• Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus tahunan dan sempena sambutan Aidilfitri ini kepada semua penjawat awam, hari ini.

Menurut Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Negeri Selangor bersetuju memberi bonus ekoran prestasi laporan kewangan negeri menunjukkan peningkatan.

"...Pemberian bonus tahunan dan sambutan Aidilfitri. Exco negeri bersetuju beri bonus sebulan gaji ikut tempoh perkhidmatan bertarikh 30 Jun ini, sejumlah RM32.7 juta diperuntukkan bagi tujuan pemberian bonus ini.

"Keputusan ini dibuat kerana laporan kewangan negeri menunjukkan pertumbuhan kutipan hasil meningkat dari tahun 2013 sehingga 30 Jun 2014," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Tahun ini, Selangor mencatat jumlah kutipan hasil sebanyak RM1.162 bilion dalam tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2014 manakala tahun lalu pada tempoh sama, jumlah kutipan hasil adalah RM 1.136 bilion.

Tahun lalu, 21,776 penjawat awam menerima bonus sebulan gaji sempena Aidilfitri dengan peruntukan RM30 juta.

Pada sidang media sama, Abdul Khalid memberitahu, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Audit Selangor menjalankan audit terhadap perbelanjaan peruntukan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Untuk menentukan hasil kerajaan negeri ini telah dibuat dengan betul dan bertanggungjawab, kerajaan telah mengarahkan Jabatan Audit menjalankan audit terhadap Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, Pejabat Penyelaras Dun dan Pejabat Ahli Parlimen Selangor.

“Tujuan audit ini untuk memudahkan kerajaan negeri memeriksa keberkesanan program-program kebajikan yang telah dijalankan sejak 2008 juga bagi memantau peruntukan yang telah dibelanjakan bagi mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan bantuan diterima oleh penerima yang layak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Adun, Pegawai Penyelaras Dun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat  yang menerima peruntukan untuk program MES memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan kerja-kerja audit tersebut.

Katanya, hasil laporan audit akan dihantar kepada Majlis Tindakan Integriti Negeri Selangor untuk dibuat rumusan dan membaiki sebarang kelemahan bagi meningkatkan keberkesanan program-program kebajikan.

Sumber sinarharian