Tuesday, September 11, 2012

PM umum penubuhan syarikat penerbangan tambang murah baru

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan tambang murah yang baharu dikenali sebagai Malindo Airways. Najib berkata syarikat penerbangan itu, hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group, akan mula beroperasi pada 1 Mei tahun depan dan akan berpangkalan di KLIA2.
Usahasama itu, katanya bukan sahaja mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.
“Pada pendapat saya, akronim MALINDO — gabungan indah nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan, tetapi juga memaparkan pertalian sejarah yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.
“Daripada segi untuk menjadi syarikat penerbangan terkenal, saya percaya nama ini akan menjadi jambatan bagi kedua-dua negara, menerusi rangkaian penerbangan yang luas yang akan menghubungkan banyak bandar raya dan bandar di rantau ini, membuka destinasi baharu untuk pelawat di Nusantara ini dan sekitarnya,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara kedua-dua syarikat di sini. — Bernama

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment