Saturday, January 17, 2015

LANGKASUKA - KERAJAAN MELAYU PURBA...!!!

Langkasuka, adalah lambang yang boleh dijulang sebagai antara kerajaan-kerajaan Melayu terawal. Langkasuka dan Kedah Tua adalah entiti yang sama dengan Pattani. Ada pengkaji yang mengatakan bahawa Kedah Tua dan Pattani seterusnya adalah lahir daripada Langkasuka. Pengkaji yang lain pula mengatakan bahawa nama sahaja berbeza kerana selepas beberapa ketika, kerajaan ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan antaranya ialah Kedah Tua dan Pattani. Apa-apa pun, Kedah Tua dan Pattani tetap juga dikenali sebagai Langkasuka oleh para pengkaji. Sebagai contoh filem Queen Of Langkasuka sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Pattani. Ini sekaligus mengakui bahawa kerajaan-kerajaan yang saya sebut merupakan entity yang mewakili Langkasuka...
Apabila kita bercakap mengenai Langkasuka, kita harus tahu sejarah awal mengenai kerajaan ini. Tiada sumber lain yang menceritakan mengenai Langkasuka kecuali Hikayat Merong Mahawangsa, yang menjadi sumber utama sejarah Negara Kedah. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, mengatakan bahawa Langkasuka dan Kedah Tua adalah merupakan sebuah kerajaan kembar yang menguasai keseluruhan kawasan utara Tanah Melayu. Hikayat tersebut memperkatakan mengenai kedudukan kota tersebut yang dikatakan berada di sekitar kaki gunung jerai...
Kalau membaca mengenai Hikayat Merong Mahawangsa, diceritakan mengenai seorang raja yang mendakwa bahawa dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang tak lain tak bukan merupakan Zulkarnain di dalam Al-Quran. Hikayat Merong Mahawangsa menyebut lagi sebuah kisah yang sangat berkait dengan Nabi Khidir A.S, Nabi Sulaiman A.S, garuda, Empayar Han di China dan juga Rom di barat. Diceritakan ketika kapal Raja Merongmahawangsa sedang belayar dari Rom untuk ke China, kapalnya telah diserang oleh seekor burung garuda dan akhirnya telah terdampar di sebuah tempat yang bernama Langkasuka lalu menabalkan anaknya, iaitu Raja Merong Mahadipusat sebagai pemerintah Langkasuka ketika itu lalu kembali ke Rom. Tanah itu kemudiannya dikenali sebagai Kedah Zamrin Tuan. Kemudian, 3 orang anaknya ditabalkan menjadi raja kepada bebeberapa wilayah atau negeri, di mana anak sulungnya ditabalkan menjadi Raja Siam (bukan Thai kerana siam adalah rumpun Melayu) manakala Raja Ganjil Sarjuna ditabalkan menjadi Raja Perak dan seorang puteri raja yang jelita menjadi raja Pattani. Mungkin dari keturunan inilah yang diambil kisah Queen Of Langkasuka oleh Thailand...
Mengenai asal usul Langkasuka ini, sebenarnya ianya sangat terkenal dalam catatan China, India, Arab, Melayu dan Eropah sendiri. Mereka yang mengunjungi Langkasuka sangat kagum dengan kemahuan pelabuhan yang ditubuhkan oleh orang Melayu ini, bahkan pelabuhan yang sedang maju itu jauh lebih awal daripada era 3 Kerajaan Di China, jauh lebih awal daripada era Rom menjadi sebuah empayar yang sangat gagah, kira-kira 600 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Catatan pedagang China yang dicatatakan pada abad ke-8 masihi yang dikenali sebagai T’ung Tien mencatatakan mengenai Langkasuka. Diceritanya lokasi Langkasuka ini terletak berdekatan dengan Laut Selatan (Laut Cina Selatan), boleh diagak mungkin kerana empayar Langkasuka itu merentasi keseluruhan utara semenanjung Tanah Melayu. Jaraknya ialah 24 000 li daripada Canton dan iklim, penduduk serta hasil produk negara Langkasuka tidak banyak beza dengan saudara jauh mereka di Funan. Yang paling mengagumkan mengenai Langkasuka ini ialah diceritakan mengenai raja Langkasuka yang memakai jubbah emas berserta subang. Perempuan pula memakai baju yang ditenung dengan kualiti yang sangat tinggi manakala mereka sentiasa bertakhtakan emas permata. Begitulah kekayaaan Langkasuka yang digambarkan oleh pedagang China tersebut...
Langkasuka ini juga dikenali atas beberapa buah nama antaranya ialah Lang-ya-Shu, Lang-His-Sia, dan Lang-Chia Shu oleh lidah orang cina yang mengenali kerajaan ini. Langkasuka pernah berada di bawah pemerintahan saudara sebangsa mereka iaitu Funan di Indochina bahkan pernah menjadi sebagai pusat pemerintahan untuk sebuah empayar Melayu yang sangat gah dalam sejarah, iaitu Srivijaya...
Dalan kita memperkatakan mengenai Langkasuka, Eropah juga seperti tidak mahu ketinggalan mahu menceritakan kepada anak cucu mereka mengenai kehebatan bangsa Melayu menubuhkan kerajaan mereka. Di dalam buku yang ditulis oleh Marco Polo, [6] beliau telah menulis mengenai sebuah kerajaan yang sangat masyur di telinga bangsa asing, mengenai sebuah kerajaan di timur jauh yang kaya raya, kerajaan di mana sang rajanya memakai pakaian daripada emas, si wanitanya pula memakai pakaian sutera. Kisah mengenai negara kota yang dibarisi oleh tembok pertahanan berserta pintu gerbang bersalut emas. Bahkan terdapat penemuan mengenai tali pinggang yang dipercayai bersalut emas juga seberat di tapak 27, tapak arkelogi Langkasuka, berupa tali pinggang seberat 7.8kg yang dipercayai pakaian raja-raja silam sebelum Perang Dunia Kedua. [7] Marco Polo telah tertarik untuk melawat Langkasuka ini dan di dalam bukunya, diberi nama Kerajaan Lindungan Bulan...
Bercerita mengenai Langkasuka ini, anda sebenarnya boleh bercakap banyak perkara mengenai kegemilanganya. Sebagai contoh, saya memetik bagaimana Langkasuka menjalankan hubungan dengan Maharaja China, membina hubungan yang baik antara Langkasuka dan China. Selepas berjaya mermedekakan negara mereka dari jajahan saudara jauh mereka, Funan, Langkasuka menghantar utusan ke China sebanyak lima kali bagi memperoleh iktiraf Maharaja China. Sebanyak empat orang telah dikirimkan. Kemudian, utusan saling diutuskan oleh Maharaja China dan Raja Langkasuka bagi mempereratkan lagi hubungan antara Kerajaan Melayu ini dan Empayar China...
Apabila kita bercakap mengenai Langkasuka saranan, saya adalah jangan sesekali kita terlepas untuk bercakap mengenai sebuah pusat tamadun di Asia Tenggara, bukti sebgaai bangsa Melayu sebagai pemula sebuah tamadun di Asia Tenggara sekaligus MENEMPLAK GOLONGAN KIASU yang CUBA MENCINAKAN SEJARAH BANGSA MELAYU!
Lembah Bujang telah dikaji dan dikatakan merupakan tempat asal-usulnya Langkasuka dan Kedah Tua. Kajian juga menunjukan bahawa Lembah Bujang juga merupakan sebagai salah satu kerajaan lama yang penting dalam abad pertama masihi sebagai salah satu persinggahan dalam perdagangan di rantau Asia Tenggara. Malah dikatakan juga, penempatan di Lembah Bujang adalah merupakan satu kerajaan atau negeri yang mempunyai penyusunan masyarakat yang tersusun dan jaringan pertukaran barangan tersendiri dengan menggunakan sungai-sungai sebagai penghubung antara kawasan...
Namun, buat masa sekarang kajian telah mendapati bahawa Lembah Bujang sebenarny aberusia sekurang-kurangnya pada awal 500 TAHUN SEBELUM MASIHI LAGI! KIRA-KIRA 500 TAHUN SEBELUM KELAHIRAN NABI ISA A.S dan 1000 tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam berpuluh tapak arkelogi Lembah Bujang yang dipercayai merupakan tempat bermulanya Langkasuka dan Kedah Tua, 4 daripadanya adalah industri peleburan besi. Bukti yang didapati ialah sisa besi, bahan mentah (hematit dan magnetit), ketulan besi merupai jongkong, juga ditemui ‘tuyere’, pecahan atau tinggalan relau, abu dan arang pembakaran. Sampel arang telah dihantar ke Makmal Radiokabon untuk ditentukan tarikhnya. Keputusannya sehingga kini menunjukkan Sungai Batu telah dijadikan kawasan industri (lebih 20 tapak yang telah dipetakan) peleburan besi sejak abad pertama Masihi (2000 tahun dahulu) hingga abad 13 Masihi (800 tahun dahulu).
Kajian di Sungai Batu belum menemui relau yang lengkap. Semuanya didapati pecah, yang tinggal hanya bekas bahagian dasar sahaja. Penemuan relau lengkap dengan ‘tuyere’ di Kampung Gading, Jeniang telah memberikan kemungkinan gambaran rupa bentuk relau di Sungai Batu. Arang dan sedimen terbakar dalam dan keliling relau di Jeniang ini memberikan pentarikhan dari abad ke-4 Masihi (1600 tahun dahulu) -12 Masihi (800 tahun dahulu). Ini menunjukkan pada jarak 40 km antara Sungai Batu dan Jeniang, telah berlansung industri peleburan besi pada masa yang agak sama. Jarak ini menggambarkan keluasan tamadun berasaskan besi ini mencapai lebih 1000 km persegi...
Bayangkan seawal abad pertama Masihi lagi, kita sudah mampu memiliki industry besi sendiri, melebur besi dalam kilang dan loji yang dibina oleh orang Melayu. Saya percaya usia Tamadun Lembah Bujang ini sebenarnya jauh lebih awal daripada abad pertama masihi, bahkan berusia sebelum zaman lahirnya Nabi Isa Al-Masih lagi. Untuk sebuah tamadun memilik sesuatu sehebat loji bijih besi, ianya memerlukan beberapa jangka masa yang agak lama...
Kesimpulan yang boleh kita dapatkan daripada artikel ini adalah sebenarnya Tamadun Kita tersangat-sangat hebat dan mengasyikkan untuk dikaji. Kita disebut oleh Marco Polo dalam kisah pengembaraannya, bahkan dikunjungi lagi oleh Marco Polo. Kemudian, kita diceritakan dalam setiap catatan arab, China, Parsi dan India yang kagum dengan kehebatan tamadun ini. Kita digambarkan sebagai bangsa yang suka bermain dengan emas. Bangsa bercawat di hutankah yang bermain emas? Tidak! Pastinya bangsa yang bertamadun tinggi...!
Usah mempunyai perasaan rendah diri wahai bangsaku! Kalian sebenarnya hebat! Jangan jadi Melayu Yang Lupa lagi. Kita adalah Melayu yang mengenali asal-usul kita! Kita adalah Melayu yang tidak malu untuk mengaku sebagai Melayu berbanding mereka di luar sana. Malu mengaku Melayu, tetapi memakai baju Melayu, berbudaya Melayu dan BERBAHASA MELAYU...!
Saya, kalian dan kita adalah… Melayu Yang Tidak Lupa Lagi…
Rujukan:
1. Ahmad Jelani Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. p. 104.
2. Siti Hawa Hj. Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa.
3. Paul Wheatley. Thong Pao, Second Siries, Vol.44. p. 387.
4. Paul Wheatley. Thong Pao, Second Siries, Vol.44. p. 391.
5. Ahmad Jelani Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. p.
104 -105.
6. Keat Gin Ooi . Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, From Angkor Wat to East Timor (3 Volume Set). pp. 765
7. Zahidi Zainol Rashid. Persoalan Langkasuka masih belum selesai. Artikel Utusan bertarikh 18/09/1999.
8. Ahmad Jelani Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. p. 104.
9. LEMBAH BUJANG, SEBUAH KERAJAAN LAMA YANG BERPUSAT DARI PERSPEKTIF SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI (GIS). p 305.
10. Blog Sungai Batu. USM. http://arkeosungaibatu.blogspot.com/
 ·
·

No comments:

Post a Comment