Monday, November 2, 2015

Guru perlu kembali mengajar bukan jadi pegawai pejabat

Dato Seri Mahdzir Khalid

Ezli Mashut

Di Parlimen semalam, Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid diminta menyatakan langkah Kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki bagi lebih 500,000 guru supaya tugasan hakiki sebagai pendidik tidak terjejas.
Jawapan yang diberi termasuk pelaksanaan projek rintis pengambilan pembantu guru Gred N17 di Melaka dan Kedah, hasil penubuhan sebuah jawatankuasa kaji beban guru pada 2010.
Walaupun jawatankuasa ini telah ditubuhkan lima tahun dulu, tetapi pengambilan pembantu ini menerusi projek rintis hanya dilaksanakan di dua buah negeri - Kedah dan Melaka setakat ini.
Apabila ditanya dengan lanjut, Menteri Dato’ Seri Mahdzir menjawab program ini hanya akan dilaksanakan ke seluruh negara jika mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
Sebelum ini Bank Dunia telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk “Malaysia Economic Monitor: High Performing Education.”
Antara lain laporan itu telah menyimpulkan bahawa, di Malaysia, guru-guru bukan sahaja diharapkan dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), malah ditugaskan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum, aktiviti-aktiviti pembangunan profesional, dan program-program penglibatan ibu-bapa.
pendidik negara dibebankan dengan tugasan kerja setinggi 57 jam seminggu. Pun begitu, peruntukan masa untuk aktiviti P&P di Malaysia hanyalah di antara 2.4 dan 2.9 jam di dalam bilik darjah.
Jumlah masa ini adalah 40 peratus lebih rendah dari masa purata bagi negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).
Sebagai perbandingan, guru-guru di New Zealand dan Indonesia mempunyai masa P&P setinggi 5 jam sehari, dan di Korea Selatan mempunyai masa P&P 4.1 jam setiap hari.
Selain itu, guru-guru juga terpaksa melaksanakan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi kad laporan pelajar, memantau kedatangan pelajar dan juga mengisi data dalam sistem. Kerja-kerja pentadbiran memakan masa guru-guru setinggi 30%.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula memaksa guru-guru bersengkang mata untuk memasukkan data pelajar. Akibatnya, guru-guru di Malaysia bekerja di antara 40 hingga 80 jam seminggu sehinggalah sistem bertukar kepada versi "offline".
Sistem pendidikan negara hanya boleh dipertingkatkan jika guru dapat kembali mengajar. Pendidikan yang baik sahajalah yang mampu memacu Malaysia mencapai sasaran untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi.
Frederico Gil Sander, Pakar Ekonomi Bank Dunia menyatakan bahawa masalah pendidikan di Malaysia adalah jauh lebih parah daripada masalah hutang isi-rumah yang semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment