Wednesday, November 21, 2012

Pelaksanaan AES diteruskan-Dewan Rakyat


Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan.
Sekitar Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR: Usaha wakil rakyat pembangkang menghalang pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berakhir apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan.
Rang Undang-Undang itu diluluskan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas memperoleh persetujuan majoriti Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) melalui undi belah bahagi (bersetuju:78, tak bersetuju:49).
Pandikar memutuskan untuk segera menamatkan penggulungan selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menerima tekanan bertubi-tubi daripada ahli parlimen pembangkang yang bangkit mempersoalkan AES sejak tengahari tadi.
Dewan Rakyat sebelum itu gamat ketika membahaskan penggulungan apabila Kong dihujani pelbagai persoalan dan dakwaan mengenai pemasangan kamera AES serta keberkesanannya mengurangkan jumlah kematian.
Keadaan bertambah kecoh apabila Ahli Parlimen PAS-Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menimbulkan persoalan mengenai dua syarikat utama yang mendapat tender pemasangan kamera AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.
Mahfuz berkata melalui maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ATES Sdn Bhd merupakan syarikat berdaftar pada 12 Februari 2009 dan perniagaannya berasaskan konsesi yang diperoleh daripada kerajaan termasuk sistem penguatkuasaan trafik automatik.
Manakala Beta Tegap Sdn Bhd yang didaftar pada 7 Februari 2004 mendapat kelulusan kerajaan menjalankan operasi membekalkan barangan dan perkhidmatan, menguji, serta memasang AES.
“Macam mana dua syarikat ini tahu dia boleh dapat jaminan tender daripada kerajaan sedangkan Kabinet luluskan AES pada tahun 2006 dan saringan pemilihan tender dilakukan tahun 2008?
“Dia daftar syarikat semata-mata nak dapat tender.
Perompak jalanan
“Ini menunjukkan ada perkara yang tak kena…ini bukan untuk menyelamatkan nyawa manusia tapi untuk mengkayakan kroni, merompak hak rakyat. Ini perompak jalanan.
“Kamu (BN) nak sokong kamu boleh sokong, kamu pun jadi perompak. Kerajaan menggunakan kamera untuk menyelamatkan manusia, bohong!” tegas Mahfuz penuh emosi.
Dakwaan Mahfuz itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen BN-Hulu Terengganu Mohd Nor Othman
“Memang BN perompak…!” katanya sinis.
Walaupun Speaker cuba untuk menenangkan keadaan namun usaha itu tidak berjaya apabila Mahfuz tetap berdiri membangkitkan hujah dan persoalan.
Kemudiannya, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) bangkit mendesak agar perjanjian pemberian tender antara dua syarikat terbabit dengan Kementerian Pengangkutan yang menjadi Akta Rahsia Rasmi didedahkan kepada umum.
Kong bagaimanapun dilihat cuba bersikap tenang dan menepis segala dakwaan.
“Ahli-ahli Yang Berhormat tak nak dengar jawapan saya…sengaja nak putrar belit dan kelirukan Dewan…tapi tidak mengapa, darah tinggi saya belum naik,” katanya.

Sumber freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment