Thursday, December 4, 2014

Mahkamah Persekutuan sedang siapkan penghakiman kes Anwar


SURIATI SIDEK AHMAD | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.
  
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria ketika dihubungi Bernama hari ini berkata beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih  menyiapkan penghakiman mereka.
  
"Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar sehingga kami (hakim-hakim) melengkapkan penghakiman. Kami masih membaca penghujahan, biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman. Berilah kami ruang untuk menyediakannya," katanya ketika ditanya mengenai tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.
  
Arifin, yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes rayuan itu berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.
  
Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiaga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
  
Arifin menjelaskan, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam tempoh tiga bulan selepas kes itu didengar.
  
"Tetapi dalam kes-kes tertentu, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes itu," katanya.
  
Pada 7 Nov, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan.
  
Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Okt telah berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.
  
Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di negara ini, akan akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya. - Bernama

No comments:

Post a Comment