ISTERI seorang pengembala gajah mengambil biji kopi daripada najis haiwan itu.
Jom KreatifKopi najis gajah di utara Thailand
BANGKOK - Kira-kira 20 ekor gajah mengeluarkan najis yang mengandungi biji kopi di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand. Gajah-gajah itu diberikan makan biji kopi yang kemudian dikeluarkan bersama najis haiwan tersebut.
Biji kopi itu dijual pada harga AS$1,100 (RM3,361) bagi setiap satu kilogram (kg) yang merupakan antara yang termahal di dunia. Kopi yang dihasilkan daripada najis haiwan itu dikenali sebagai Black Ivory. Beberapa hotel mewah di dunia menawarkan minuman tersebut kepada para pelanggan pada bulan lalu yang bermula di utara Thailand diikuti Maldives dan kini Emiriyah Arab Bersatu.
Harga untuk secawan kopi itu ialah AS$50 (RM152.77). "Apabila seekor gajah memakan biji kopi, perut haiwan itu menguraikan protein yang terdapat pada kopi yang menjadi punca utama ia menjadi pahit," kata Blake Dinkin yang membelanjakan AS$300,000 (RM916,649) untuk memajukan penghasilan kopi tersebut.
Sebelum mengemukakan cadangan kepada Yayasan Gajah Segi Tiga Emas yang mengendalikan pusat pemuliharaan itu, Dinkin menyatakan dia bekerjasama dengan seorang pakar haiwan yang berpangkalan di Kanada untuk melakukan ujian darah di beberapa zoo gajah.
Ujian itu menunjukkan gajah-gajah berkenaan tidak menyerap sebarang bahan kafeina kerana memakan biji kopi. Menurutnya, gajah memakan 33kg biji kopi untuk menghasilkan 1kg kopi Black Ivory.
"Rasa kopi itu menakjubkan," kata isteri seorang warga Amerika Syarikat, Asleigh Nelson di sebuah hotel.
Sebelum ini, Indonesia turut terkenal dengan kopi luwak yang dihasilkan menerusi najis musang.- Agensi
sumber ibnuhasyim
No comments:
Post a Comment