Friday, March 22, 2013

Membersih diari hidup dari catatan dosa

Dr Juanda Jaya,
Perjalanan hidup manusia terlalu panjang. Bermula dari alam roh menuju ke alam rahim, dilahirkan ke alam dunia, masuk ke alam kubur dan bangkit semula di alam akhirat. Lima fasa telah ditakdirkan untuk kita lalui. Orang yang beriman percaya bahawa sebenarnya roh sentiasa hidup melalui setiap fasa kehidupan ini. Berbanggalah dengan roh anda yang beriman, bukan kerana jasad yang cantik rupawan dengan perhiasan yang dipamerkan di tubuh badan atau harta kekayaan yang disorokkan. Sepatutnya akal yang tajam itu digunakan untuk berfikir jauh ke hadapan. Semuanya yang kita miliki kini akan musnah kerana dunia umpama tempat mengeringkan peluh di muka, lalu kita akan kembali berjalan ke destinasi seterusnya.

Mengamati sejarah hidup manusia, kita seolah-olah membelek setiap halaman diari kehidupan. Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami mendewasakan diri, walaupun kadang-kadang sebahagian manusia bertambah muda dan bersikap keanak-anakan menghadapi cabaran hidup ini. Berwaspadalah dengan usia tua yang mungkin menambahkan kerasnya hati, degilnya perangai dan sukar mengawal emosi. Apakah sebenarnya yang tersirat dari sabda baginda SAW yang bermaksud: “Allah SWT tidak menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga sampai berumur 60 tahun.” Hadis riwayat al-Bukhari.

Ini bukan bermakna manusia boleh sesuka hati melakukan dosa hingga berhenti pada usia 60 tahun. Tetapi sebenarnya ia mengingatkan kita bahawa jika tak berubah juga perangai sampai mencecah usia 60 tahun, tanda-tanda kebinasaan telah nampak. Kerana manusia itu mengalami beberapa fasa untuk sampai pada usia matang. Kalau lahir pramatang pun merbahaya, apatah lagi terlebih bulan. Kalau tidak bertaubat juga sementara usia semakin meningkat, alamat tidak jumpa jalan Tuhan sebab mata dah rabun.

Kalau kita imbas kenangan manis semasa mula-mula berkahwin, proses penyesuaian diri dengan pasangan terasa susah tetapi kita jalani juga bahtera rumahtangga itu. Semakin lama semakin kukuh menerjang badai. Pahit manis menjadi pengajaran. Kita bertambah dewasa dan matang dalam berfikir, bertindak dan merasa. Kita telah sampai pada satu titik kesempurnaan peribadi ketika mahu berkongsi segalanya dengan pasangan. Setiap hari saling melengkapi dan saling menyelamatkan supaya tidak tenggelam dihentam gelombang.

Begitu juga dengan perkara iman dalam diri yang sentiasa harus diselamatkan seiring dengan bertambahnya usia. Seharusnya dengan bertambah usia maka bertambahlah imannya, berubah sedikit perangainya kepada kebaikan, mulia akhlaknya, lembut hatinya, terkawal emosinya dan tenang jiwanya. Bukan sebaliknya, biarlah tubuh badan saja yang uzur tetapi iman tetap segar, masih nampak lagi yang hak dan yang batil, tidak nyanyuk dan lupa mana yang Allah reda dan mana yang dimurkai-Nya.

Apabila anak sudah meningkat dewasa, tentunya kita mahu lebih matang daripada mereka dan lebih baik lagi iman dan amalnya. Setiap hari semakin penuh diari hidup kita dengan catatan amalan soleh. Hakikatnya, dosa dan pahala berlumba-lumba memenuhi setiap muka surat catatan diari kehidupan kita sepanjang masa, tanpa henti. Ada yang rugi, ada pula yang untung dalam perniagaan akhiratnya. Yang rugi hanyalah mereka yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat dipanjangkan umur.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kamu melakukan amal kebaikan sebelum menemui tujuh perkara yang kamu tidak nantikan datangnya iaitu kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang menyebabkan kamu zalim, sakit yang merosakkan badan, tua yang menggagapkan percakapan, mati yang melenyapkan segala sesuatu, atau tibanya dajjal atau datangnya kiamat yang lebih dahsyat dan lebih pahit dugaannya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Begitulah diari hidup manusia. Jika habis segala cerita dituliskan, maka sampai pula masanya pulang kepada Allah SWT. Tetapi harus diingat, di akhirat semuanya akan dibalas, dihitung dan ditimbang sehalus-halusnya. Cerita tentang hidup manusia bukan menjadi rahsia lagi di sana. Semuanya akan terungkap di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.

http://drjuanda.com/

No comments:

Post a Comment