Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat di Terengganu dan Pahang dijangka berterusan sehingga Rabu ini.
Jabatan
Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata
daerah-daerah yang terlibat ialah Dungun dan Kemaman di Terengganu dan
Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
Jabatan itu memberi amaran bahawa keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.
Sementara
itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di
Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Johor juga dijangka berterusan
hingga Rabu.
Daerah-daerah yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas,
Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang di
Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu di
Terengganu; Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis; Baling, Sik,
Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah serta Kluang, Mersing dan Kota
Tinggi di Johor.
Keadaan itu juga boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, tambah jabatan itu.
Di
Kuantan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan
negeri dan pihak bertanggungjawab membuat persediaan secukupnya terutama
dari segi logistik sejak enam bulan lepas bagi menghadapi kemungkinan
gelombang kedua banjir sambil mengharapkan kerjasama orang ramai supaya
lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan bagi mengelak bencana banjir
menjadi lebih buruk.
"Kalau kita semua ada rasa tangungjawab dan
tidak membiarkan sampah sarap masuk ke dalam longkang, Insya-Allah tak
banjir kerana bila sampah tak ada, air hujan (dalam longkang) akan
mengalir dengan lancar.
"..walaupun longkang itu kecil, tapi
kalau bersih, air hujan boleh mengalir (dengan lancar) dan (walaupun)
banjir mungkin tidak akan begitu teruk seperti sebelum ini," katanya
kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Pasukan Sukarelawan Malaysia
(RELA) peringkat Pahang di Kuantan semalam.
Minggu lepas
beberapa buah daerah di Pahang dilanda banjir berikutan hujan yang turun
lebih lebat daripada biasa, manakala daerah Kuantan dilanda banjir
kilat ekoran keadaan longkang yang kecil dan saluran longkang dipenuhi
sampah sarap.
Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Datuk Mustafa
Ibrahim berkata pasukan Rela sentiasa bersedia membantu menempatkan
anggotanya di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.
"Kalau di
tempat yang agak teruk dilanda banjir, kita akan tempatkan 20 hingga 30
anggota kita bagi mengawal kawasan tersebut dari kejadian jenayah.
"Anggota kita juga akan membantu mangsa banjir ke pusat pemindahan,
memasak dan mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di pusat
berkenaan," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment