Sunday, August 7, 2011

Fikrah: Keluarga bahagia miliki akhlak mulia ..




Oleh nurizzatie..

RUMAH tangga bahagia penting dalam kehidupan berkeluarga. Sebuah keluarga yang baik dan kukuh akan menghasilkan masyarakat baik dan sihat, di samping teguh keimanan mereka.

Sementara keluarga yang kucar-kacir pula akan memberi kesan kepada keruntuhan masyarakat dan negara.

Setiap Muslim dan mukmin tentu menginginkan sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera dalam melayari kehidupan di dunia dan seterusnya di akhirat.

Oleh hal yang demikian untuk mencapai hasrat dan cita-cita itu sewajarnya kita mengikut garis panduan yang telah ditunjukkan oleh Allah.

Untuk mencapai sebuah keluarga yang bahagia dan aman tenteram kita harus mengikuti peraturan berikut:


Sebuah rumah tangga yang bahagia penghuninya adalah mereka yang menjadikan ajaran agama sebagai tunjang kehidupan.

Penghayatan terhadap ajaran Islam harus menjadi agenda penting dalam kehidupan harian sebuah keluarga.


Anggota keluarga bahagia memiliki sifat terpuji dan akhlak mulia. Setiap ahli keluarga itu saling menghormati antara satu sama lain.

Anak-anak pula diwajibkan menghormati ibu bapa dan ibu bapa pula hendaklah menyayangi anak-anak.


Memiliki perasaan halus, lembut dan harmoni dalam kehidupan rumah tangga.

Perkara ini perlu berjalan atas landasan saling bertolak ansur, tiada kekerasan dilakukan.


Perbelanjaan sara hidup juga patut berjalan dalam suasana berhemah tinggi, sederhana dan tidak boros, walaupun berkemampuan.


Sentiasa menilai diri sendiri, mengenal pasti kekuatan yang ada pada diri, kekurangan, kelemahan, kesalahan, kecuaian, dosa dan sebagainya.


Sentiasa memohon keampunan kepada Allah atas segala kelakuan yang tersalah laku, terlanjur, baik pada waktu senang mahupun susah.

Daripada gambaran itu, jelaslah bahawa kehidupan rumah tangga yang bahagia itu bukan hanya dilihat dan diukur dari sudut kebendaan dan kemajuan hidup semata-mata.

Keluarga bahagia tidak semuanya datang dari keluarga yang mempunyai harta banyak, rumah besar dan lengkap dengan segala kemewahan.

Tetapi keluarga bahagia banyak bergantung kepada sejauh mana penghuni dalam sebuah rumah tangga melaksanakan tuntutan agama.

Rumah tangga bahagia yang berteraskan Islam ditunjangi oleh anggota keluarga yang beriman.

Mereka sering dibasahi oleh air wuduk dan setiap kali masuk waktu solat selalu membiasakan amalan berjemaah; bapa menjadi imam, manakala ibu dan anak-anak pula menjadi makmum.

Selain itu, rumah tangga bahagia selalu terdengar oleh bacaan ayat suci al-Quran.

Penghuninya mempunyai budi pekerti luhur, akhlak mulia, saling menghargai, sayang menyayangi, bercakap dengan bahasa yang sopan, lemah lembut, tiada curiga mencurigai, saling memerlukan dan lengkap melengkapi.

Jika mempunyai kelemahan, kekurangan, kesalahan dan kesilapan tidak dibiarkan berpanjangan. Masing-masing sedia memberi kemaafan, bersedia bertaubat dan berani mengaku segala kesalahan yang dilakukan.

Insya-Allah, mereka yang mengikuti nasihat itu tergolong dalam golongan orang mukmin.

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan... tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan taqwa...

No comments:

Post a Comment