Tuesday, January 13, 2015

BAYARAN KHAS KEWANGAN KEPADA PESARA KERAJAAN YANG MENERIMA PENCEN


YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober 2014 telah mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM250 kepada pesara Kerajaan yang menerima pencen.

Bayaran Khas Kewangan ini akan diberi kepada semua pesara Perkhidmatan Awam (Persekutuan dan Negeri serta Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan) yang layak menerima pencen pada atau sebelum 31 Disember 2014 termasuk ahli keluarga tanggungan pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada atau sebelum 30 Disember 2014 dan menerima pencen terbitan mulai 31 Disember 2014.

Sehubungan dengan itu, pesara dan penerima pencen yang dibayar melalui bank boleh mengeluarkan pembayaran tersebut mulai dari 15 Januari 2015. Semua pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima pencen.

Penerima yang perlu mengisi Borang Tuntutan Pencen di kaunter bank (di bawah Skim B) tidak perlu berbuat demikian bagi mengeluarkan RM250 ini.

Bagi penerima yang dibayar melalui waran, waran akan diposkan pada bersama-sama dengan waran bulanan (Januari) dan boleh menunaikannya dengan serta merta.

Bayaran Khas Kewangan untuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Kementerian Pertahanan. JHEV boleh dihubungi di talian 03 2050 8000 atau laman web http://www.jhev.gov.my

Maklumat lebih lanjut berkenaan bayaran khas kewangan ini boleh dilihat di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2014 (http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2014/pp062014.pdf) dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2015 (http://docs.jpa.gov.my/docs/spp/2015/spp012015.pdf).

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi 03 8885 4906/ 4127/ 4467/ 4142

Dato’ Yeow Chin Kiong
Pengarah
Bahagian Pasca Perkhidmatan

12 Januari 2015


Sumber jpa.gov.my

No comments:

Post a Comment