Tuesday, December 3, 2013

Mengingati Usman Awang - penyair rakyat


A Shukur Harun
Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.
Meskipun terlewat beberapa hari, tetapi belum terlalu terlewat untuk kita mengingati kepergian seorang sasterawan rakyat, Usman Awang atauTongkat Warant, yang menemui Ilahi pada 29 November 2001,  bulan Ramadan pada umur 72 tahun, setelah menghidap sakit jantung.
Kita mengingatinya bukan semata-mata kerana nama besarnya, tetapi bahkan kerana usahanya menjadi besar. Penyair ternama ini dinobatkan sebabai Sasterawan Negara dan beberapa anugerah lain oleh pelbagai pihak.
Namun Usman tetap dikenang sebagai sasterawan rakyat kerana karya-karyanya - puisi, drama, novel dan cerpen - yang sentiasa melakarkan perjuangan rakyat, bahkan  pergaulannya yang luas dengan pelbagai kaum  dan agama, menyebabkan beliau adalah sasterawan yang benar-benar berjiwa Malaysia.
Selepas bersara daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Pelantikan ini disifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini dipegangnya hingga tahun 2001. Selain itu, beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.
Disebabkan latar belakang kehidupannya sebagai anak nelayan miskin di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929,  maka Usman tidak dapat bersekolah di peringkat tinggi. Ibunya bernama Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Beliau melalui alam kemiskinan semasa kanak-kanak yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam Sekolah Melayu saja.
Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca sejak kecil lagi. Beliau bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.
Itulah juga menyebabkan puisi, drama, cerpen dan novelnya memancarkan potret kemiskinan rakyat, terutama nelayan, begitu hidup kerana Usman benar-benar menjiwai kemiskinan itu.
Sebagai sasterawan, pengamatannya sangat tajam terhadap kehidupan ini, termasuk pengamatannya terhadap watak bangsa Melayu seperti yang terpancar dalam sajaknya, 'Melayu'. Kesayangannya dan kritikannya terhadap bangsanya terpancar dalam sajaknya itu, antara lain:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan.

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara.

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan.

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.

Di zaman Usman berkarya bersama teman-temannya dalam Angkatan Sasterawan '50 di Singapura dan di Malaysia - seperti Kris Mas, Asraf, A Samad Ismail, Awam El-Sarkam dan lain-lain - gelora perjuangan menuntut kemerdekaan terpancar dalam karya mereka di samping berjuang untuk menegakkan keadilan kepada rakyat.
Maka lahirlah sajaknya, 'Pak Utih’ (kisah derita petani), 'Nasib Buruh', 'Keranda 152’ (kisah perjuangan bahasa Melayu), 'Telok Gong' (kisah perjuangan petani' dan banyak lagi yang menggambarkan besarnya simpati sasterawan besar ini kepada nasib rakyat. Di samping itu Usman juga menjalin hubungan baik dengan masyarakat pelbagai kaum seperti yang terpancar dalam sajaknya, 'Gadis Tionghua', 'Salam Benua', 'Bunga Popi' dan lain-lain.
Sungguhpun beliau lahir dan dibesarkan dalam suasana kampung Melayu sehingga dewasa dan berhijrah ke bandar, namun menerusi sajaknya, Usman lebih banyak menyuarakan masalah rakyat pelbagai kaum dan sikapnya sangat terbuka, di mana begitu ramai sahabatnya di kalangan kaum Tionghua dan India. Sebab itu karya beliau diterima baik oleh pelbagai kaum kerana beliau sentiasa berada di tengah rakyat pelbagai kaum. Inilah antara kebesaran Usman.
Hari ini, hanya segelintir penulis/penyair yang mampu berada di tengah rakyat. Antaranya, Sasterawan Negara A Samad Said yang sanggup berembun dan di bakar matahari serta bergelut dengan gas pemedih mata di tengah perhimpunan rakyat di mana-mana untuk memperjuangkan hak mereka. Inilah potret sasterawan rakyat yang sangat indah.
Meneruskan kehidupan seperti ini memang penuh getir, melainkan mereka yang benar-benar berjiwa rakyat, mengerti peranan menentang kemungkaran, kezaliman dalam perjuangan menegakkan keadilan. A Samad, teman lama Usman, ternyata mampu meneruskan perjuangan segetir ini, mewarisi perjuangan pengarang terdahulu, Ishak Haji Muhamad dan teman-temannya yang lain.
Dunia sastera kini sepi tanpa kehadiran sasterawan seperti ini. – 3 Disember, 2013.

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment