Tuesday, December 4, 2012

Fikrah Islamiyah : 'azab Dan Keburukan Besar Akibat Fitnah'



Fikrah Islamiyah
DARI MASJID RUSILA
Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Azab dan keburukan besar akibat fitnah
Muslimin sekalian!

Telah berlaku di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a. satu peristiwa seorang yang dituduh menyebarkan berita yang dijangka membawa kepada fitnah telah dibawa ke hadapan khalifah, lalu khalifah berkata kepadanya: Sekiranya apa yang kamu bawa ini berita yang berhubung maka kamu termasuk di kalangan orang yang dinyatakan di dalam firman Allah Taala:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan.

(Al-Hujurat: 6)

Kemudian khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata lagi: Sekiranya khabar berita yang kamu bawa itu benar maka kamu termasuk di dalam firman Allah Taala:

Ertinya: Yang mencela, pergi ke sana sini menyebarkan fitnah.

(Al-Qalam: 11).

Katanya lagi kepada lelaki itu "Atau (engkau tidak menceritakan khabar itu) dan aku memaafkan kamu."

Lelaki tersebut memilih untuk menerima maaf daripada khalifah Umar bin Abdul Aziz dan tidak meneruskan niatnya untuk menyebarkan berita yang dibawanya itu.

Apa yang berlaku menunjukkan bagaimana masyarakat Islam di zaman itu beramal dengan Islam - ajaran Islam bukan sekadar iman di dalam hati tetapi diamalkan di dalam kehidupan, di dalam keluarga dan masyarakat - menyebabkan mereka berhati-hati di dalam percakapan dan membawa berita-berita dan maklumat kerana bimbang sekiranya berita yang dibawa itu berhubung semata-mata maka ia akan membawa fitnah, atau walaupun berita itu benar, sekiranya boleh membawa kemudaratan di dalam masyarakat dan menimbulkan salah faham. Mereka benar-benar membuat pertimbangan walaupun khabar berita itu benar apa lagi sekiranya berita-berita itu memang salah dan bohong semata-mata.

Adakah sifat ini masih ada pada zaman kita? Kerana di zaman ini maklumat dan khabar berita menjadi barang jual beli kerana mengejar harta benda tanpa mengira samada maklumat yang dibawa itu betul atau salah. Kerana hendak mengejar itu semua menyebabkan umat Islam lupa untuk menjaga hubungan persaudaraan Islam dan hubungan sesama manusia. Rasulullah s.a.w. telah menyebut betapa eratnya hubungan sesama mukmin dengan sabdanya:

Ertinya: Perumpamaan perasaan cinta mencintai dan berkasih sayang sesama mukmin seperti satu badan, apabila salah satu anggotanya sakit maka seluruh anggotanya yang lain akan merasa demam dan berjaga malam.

Adakah perasaan seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam? Yang berlaku ialah pertembungan dan pertarungan sesama orang-orang Islam kerana kelemahan Islam dan iman di dalam diri mereka. Walaupun masih ramai orang yang menamakan diri masing-masing dengan nama Islam dan sangat marah apabila dikatakan kepadanya sebagai lemah iman dan Islam tetapi dalam masa yang sama mereka mempermainkan ajaran Islam dan membelakangkan kitab Allah dan ajaranNya. Bukan sahaja mereka membawa fitnah yang membawa dosa kepada diri mereka tetapi juga memalukan Islam dan umat Islam.

Di antara perkara yang mudah menjahanamkan manusia ialah cakap-cakap bohong dan tidak benar. Islam membenarkan kita bercakap dan membiarkan berita sekiranya di dalam perkara menyuruh perkara baik dan mencegah perkara mungkar, dan di dalam menasihat dan menasihati di antara satu sama lain, bukannya untuk melepaskan geram, untuk menonjolkan diri dan menjatuhkan seorang yang lain. Marilah kita berlaku adil dan menjadi saksi-saksi yang adil bukannya saksi-saksi yang fasik dan boleh dibeli untuk melakukan tuduhan-tuduhan sesama manusia yang boleh membawa bencana kepada umat dan negara.

Marilah kita menjadi contoh kepada umat manusia dan umat pilihan dan umat yang menjadi pemimpin kepada umat manusia yang bukannya umat yang buruk perangainya. Hendaklah kita malu kepada diri sendiri dan malu kepada Allah Taala sekiranya diri kita sendiri bernama Islam tetapi tidak beramal dengan ajaran Islam. Bagaimana umat Islam bergantung kepada sejauh mana mereka beramal dengan Islam sebagaimana ucapan Umar bin Al-Khattab r.a.

Ertinya: Kita suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Bagaimana kita mencari kemuliaan dengan selain daripada cara yang dimuliakan kita, nescaya Allah akan menghina kita.

Dan ingatlah Firman Allah, erti maksudnya:

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah.

(Ali-Imran: 110)



:sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan ALLAH, maka mereka itulah orang-orang yang zalim‼:

No comments:

Post a Comment