11 MAC — Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab
salam ‘bukan muslim’ yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis
yang membantah mati-matian. Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak
pernah dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’. Mereka ini
jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di pondok-pondok yang
pernah mereka belajar. Sesetengah pihak pula telah mengharamkan diri
dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut oleh mazhab
nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian pondok di
rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan ilmu
yang diiktiraf dalam Islam.
Ustaz bukan Rasul
Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya
adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan
indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat golongan ‘ustaz’ bukan
kesemuanya pasti tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua
yang dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia ajar
atau perkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran al-Quran dan
al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’. Jika
tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik sesat
menyesatkan antara satu sama lain. Kesimpulannya, pandangan golongan
agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh ditolak ialah
nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah
berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas
yang diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika
tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang diutuskan
sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan neraca
kewahyuan.
Hujah
Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh
menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau
sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan
semata. Di sini saya petik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad:
“Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum
memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama
tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”. Ulama yang lain
berpendapat: “harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana
harus menjawabnya. Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn
‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam
Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i
menyatakan: Disebut al-Salam ‘alaika tanpa menyebut wa rahmatullah, dan
secara ifrad (untuk seorang sahaja). Segolongan ulama berpendapat:
“Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan
kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya,
atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya.
Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata
al-Auza’i: “Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan
Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka sebelum ini golongan
soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak
memberi salam kepada mereka sebelum ini golongan soleh yang lain”.
Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Para ulama berbeza pendapat tentang
menjawab salam mereka. Majoriti ulama berpendapat wajib menjawab.
Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib
menjawab..”
Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Telah sabit dalam hadis, Nabi s.a.w
lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah
berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”.(Ibn
Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah
al-Risalah 1990).
Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk
Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir
Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada
Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari
Surah al-Nisa ayat 86) "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan
sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih
baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu" (riwayat ini
bertaraf hasan).
Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza
Kataba al-Zimmi Fasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi
Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab
ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat
kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia
ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?.
Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam,
maka akupun menjawabnya”.
Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh sesiapa yang
ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu pandangan sebagai
menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah golongan agama tidak
menjadikan fakta sebagai teras perbincangan, sebaliknya sentimen guru
tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.
Fahami Sebab Hadis
Adapun hadis-hadis yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas kamu)
terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi
s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud:
maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran
orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan
‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadis baginda:
“Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya
dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah
wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab
terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada
suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan
salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya
hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith
ini bukan untuk semua keadaan.
Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan
salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk
mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadis di atas tiada kaitan
lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa
kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara
yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian.
Nas Dan Realiti
Apatah lagi dalam situasi Islam yang cuba dipandang serong oleh
musuh-musuh yang mengelilingi umat. Tidak menjawab salam yang betul yang
diberikan oleh bukan muslim yang tidak memerangi Islam
sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran
berikut:
Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86: (maksudnya): “Dan apabila kamu
diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia
(dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung
tiap-tiap sesuatu”.
Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya): “Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta
kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan
tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah
melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi
kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah),
sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim”.
Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut: “Ayat ini (Surah
al-Mumtahanah ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan
dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan
tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di
kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam
‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang
tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah
mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum
(maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”.
(Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh:
Maktabah al-Ma’arif :1995).
Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam bukan muslim pun,
berpendapat jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka
contohkan seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak
baik. Saya katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari
segi nas, juga realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya
yang indah oleh penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik
dengan ucapan yang baik juga hanya akan menambahkan contengan di wajah
Islam yang kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah
suatu kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.
* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Perlis
No comments:
Post a Comment