Tuesday, December 27, 2016

Legenda Kota Gelanggi

 shared Campuran hidup.'s post







Legenda Kota Gelanggi Yang Menjadi Rebutan Ramai Raja-Raja Asia.
Kota Gelanggi @ Kota Batu Hitam atau Klang Kio dalam bahasa Siam bererti perbendaharaan permata adalah sebuah bandar purba yang disebut di dalam Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu.
Setelah berapa lamanya dijalan, datanglah kepada negeri Ganggayu.Shahadan dahulu kalanya negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, datang sekarang lagi ada kotanya itu di hulu Sungai Johor. Ada pun asal namanya Klang Kio, iaitu bahasa Siam,ertinya perbendaharaan permata; oleh kita tiada tahu menyebut dia, jadi Ganggayu. Adapun nama rajanya Raja Chulan; adalah akan baginda itu raja besar, segala raja-raja di bawah angin dalam hukumnya.(W.G.Shellabear:1975:10)
Selama lebih 1,200 tahun Kota Gelanggi menjadi lagenda kota purba yang kaya dengan harta karun timbunan emas dan permata menjadi rebutan ramai raja-raja Asia sejak dari zaman berzaman.
Kota Gelanggi dikatakan salah satu 'city state' merupakan antara bandar pentadbiran Empayar Srivijaya sejak tahun 775.
Kota Gelanggi dikatakan terletak di selatan Semenanjung Tanah Melayu dibawah Kerajaan Ligor satu Kingdom Melayu Siam di Segenting Kra. Pada masa itu Siam belum lagi didatangi oleh bangsa Thai dari Selatan China.
Srivijaya mengelarkan Kingdom Ligor ini sebagai Sri Dharmaraja.
Orang Melayu Siam panggil Ligor.
Orang India panggil Tambralinga.
Orang China panggil Tam-ma-ling atau Poling
Orang Melayu Islam panggil Siam
Orang Thai panggil Nakhon Sri Tammarat.
Pada akhir abad ke 12, Ligor ini bebas dari Srivijaya menjadi kerajaan Tambralinga.
Tambralinga meningkat kekuasaan dari abad ke 13 hingga awal abad ke 14. Pada masa ini Tambralinga telah menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
Pada akhir abad ke 14, Tambralinga menjadi sebahagian dari Siam (Thai).
Pedagang Eropah mengelar Tambralinga ini sebagai Ligor sejak abad ke 16.
Ligor setelah lama memberontak dari Siam akhirnya menjadi negara Siam sepenuhnya pada penghujung abad ke 19.
Klang Kio atau Kota Gelanggi ini juga orang Melayu Islam panggil Gelanggui, Ganggayu, dan Linggui.
Rekod Jepun menyatakan Putera Mahkota Jepun, Putera Takaoka, Shinnyo Hosshinno (780-856) mati di Kota Gelanggi kerana diserang oleh harimau dalam perjalanan ke India.
Orang Jepun merujuk Kota Gelanggi sebagai Lo-Yue.
Pada tahun 1025, Raja Rajendra Cola dari Selatan India telah menyerang Kerajaan Gangga Negara (Beruas, Perak). Raja Rajendra Cola ini dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang digelar Raja Suran kemudian menyerang Kota Gelanggi mengalahkan Raja Chulan.
Sejarah Melayu mengisahkan...
Setelah Raja Gangga Syah Johan melihat Raja Suran itu datang, maka Raja Gangga Syah Johan pun berdiri memegang panahnya; maka segera dipanahnya, kena gumba gajah Raja Suran, gajah itu jatuh terjerumus. Maka Raja Suran pun melompat serta menghunus pedangnya, diparangkan kepada Raja Gangga Syah Johan, maka kenalah leherya, putus kepalanya, terpelanting ke tanah. Maka Raja Gangga Syah Johan pun matilah. Setelah rakyat Gangga Negara melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun lari; maka ada seorang saudara raja itu perempuan, Puteri Dara Segangga namanya; terlalu baik parasnya, maka diambil bagindalah akan isteri. Setelah negeri Gangga Negara sudah alah, maka Raja Suran pun berjalanlah dari sana.
Hatta berapa lamanya berjalan itu datanglah ke negeri Langgiu; dahulu negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, sekarang lagi ada kota itu di hulu Sungai Johor. Adapun nama asal Langgiu itu dengan bahasa Siam ertinya Perbendaharaan Permata, maka adalah nama rajanya Chulan; akan baginda itu raja besar, segala raja-raja yang di bawah angin dalam hukumannya. Demi Raja Chulan mendengar Raja Suran datang itu, maka Raja Chulan pun menghimpunkan segala rakyat; dan segala raja-raja yang takluk kepada baginda, semuanya berkampunglah. Maka Raja Chulan pun berperanglah akan Raja Suran; maka rupa segala rakyat itu seperti lautan, rupa gajah dan kuda pun demikian juga, seperti pulau rupanya, dan tunggul panji-panji seperti hutan, dan segala senjata pun berlapis-lapis. Sekira-kira empat gorah bumi jauhnya berjalan, setelah datanglah pada suatu sungai, maka kelihatanlah rakyat Raja Suran seperti hutan rupanya.
Maka kata Siam, "pangkali" ertinya "sungai", maka dinamai orang sungai itu Sungai Pangkali. Maka bertemulah rakyat Siam dengan rakyat Keling, lalu berperanglah, tiada sangka bunyinya lagi; segala yang bergajah berjuangkan gajahnya, dan yang berkuda bergigitkan kudanya, dan yang berpanah berpanahanlah dianya, dan yang berlembing bertikamkan lembingnya, dan yang berpedang bertetakan pedangnya. Maka rupa segala senjata seperti hujan yang terlalu lebat, tidaklah lagi tarupak awan di langit, oleh kebanyakan kilat senjata itu; gegak gempitalah bunyi tempik sorak orang berperang itu, maka berbangkitlah lebu duli ke udara, kelam-kabut, siang menjadi malam seperti gerhana matahari. Maka segala rakyat antara kedua belah pihak itu pun jadi campur-baurlah, tiada berkenalan lagi waktu berperang itu. Mana yang mengamuk diamuk orang pula, ada yang menikam ditikam orang pula. Maka kedua pihak itu pun banyaklah mati dan lukanya, darah pun banyaklah tumpah mengalir ke bumi seperti air sebak. Maka lebu duli itu pun hilanglah, maka kelihatanlah orang berperang itu, beramuk-amukan terlalu ramai; sama-sama tiada mahu undur lagi. Maka Raja Chulan pun menampilkan gajahnya menempuh ke dalam rakyat Raja Suran yang tiada terpermanai banyaknya itu, barang dimana ditempuhnya bangkai bertimbun-timbun; maka segala rakyat Keling pun banyaklah matinya, lalu undur. Setelah dilihat oleh Raja Suran, maka baginda pun tampillah mengusir Raja Chulan itu. Maka adapun kenaikan Raja Suran, gajah tunggal lagi meta, delapan hasta tingginya; tetapi gajah Raja Chulan itu terlalu berani. Maka bertemulah kedua gajah itu, lalu berjuang, maka bunyi kedua gading gajah itu seperti bunyi petir yang tiada berputusan. Maka kedua gajah itu pun tiada beralahan; maka berdiri Raja Chulan di atas gajahnya menimang-nimang lembingnya, lalu ditikamkannya kepada Raja Suran, maka kenalah kebaluhan gajah itu, sejengkal menjunjung ke sebelah. Maka Raja Suran pun segera memanah Raja Chulan, kena dadanya terus ke belakang; maka jatuhlah ia dari atas gajahnya ke tanah, lalu mati.
Maka segala rakyat Raja Chulan melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun pecah belahlah, lalu lari cerai-berai; maka diikuti oleh segala rakyat Keling mana yang dapat habislah dibunuhnya. Maka segala rakyat keling pun· masuklah ke dalam kota Langgiu itu, lalu merampas, tiada terkira banyaknya beroleh rampasan itu. Maka ada seorang anak Raja Chulan itu perempuan, Tuan Puteri Onang Kiu namanya; terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang kepada Raja Suran, maka oleh baginda diambillah akan isteri.
Dimana sebenarnya lokasi Kota Gelanggi ini?
Sejarah Melayu jelas mengatakan lokasi Kota Gelanggi ini di Hulu Sungai Johor.
Tapi beberapa ahli sejarah seperti Sweettenham (1885), Linehan (1936) dan Quartrich-Wales (1940) percaya lokasi Kota Gelanggi di Jerantut Pahang.
Manakala Winstedt (1932) dan Gardner (1932) memilih Hulu Sungai Johor.
Kota Gelanggi juga masih menjadi lokasi kajian sejarah dan arkeologi yang tiada kesudahannya. Imej yang diperolehi Malaysian Centre For Remote Sensing (MACRES) daripada satelit membuktikan kewujudan struktur bangunan di Kota Gelanggi.
R.C Jameson dari University of Cambridge, Britain mengatakan mungkin ilustrasi Dipamkara Buddha pada manuskrip Sanskrit di situ mungkin menunjukkan suatu lokasi di Kota Gelanggi.
Abdul Rahman Ismail (1998) memilih Kota Gelanggi di Jerantut Pahang.
Abdul Halim Nasir (1990), Nik Hassan Shuhairi (2002) dan Arkeologis Raimy Che Ross (2004) percaya Kota Gelanggi ini dimaksudkan sebagai ‘Perbendaharaan Permata’ yang dicari-cari terletak di Hulu Sungai Johor.
Dzulkarnain Mat (1998) melontar teori menarik:
Johor telah menguasai Pahang dalam bulan September 1612, lebih kurang setahun sebelum Sejarah Melayu dihasilkan. Orang-orang Johor bukan sahaja membawa balik pampasan dan tawanan perang, malah cerita-cerita tentang Pahang, termasuk legenda Kota Gelanggi. Kemungkinan legenda ini mengilhamkan penulis Sejarah Melayu untuk mengaitkan Ganggayu dan Raja Chulan dengan keajaiban Gelanggi. Justeru itu, Klang Kio dinyatakan sebagai terletak di hulu Sungai Johor untuk menggambarkan kehebatan jajahan takluk Johor.
WZWH lebih berminat dengan teori seorang blogger sahabat Mo Razzi Untold History...
So.. what ingenious way Tun Sri Lanang buat??
Rahsianya cuma ditulis di 3 ayat ni :
"...... di hulu Sungai Johor"
Macam biase lah.. we go back to map:
Maka.. berbodong-bondong lah manusia menjelajah "hulu Sungai Johor".. tapi tak jumpe ape-ape walaupun selepas 1,300 tahun..
Maka berjaya lah penipuan Tun Sri Lanang.. yang pada asalnye ingin menipu penakluk Acheh tentang kedudukan sebenar Perbendaharaan Permata itu bagi mengelakkan dicuri.. dengan korang-korang sekali kene tipu. Hahahaa
Sebenarnye.. Tun Sri Lanang tak tipu.. dia berpencak melalui kata-kata..
Ko bace balik ayat ni sekali lagi :
".... di Hulu Sungai Johor"
Now.. ko decipher it into :
1. Hulu ; arah ke daratan yang paling dalam.. farthest inland
2. Sungai ; Sungai lah
3. Johor ; Negeri
FINDING : Di bahagian paling hujung / hulu (1) + Sungai (2) + di Negeri Johor (3)
Now.. go back to Map.. :
Upper Sedeli merupakan Territory of Pahang until 1861 sebelum Tun Mutahir Bendahara Pahang meng'hadiah'kan daerah Sedeli + Mersing + Endau kepada Maharaja Abu Bakar menantu kesayangan.
While, lower Sedeli merupakan Tanah asal Negeri Johor.
SUNGAI SEDELI pulak.. merupakan Sungai paling "Hulu" dalam negeri Johor.. and Gunung Panti merupakan the farthest inland yang Sg. Sedeli dapat mengalir..
FURTHERMORE..
Dikawasan INI JUGAK LAH ADE SUNGAI YANG BERNAMA 'SELANGGI' = "GELANGGI"??
Ada dua pintu gerbang yang seperti foto di atas untuk memasuki Kota Gelangggi @ Kota Batu Hitam di Hulu Sungai Johor.
Apa yang pasti Wan Ahmad tidak bersetuju dengan keputusan Bendahara Tun Mutahir pada 1861 mengkurnia Sedeli, Endau dan Mersing kepada Maharaja Abu Bakar.
Maka marahlah Wan Ahmad yang baru menang Perang Saudara Pahang menjadi Bendahara Pahang yang pertama berkata," aku perang macam nak mampus kau senang-senang ambil negeri aku!!!". Kalau ikut hati Bendahara Wan Ahmad mahu saja berperang dengan Johor.
Lagi sekali British masuk campur memujuk Bendahara Wan Ahmad apa lagi Maharaja Abu Bakar untung senalo dapat Endau dan Mersing. Walaubagaimanapun Pulau Tioman diserahkan oleh Johor kepada Pahang.
Kemudian untuk settle hubungan antara Johor dan Pahang maka berlaku perkahwinan antara anak Raja Johor dengan anak Raja Pahang. Selesai...tak mahu gaduh lagi.
Apa yang pasti setelah Maharaja Abu Bakar mendapat Sedeli, Endau dan Mersing dari Pahang, kehidupan Maharaja Abu Bakar bertambah senang lenang dan kaya raya hingga menjadi Sultan Abu Bakar Johor.
Setakat mengembangkan ekonomi perladangan menanam gambir, lada hitam dan menjual getah perca serta hasil sewa tanah-tanah di Singapura belum tentu boleh kaya raya hingga terkenal ke luar negara.
Namun Bendahara Wan Ahmad tidak pernah kenal putus asa.
Seorang pemerintah besar seperti Bendahara Wan Ahmad sendiri amat tertarik dengan legenda gua Kota Gelanggi yang kononnya tempat tinggal seorang puteri, hinggakan beliau pernah menghantar orang-orangnya mencari puteri itu pada tahun 1872.
Tok Gajah dan beratus-ratus pengikut telah dititah oleh Bendahara Wan Ahmad meninjau dan memeriksa Kota Gelanggi.
Dalam tahun 1882, Bendahara Wan Ahmad telah berangkat melawat ke merata tempat dalam negeri Pahang. Dalam lawatan inilah Bendahara telah melawat sebuah gua yang ajaib lagi masyhur bernama Kota Gelanggi, yang terletak tidak berapa jauh dari Pulau Tawar, Jerantut.
Tapi tidak ada harta karun, emas dan perbendaharaan permata dijumpai. Barangkali peralatan tradisional tidak sesuai memerlukan peralatan moden yang lebih canggih dan sophistikated.
Jika benar segala legenda harta karun, emas dan perbendaharaan permata yang lokasi sebenarnya berada di Hulu Sungai Johor.
Bendahara Wan Ahmad yang akhirnya menjadi Sultan Ahmad pertama Negeri Pahang dan Pemerintah Jajahan takluknya tidak perlu bimbang, risau dan kecewa.
Pahang masih lagi punya sebuah kota purba yang lebih kaya dengan harta karun, emas dan permata di Tasik Chini tenggelam ke dasar lautnya oleh kerana berlaku pecah empangan mega bagi tujuan aktiviti perlombongan purba sila klik sini. Ini ialah kisah Kota Melayu yang hilang di bumi Pahang.

Sumber google
-syah-

MISTERI TAMADUN CHAMPA YANG HILANG

shared Ayah Man's post.· 
 
·









Ratusan tahun sebelum Bangsa Melayu menangisi kehilangan pulau Singapura, kita telah lama kehilangan satu wilayah yang cukup luas, iaitu hampir meliputi keseluruhan pantai timur Indochina. Lebih menyakitkan, wilayah tersebut menyimpan seribu satu rahsia dan bukti tamadun awal rumpun Melayu yang pernah menguasai hampir keseluruhan kawasan daratan dan perairan Asia Tenggara. Negara tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah Champa, yang telah berhadapan dengan serangan dan migrasi besar-besaran secara berterusan selama ratusan tahun daripada satu kaum yang berasal dari selatan Negara China iaitu Dai-Viet. Kehilangan Champa sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi keagungan Langkasuka juga akibat serangan dan migrasi berterusan daripada kaum Thai (Sukotai, Ayutthaya dan Chakri) yang juga berasal dari selatan China. Champa, atau apa jua panggilan kepadanya, seperti Lin Yi dan Houan-Wang (catatan China), Kembayat Negara (Syair Siti Zubaidah – Perang China), dan Tawalisi (catatan Ibnu Battutah) kini hanya tinggal sejarah dan penduduknya hidup bertaburan terutamanya di Vietnam serta Kemboja dan menjadi kaum minoriti di bumi sendiri.

Kali terakhir Champa berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah semasa di bawah pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang dinyatakan dalam lagenda Cham sebagai Binasuar, manakala Sejarah Dinasti Ming mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar tahun 1360 Masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti ‘sinar matahari yang penghabisan sebelum terbenam’. Di bawah pimpinan baginda, Champa kembali bangkit dari tahun 1361 hingga 1390 Masihi dengan melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak Dai-Viet dan memenanginya. Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari 1390 Masihi akibat pengkhianatan daripada salah seorang pengawalnya sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh tentera Vietnam. Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam sebuah hikayat Melayu lama iaitu Syair Siti Zubaidah merujuk kepada Che Bo Nga itu sendiri, sedangkan kebanyakan pengkaji sejarah Barat bersetuju Raja-raja Champa hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17 iaitu berdasarkan catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di Champa pada tahun 1676 hingga 1678 Masihi dan mengatakan bahawa Raja dan sebahagian besar penduduk Negara Champa telah menerima agama Islam yang disebarkan oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana. Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M. Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah dihadiahkan sebuah Al-Quran.
Mahkota Kebesaran Champa

Maklumat mengenai Raja-raja Champa khususnya daripada riwayat tradisi Kelantan pula memberikan perspektif yang berbeza daripada sejarah umum kerana dinyatakan bahawa kebanyakan Raja-raja Champa semasa era Pandurangga (Phan Rang) sebagai ibukota telah beragama Islam dan mempunyai hubungan kekerabatan dan persaudaraan yang erat dengan Negeri-negeri Melayu di pantai timur semenanjung Tanah Melayu. Sebagai contoh, Raja Bo Tri Tri dikatakan adalah Wan Bo, anak kepada Ali Nurul Alam (Patih Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara. Wan Bo dikatakan telah meninggalkan Patani dan pergi ke Champa menjadi panglima perang untuk membantu bapa mertuanya iaitu Raja Chandranekalawa atau Ban-La-Tra-Toan menentang Dai-Viet. Selepas mengalami kekalahan dalam peperangan pada tahun 1471 Masihi, Wan Bo bersama-sama rakyat Champa yang lain telah berundur ke kawasan selatan yang berpusat di Pandurangga. Baginda kemudian diisytiharkan sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Wan Abu Abdullah untuk menggantikan bapa mertuanya iaitu Ban-La-Tra-Toan yang telah ditawan dan mangkat dalam tahanan musuh. Pemerintahannya berakhir sehingga tahun 1478 Masihi dan digantikan oleh dua orang anak saudaranya iaitu Wan Abu Yusof dan kemudiannya Wan Abdul Kadir atau Kou Lai (1478-1515 Masihi).

Riwayat Kelantan juga menyatakan bahawa Datu wilayah Jambu yang juga pemangku Sultan Patani iaitu Datu Nik Musthapa telah kembali ke Champa bagi membebaskan bumi Melayu-Islam tersebut daripada pencerobohan rejim Nguyen pada tahun 1570. Raja Champa, Sultan Yaakub Syahibuddin yang sudah sangat lanjut usianya telah ditawan dan mangkat dalam kurungan sangkar besi semasa diarak ke Kota Hue. Pada tahun 1577, Datu Nik Mustapha membawa 10,000 orang tentera Patani dan bersama anak saudaranya Sultan Adiluddin yang membawa 5,000 orang tentera Kelantan bertolak dari kota Pengkalan Datu, Kelantan dan menyerang Dai-Viet untuk merebut kembali Pandurangga. Sebahagian besar dari bumi Champa yang telah jatuh ke tangan Dai-Viet sejak tahun 1471 Masihi telah dapat dikuasai semula sehingga hampir ke Kota Hue. Setelah peperangan tamat dalam tahun 1580, Datu Nik Mustapha telah ditabal menjadi Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Di kalangan orang-orang Cham dan Vietnam, baginda lebih dikenali degan pangilan Po Rome, manakala orang-orang Kemboja memanggil baginda Ong Tpouo.

Walaubagaimanapun, dalam tahun 1684 Masihi, Champa telah kalah dalam peperangan dengan Dai-Viet dan Negeri Kelantan telah dibanjiri oleh pelarian dari Champa termasuklah rajanya sendiri iaitu Po Ibrahim (Po Nrop). Po Ibrahim kemudian telah berangkat bersama pengikutnya meninggalkan Kelantan dan berpindah ke Kampong Brek Bak di dalam wilayah Cham di Kemboja untuk meneruskan penentangan terhadap Dai-Viet. Putera kepada Po Ibrahim iaitu Wan Muhammad telah diangkat oleh Dai-Viet menjadi Raja Champa bergelar Po Jatamuh setelah baginda bersedia mengakui untuk membayar ufti kepada Kerajaan Nguyen.

Setelah Po Jatamuh mangkat, kekandanya iaitu Wan Daim yang sebelum itu merupakan Datu Negeri Jambu telah diangkat menjadi Raja Champa bergelar Po Top. Dalam tahun 1692, baginda cuba memberontak terhadap regim Nguyen setelah membuat pakatan dengan ayahandanya Po Ibrahim yang sedang berada di Kemboja dan kemudian terjadilah serangan serentak di dalam negeri dan perbatasan Kemboja. Walaubagaimanapun, Wan Daim tewas dalam peperangan tersebut dan berundur kembali bersama keluarganya ke Patani, sementara ayahandanya Po Ibrahim yang telah tua mangkat di Kemboja dan dimakamkan di Kampong Brek Bak. Raja-raja Champa selepas itu tidak lagi memiliki kedaulatan sehinggalah Kerajaan Champa dihapuskan sepenuhnya di bawah pemerintahan rajanya yang terakhir iaitu Po Chong Chan.

Sejarah kemegahan dan tamadun Champa yang cukup panjang iaitu memakan masa ratusan tahun tidak cukup untuk diulas dan dimuatkan semuanya dalam ruangan artikel yang terhad ini. Namun begitu, ianya bagaikan tidak bermakna pada hari ini kerana hanya tinggal sisa-sisa sejarah. Wilayah kekuasaannya telah menyusut sedikit demi sedikit sebelum hilang sepenuhnya dan kini seolah-olah menjadi tanahair asal untuk kaum Dai-Viet. Negara Champa telah merakamkan sisi gelap yang sering menyebabkan kejatuhan sesebuah Kerajaan di Nusantara, terutamanya disebabkan perpecahan di kalangan pembesar negara dan rakyatnya serta pengkhianatan yang dibuat oleh orang kepercayaan sendiri disebabkan sifat tamakkan ganjaran dunia. Malahan, kebanyakan orang Melayu sendiri pada hari ini tidak kira di negara kita, Singapura, Brunei dan Indonesia pun kadang kala tidak tahu mengenai kewujudan negara Champa.

Sumber : FB

Monday, June 13, 2016

Kisah Bukit Besi - Tempat Penuh Bersejarah



Sejarah Bukit Besi Bandar Perlombongan


Bandar Bukit Besi adalah salah satu bandar kecil yang terdapat di daerah Dungun, Terengganu, Malaysia. 

Bukit Besi terkenal kerana dahulunya merupakan tempat perlombongan bijih besi dan kawasan yang mempunyai hasil bumi iaitu bijih besi dengan banyaknya.
Stesen Keretapi Bukit Besi.

Kronologi Sejarah Bukit Besi

Bagaimana Bukit Besi mendapat nama? 

Ada pendapat menyatakan, ceritanya bermula dengan penemuan oleh beberapa orang penduduk setempat yang masuk ke hutan untuk mencari rotan. 

Ketika dalam perjalanan mereka berhenti rehat dan ingin menikmati bekal yang dibawa.

Salah seorang daripada mereka ternampak seketul batu sederhana besar dan sesuai dijadikan tempat duduk. 

Beliau lalu mengambil keputusan untuk mengangkat batu tersebut. 

Walau bagaimanapun, niatnya terpaksa dibatalkan apabila batu tersebut ternyata sangat berat. 

Ada yang cuba untuk mengangkat batu tersebut namun tetap juga gagal. 

Maka salah seorang daripada mereka mencadangkan menamakan tempat tersebut dengan nama Bukit Besi dan ia kekal sehingga ke hari ini.
sejarah bukit besi


Manakala sejarah kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kaji bumi dari Jepun,  Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Ulu Dungun pada tahun 1916. 

Beliau  mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut. 

Pada permulaannya, bijih besi diangkut dengan menggunakan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kampung Dendang. 

Kemudian ia dibawa ke Dungun menggunakan bot. Syarikat Kuhara Mining Ltd yang bertanggungjawab sepenuhnya menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927.

Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC). 'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan rasmi oleh Kerajaan Terengganu kepada NMC pada 13 Januari 1929.

Kawasan yang berkeluasan kira-kira 360 hektar, terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132 adalah pecahan daripada M.L. 75, iaitu  kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar Tengku Abdul Jalil.
Bukit Besi

Pada tahun 1930, laluan kereta api Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che' Lijah. 'Stock Pile' atau Tempat Memunggah Bijih yang pertama juga adalah di Kampung Che' Lijah. 

Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun. Tahun 1935, jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja). Pendapatan penduduk Bukit Besi pada masa itu sangat mewah.

Perkhidmatan awam seperti bekalan air, elektrik, kereta api juga disediakan secara percuma. Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk dapat disiapkan dalam tahun 1936. 

Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih  dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong, dan akhirnya dipindahkan pula ke Sura.

Pengeluaran bijih besi oleh NMC mencapai kemuncaknya antara 1936 - 1940. 

Selepas itu ia mula menurun dan berakhir pada tahun 1945, iaitu selepas Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. 

Tiada aktiviti perlombongan yang dijalankan sekitar 1946 - 1949 kerana keadaan darurat dan tiada permintaan.  Kerajaan British telah menjual harta lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company(EMMCO). 

EMMCO telah memulakan kegiatannya  secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun. 

Untuk mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat, EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih. 

Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. 

Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. 

Dengan ini, pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960-1964 di mana jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun. 

Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi. 

Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan penutupan lombong tersebut walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih banyak lagi. 

Penutupan lombong bijih besi ini telah mempengaruhi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun. 

Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.

Berek Meneng. (Berek mining) ??



Tiang Opal Di Teluk Lipat Dungun (Sekarang dah tak ada)

Sumber http://bukitbesi.blogspot.my, http://trulyterengganu.blogspot.my/2010/09/kuih-qasidah.html
sumber : beritasini.com

Kerana Islam atau kerana politik?


TUAN GURU ABDUL HADI AWANG |

Isu Rang Undang-Undang Ahli Persendirian menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1), bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016), menjadi perbincangan hangat, kerana adanya kalangan yang menjadikannya pertikaian yang dihangatkan dan modal politik tanpa maruah.
Kepada penganut Islam, sila tepuk dada tanya iman, bukan tepuk dada tanya selera. Wajib berdalil bukannya berdalih dan berdolak dalik. Di mana kepentingan menegakkan Islam yang diimani mengatasi tujuan politik, walaupun poilitik itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada Islam, namun kemanisan iman yang disifatkan oleh Rasulullah SAW:
ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان , أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما , وأن يحب المرأ لايحبه إلا لله , وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار (البخاري)
"Ada tiga perkara, sesiapa yang mempunyainya, menandakan masih adanya kemanisan iman didalam dirinya. (1) Allah dan Rasul dikasihinya lebih daripada yang lain. (2) Dia megasihi seseorang secara ikhlas kerana Allah dan (3) Dia benci kepada kekufuran laksana tidak mahu kalau dia dicampak ke dalam api neraka." (Al-Bukhari)
Kemanisan ini menjadikan semua pihak dalam kalangan penganut Islam tanpa mengira fahaman politik, termasuk yang tidak berpolitik, semuanya mendukung tujuan memartabatkan Syariat Allah secara umum, termasuk DYMM Raja-Raja melalui titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam perasmian Sidang Parlimen ini pada 7 Mac 2016. Tegas Baginda, mahukan taraf Mahkamah Syariah ditinggikan. Bukan undang-undang Hudud yang mengikut mereka yang berfahaman sempit terhadap Islam, yang meletakkan undang-undang Islam hanya jenayah Hudud. Maka dijadikan satu-satunya senjata paling kuat untuk menyerang Islam.
Usul seumpama ini telah diangkat beberapa kali, sejak Parliman Ke-9 (1995) dan persidangan akhir tahun 2015. Perubahan dibuat melalui rundingan di luar Parlimen, kerana medan politik bukan sahaja berbahas dalam Parlimen. Amalan demokrasi bukan sahaja dalam Parlimen, termasuk hubungan diantara kerajaan dan pembangkang secara perbincangan. Usul ini dibawa terlebih dahulu secara rundingan di luar Parlimen, mencari pendekatan damai, walaupun berbeza pendapat dan pendekatan.
PAS tidak perlu memikul kesalahan DAP yang mengumpul masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina dan lain-lain ke dalam bakul pembangkang DAP, sehingga memilih secara kasar dan hanya bersorak di dalam Parlimen dan demonstrasi di jalanan untuk paparan berita hangat media.
Sebenarnya, usul ini berkaitan dengan penganut Islam sahaja, bagi membetulkan asas perlembagaan Negara. Perkara 3, Islam adalah Agama Persekutuan dan agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan secara bebas. Masalahnya Islam yang menjadi Agama Persekutuan ini masih tidak bebas, khusus bagi penganut Islam yang sudah dihimpit dengan masalah yang wajib diselesaikan dengan Syariat Islam.
Inilah yang menyedarkan umat Islam sendiri, bukan sahaja PAS, termasuk juga Umno dan lain lain, sama ada dia berpolitik atau tidak, daripada rakyat biasa sehinggalah Raja-Raja dan para pemimpin, seorang Islam yang baik atau jahat, kerana kecintaan kepada Islam yang ada dalam hati-hati mereka. Maka campur tangan pihak lain terhadapnya boleh dianggap melanggar sempadan dan mahu memecah tembok perbezaan yang harmoni.
Usul ini telah dikemukakan mengikut tempoh masa yang diwajibkan oleh Peraturan Mesyuarat, terlebih dahulu sebelum daripada kemalangan helikopter yang mengorbankan dua Ahli Parlimen yang kami semua mendoakan rahmat Allah kepada mereka, sehingga terpaksa diadakan dua PRK. Kalau usul tidak dikemukakan cukup tempoh harinya maka usul hendaklah ditolak. Usul ini sekadar menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan sebahagian daripada hukum syariat yang hukumannya dalam perkara umum, termasuk undang-undang keluarga, pusaka dan wakaf yang lebih rendah daripada mahkamah sivil paling rendah. Inikah kedudukan Islam yang menjadi agama negara dalam perlembagaan?
Jelasnya, bahawa Rang Undang-Undang ini lebih bersifat menyempurnakan prasarana Sistem Kehakiman Islam yang menunjukkan bahawa Undang-Undang Allah SWT lebih menjamin keadilan daripada undang-undang ciptaan manusia dan membetulkan perjalanan undang manusia yang diizin Allah, di mana Mahkamah Syariah dan hukumannya lebih berkonsep mendidik masyarakat, bukannya menghukum.
Adapun hukuman jenayah yang disebut di bawah pindaan ini, lebih banyak dalam perkara takzir yang terlalu ringan yang bersifat mendidik masyarakat Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam tanpa paksaan. Ada pun hukuman jenayah berat dalam perkara Hudud dan Qisas seperti hukman bunuh, memotong tangan pencuri yang amat ditakuti oleh DAP dan sepertinya tidak terlibat. Sepatutnya mereka tidak perlu takut kalau tidak mencuri atau merompak, kerana pindaan undang-undang ini memerlukan majoriti 2/3, di mana mereka boleh menghalangnya, kerana sudah pasti mereka tidak menyokong, bahkan menghalangnya, kerana perangai mereka begitu rupa, walaupun perkara urusan penganut Islam.
Diulang lagi, sepatutnya pihak bukan Islam tidak perlu takut kerana ini bukan urusan mereka, ini urusan penganut Islam sahaja.
Kami hanya membawa usul untuk dibaca kali yang pertama yang belum boleh dibahas sebelum diluluskan, mengikut Peraturan Mesyuarat 15(5), untuk memberi peluang kepada semua pihak mengkaji dan menyediakan hujah dan alasan sehingga Persidangan Parlimen yang akan datang, memakan masa menunggunya lebih daripada tiga bulan.
Kepada penganut Islam yang wajib menyokong usul ini, saya memberi peringatan dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ
"Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanMu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadaMu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." (Surah Al-Maidah, ayat 49)
Adapun kepada parti yang dinamakan Parti Amanah yang pandai bersilat dengan kata-kata dan alasan berdalih, saya sebutkan firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad SAW) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadaMu (melalui wahyuNya) dan janganlah Engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat." (Surah An-Nisa', ayat 105)
Tegasnya, bahawa usul ini adalah membuka pintu ke arah mengisi kemerdekaan yang kita warisi bersama daripada generasi awal yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Kemerdekaan itu bukan sekadar menghalau penjajah asing keluar daripada tanah air kita, bahkan juga membuang segala peninggalan mereka, termasuklah aspek perundangan. Mereka yang menghalang usaha ini adalah saki baki penjajahan pemikiran yang wajib membebaskan fikiran mereka daripadanya.
Kita wajib berterima kasih kepada semua pihak, kerajaan dan bukan kerajaan yang mendukung dan menyokong, serta memohon Allah supaya diberi pahala dan fadhilat manakala kepada pihak yang lain supaya bertaubat dan mendapat hidayat.
Kepada yang mahu bercakap atau menulis dalam tajuk ini, bacalah firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (pada hari kiamat nanti) tentang apa yang dilakukannya." (Surah Al-Isra': ayat 36)
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

24 Syaaban 1437 / 31 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 31/5/2016