Tuesday, June 24, 2014

Ustaz Abu Bakar ikon kejayaan Pemuda PAS


SUHAIZAN KAIAT

Pemuda PAS Malaysia (PPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Datuk Ustaz Abu Bakar Chik yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi, jam 4.30 pagi semalam. PPM merasa terkejut dengan pemergian almarhum kerana baharu sahaja beliau menghadiri beberapa program minggu ini dan yang terakhir pada malam tadi bersama dengan Pemuda PAS Negeri Selangor.

PPM menganggap pemergian almarhum adalah suatu kehilangan besar kepada jemaah Islam khususnya pendokong-penokong PAS kerana beliau adalah pemimpin besar yang sentiasa hidup di hati ahli-ahli PAS serta rakyat umumnya. Kerendahan jiwa dan kekuatan tarbiyahnya mendorong PAS menjadi parti yang disegani rakan dan lawan. Beliau adalah duta dan pemimpin yang berjaya mengukir nama dalam kalendar kejayaan PAS disamping mampu menyebar luaskan dakwah melalui pelbagai lapangan, daripada politik, kegiatan masyarakat, hubungan antarabangsa mahupun pendidikan.

Selain menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sejak tahun 2000 sehingga sekarang serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, kerjaya  politiknya sentiasa menyerlah dan cemerlang. Beliau adalah ikon politik, murabbi ummah, guru politik dan aktivis yang berjaya menjadi contoh terbaik. Ketokohan beliau lebih terserlah dalam bidang pendidikan dan banyak mengasaskan sistem pendidikan di negeri Terengganu dan di negara ini. Beliau terlibat mengasaskan Pusat Pendidikan Pra Sekolah TASKI ABIM pada tahun 1979, Mengasaskan Darul Qur’an di Rusila pada tahun 1983, Mengasaskan Pusat Pendidikan Islam Darul Taqwa, Terengganu pada tahun 1987 serta menjadi Pengerusi PASTI Malaysia pada tahun 1989 hingga 1999.

Dalam lapangan masyarakat terutama melibatkan agensi antarabangsa, beliau adalah insan disegani serta kehebatan beliau sukar ditandingi. Beliau pernah menjadi Ahli Persidangan Buruh Antarabangsa, Karachi pada tahun 1989, Pengarah Ijtima’ Perpaduan Ummah Antarabangsa kali pertama dan kedua pada 1989 & 1993, Ahli Persidangan Perpaduan Masyarakat Islam Antarabangsa, Turki pada 1994,1995 dan 1996, menjadi anggota JK Nadwatul Shabab Al Alami di Khortoum, Sudan pada 1997 & 1998, Ahli Persidangan Islamic Development Bank, Tajikistan dan Uzbekistan pada 2003, menjadi Presiden AFMY pada 2005-2013, serta mengasaskan Internasional Muslim Busines Netword (IMBNet) pada tahun 2007.

Kegigihan beliau dalam perjuangan Islam serta menegakkan kebenaran tanpa kenal takut, letih dan jemu sehingga beliau ditahan di bawah ISA pada 1984-1986. Kerana kekentalan jiwanya dan ketokohannya, beliau diangkat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia selama sepuluh tahun bermula 1989-1999. Sejarah panjanganya dalam Pemuda PAS di era tahun 1980an tidak mungkin dapat dilupakan. Jasa dan sumbangannya amat besar sehingga terbinanya institusi besar yang berdiri megah di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia, antaranya adalah Jabatan AMAL Malaysia, Jabatan Pelajar, Jabatan Kerajaan dan Swasta dan Jabatan PASTI.

PPM akan sentiasa mengenang Ustaz Datuk Abu Bakar Chik sebagai ikon kejayaan pemuda yang melakar kegemilangan demi kegemilangan serta mengharumkan nama pemuda PAS di pentas dunia. Semoga keluarga almarhum Datuk Ustaz Abu Bakar Chik sabar menghadapi ujian berat yang melanda dan PPM mendoakan semoga roh almarhum ditempatkan sebagai  insan soleh dan dikurniakan Syahid di Jalan Allah SWT. Al Fatihah.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment