ia sebenarnya adalah pertumpahan darah dan pembunuhan
beramai-ramai. Dan siapa boleh percaya bahawa pihak rejim rampasan
kuasa tentera boleh melakukan sebarang jenis penyiasatan bebas?
Penyelaras bantahan aman itu, sebaik sahaja mereka tiba di lokasi
Pengawal Republikan malam sebelumnya, menghubungi pejabat utama kelab
Pengawal Republikan dan mewujudkan saluran komunikasi supaya jika
apa-apa yang tidak kena ada saluran komunikasi. 'Apa yang berlaku? Apa
yang berlaku di sini? Adakah anda ingin kami bergerak beberapa blok?
'Terdapat penyelarasan, ia merupakan satu bantahan secara aman, dan
tidak ada alasan yang sah atau keperluan untuk menembak secara terbuka
terhadap peserta bantahan aman. Siapakah yang mengeluarkan arahan
tersebut itu?
Sejauh mana pentingnya untuk anda terus berada di
Rabaa dan apa yang anda fikir tentang reaksi penduduk tempatan, ada
yang mengatakan bahawa mereka telah mula bosan dengan tindakan duduk
bantah ini?
Saya boleh memahami rungutan mereka terhadap
perserta-peserta bantahan aman ini. Terdapat beratus-ratus ribu orang
berkumpul berhampiran dengan tempat tinggal mereka dan ini memberi kesan
kepada kehidupan mereka. Ada yang memahami keperluan dan kesahihan
tindakan ini dan bersedia untuk bersabar dengan kami namun ada yang
tidak. Namun pada masa ini, kita tidak punya pilihan.
Secara
literalnya ini adalah Tahrir 2.0. Satu-satunya sebab mengapa ia tidak
berlaku di Tahrir adalah kerana ia kini dipenuhi dengan molotov koktil
dan samseng, itulah sebabnya kami memutuskan untuk tidak melakukan
sebarang konfrontasi kerana pada akhirnya, apa yang kami sedang lakukan
adalah untuk memastikan bahawa bantahan ini adalah bantahan aman dan
non-violent. Perjuangan kita adalah adil dan tiada siapa yang mempunyai
apa-apa tuntutan yang lain selain daripada itu. Kami berdiri bagi
menentang satu rampasan kuasa tentera yang mengambil alih negara kita
secara kekerasan.
Kami bekerjasama dengan ramai rakyat Rabaa.
Terdapat satu jawatankuasa penyelaras yang telah ditubuhkan untuk
menangani secara langsung peraturan berkaitan bangunan. Mereka yang
berurusan dengan isu-isu seperti sampah tidak dikutip dengan segera,
atau beberapa orang yang tidur di taman-taman dalam bangunan itu
sendiri. Kami menubuhkan jawatankuasa penyelaras untuk memastikan agar,
seboleh mungkin, tidak berlaku tekanan ke atas penduduk di kawasan
tersebut.
Bagi kami, ini adalah tidak lebih daripada satu
lokasi pusat seperti Tahrir semasa revolusi 25 Januari tetapi perarakan
yang berlaku sekitar Kaherah dan kawasan-kawasan di seluruh Mesir yang
semakin meningkat bilangan dan saiz sejak kami mulakan gerakan ini. Kami
lakukan duduk bantah ini selama 21 hari, ia adalah yang paling lama dan
ia telah mendapat pengiktirafan daripada rakyat dan mereka telah
merasakan ada ikatan dan hubungan dengan gerakan ini serta makin ramai
yang turut serta untuk bersama-sama.
Malam ini (Khamis) dan
esok (Jumaat) bilangannya akan semakin bertambah. Esok adalah hari
Sejuta Lelaki Berarak (Million Man March) yang akan berkumpul di satu
lokasi, yang akan dimaklumkan pada pagi Jumaat. Jadi gerakan berkaitan
duduk bantah ini adalah sangat penting kerana di situlah berlaku
perhubungan dan penglibatan rakyat.
Terdapat laporan yang
mengatakan bahawa orang-orang di Rabaa telah dihalang daripada
meninggalkan kawasan tersebut serta rakyat yang menyertai bantahan ini
telah dibayar. Saya ingin mendengar reaksi anda.
Anda boleh
berjalan di sekeliling Rabaa dan bertanya kepada sesiapa sahaja yang
anda mahu. Semuanya berlaku secara terbuka, kita telah menerima diplomat
dari seluruh dunia serta orang-orang Mesir dari kedua-dua belah pihak,
malah mereka yang dari kem anti-Morsi juga telah datang. Rakyat berada
di sini dengan pilihan sendiri, mereka berada di sini untuk
mempertahankan keputusan pilihanraya yang telah mereka lakukan melalui
peti undi, untuk memilih pemimpin bagi negara mereka dan mereka tidak
akan membenarkan tentera untuk mengambil alih hak tersebut , dan mereka
memutuskan untuk meningkatkan usaha bagi mempertahankan hak tersebut.
Ikhwan telah gagal untuk mengutuk tindakan keganasan terhadap Kristian di seluruh negara.
Mari kita berterus-terang di sini. Sentiasa ada [mengutuk keganasan
tersebut]. Kami tidak pernah mengesahkan keganasan di bawah mana-mana
keadaan. Satu-satunya masa yang pernah kita mengesahkan keganasan adalah
ketika kami berada di bawah penjajahan British, cuba untuk menghalau
penjajah keluar daripada negara kami. Selain daripada itu kami tidak
mengiktiraf keganasan sebagai cara untuk melakukan perubahan.
Di laman web Bahasa Arab rasmi Ikhwan, Ikhwan Online, minggu ini ada
satu artikel yang mendakwa bahawa Sheikh Al-Azhar bersubahat dengan
Gereja Coptic untuk menggulingkan Morsi. Tidakkah anda fikir bahawa ini
adalah satu kenyataan yang bertujuan menimbulkan kemarahan?
Ia
bukan laman web rasmi Bahasa Arab. Ia adalah sebuah laman web yang
memaparkan pandangan ahli-ahli Ikhwan Muslimin dan para penulis. Ia
mewakili pandangan orang ramai, dan sesiapa yang berpendapat bahawa
sesuatu pandangan itu tidak berasaskan fakta yang tepat, maka mereka
perlu berbincang dengan mereka yang menulis itu.
Ikhwan
Muslimin menyatakan kedudukan rasmi dengan dua cara: sama ada melalui
jurucakap rasmi (terdapat tiga daripada mereka,) atau melalui kenyataan
rasminya.
Apakah respon anda kepada kemunculan kumpulan Ahrar
yang mendakwa menjadi ahli Ikhwan yang menyeru kepada perubahan
kepimpinan Ikhwan, termasuk untuk mengganti Murshidul Am?
Ia adalah melucukan kerana mereka diketuai oleh Parti Demokratik Kebangsaan. Itulah jawapan saya.
Adakah terdapat apa-apa kebimbangan dalam Ikhwan di mana rakyat akan
sampai ke tahap di mana mereka akan berfikir bahawa telah tiba masa
untuk berunding tanpa Morsi dikembalikan ke jawatan Presiden?
Ikhwan Muslimin adalah sebuah organisasi melalui pilihan sendiri; malah
anda membayar 10% daripada pendapatan anda kepada Ikhwan untuk menyokong
pergerakan itu sendiri. Ia adalah dengan pilihan sendiri, jika anda
tidak mahu ia, anda boleh meninggalkannya.
Sesiapa sahaja boleh
berbuat demikian tetapi pendirian Ikhwan, kita mengatakan, tidak. Kami
berhak untuk mempunyai pendirian kami sendiri. Itu sahaja yang kami
katakan, kami mempunyai pendirian kami sendiri. Sesiapa sahaja yang
bersetuju dengan pendirian kami adalah dengan kami dan di kem ini.
Jika seseorang anggota Ikhwan Muslimin memutuskan untuk berunding tanpa
Morsi dikembalikan sebagai Presiden, adakah dia akan kekal sebagai ahli
Ikhwan?
Mereka boleh pergi dan berbincang dengan tentera
secara sendirian, tetapi Ikhwan mengambil keputusan secara demokratik
melalui mekanisme membuat keputusannya, bukan dengan mengikut sesuka
hati ahli.
Terjemahan oleh : Hj Nahar Md Nor (JKP Pertubuhan IKRAM Malaysia)
Sumber : Daily News Egypt