Wednesday, October 31, 2012

Rakyat M'sia di Lubnan diwakili empat peguam



  • Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
 
Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al-Qaeda akan diwakili empat peguam dalam sebutan semula kes di Tribunal Tentera di Beirut, hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan berkata Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, akan diwakili empat peguam dari sebuah firma guaman selepas mendapat persetujuan daripada keluarga mereka.

"Kedua-dua keluarga tertuduh telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka telah bersetuju untuk membiayai kos guaman masing-masing. Kami hanya mencadangkan firma guaman yang terbaik sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di Beirut hari ini.

Razif dan Mohamad Razin Shahar telah dihadapkan ke Tribunal Tentera kelmarin tetapi hakim memerintahkan mereka mendapatkan khidmat peguam sebelum pertuduhan diteruskan.

Minggu lepas, pihak berkuasa Lubnan menahan kedua-dua lelaki itu di sebuah hotel di Beirut kerana dipercayai dilatih menjadi pengebom berani mati dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Dalam pada itu, Ilango berkata Mohamad Ariffin Abdullah tiba di Beirut Ahad lepas dan telah melawat Razif di pusat tahanan tentera di bandar raya itu semalam.

Beliau berkata pihak kedutaan belum dimaklumkan secara terperinci berhubung pertuduhan terhadap Razif dan Mohamad Razin Shahar esok.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di Kuala Lumpur berkata kes itu akan didengar oleh tujuh hakim dengan seorang daripada mereka adalah pegawai tentera.

Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah membantu mendapatkan khidmat peguam untuk mewakili mereka.

"Kedua-dua suspek dilapor berada dalam keadaan sihat dan telah diberi layanan yang baik oleh pihak berkuasa Lubnan. Bapa kepada Razif turut dibenar berjumpa dengan anaknya," kata Anifah.

Beliau berkata kementerian menerusi kedutaan besar Malaysia di Beirut akan terus memantau perkembangan kes itu dan memberi nasihat konsular yang sewajarnya kepada kedua-dua suspek.

- Bernama
 
-malaysiakini

No comments:

Post a Comment