Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang |
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
PANDAN: PAS sebagai organisasi, jamaah dan Gerakan Islam mestilah dipimpin oleh ulama, sesuai dengan kelayakan mereka memahami ilmu dan kemahiran terhadap segala prinsip dan dasar yang menjadi pegangan PAS, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Sightech Sdn Bhd, Prof Dr Mohamad Khazani Abdullah.
Katanya, ulama paling berautoriti terhadap prinsip dan dasar PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas untuk difahami dan diperjelaskan kepada masyarakat dalam konteks semasa dan pelbagai cabarannya.
Beliau menegaskan demikian pada Kongres Profesional Muslim Se-Malaysia bertemakan “Islam, Profesionalisma dan Penyelesaian” di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini 18 April lalu.
Terdahulu dalam pembentangannya, Prof Khazani memahamkan peserta terhadap etimologi dan terminologi ‘profesional’ serta membandingkannya dengan pendefinisian secara sah (legal), teknikal dan akta.
Menurutnya, profesional berasal dari kata ‘profes’ di mana merujuk maksud sesuatu idea, pandangan, pendapat atau cadangan yang disandarkan dengan hujah.
“Profesional bermakna mereka yang mengamalkan profesionalisme, di mana isme ialah kaedah berfikir, membina sikap dan mentaliti, iaitulah sikap dan mentaliti yang adil, jujur, telus dengan ilmu dan kemahiran yang ada dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan.
“Jadi, profesionalisme sebenarnya merujuk kepada sikap, bukan bidang semata walaupun selalu dikaitkan dengan bidang seperti jurutera, arkitek, peguam, doktor dan sebagainya. Perspektif bidang ini menyempitkan skop kita kepada profesionalisme hingga mereka yang tidak ada dalam bidang tersebut dilihat tidak profesional.
“Inilah menyebabkan bidang agama tidak dikaitkan dengan profesionalisme. Sedangkan, sesiapa sahaja bersikap adil, jujur dan telus atas ilmu yang ada pada dia dalam mempuat keputusan dan tindakan, maka dia telah amal profesionalisme. Maka dia profesional dalam bidang dia.
“Begitu juga hujah hanya timbul dengan ilmu dan kemahiran kepakaran. Jika mengemukan sesuatu tanpa ilmu dan kemahiran, tak boleh beri hujah yang diterima, dari segi istilah tidak boleh kata profesional,” terangnya yang juga Profesor Adjung di Universiti Putra Malaysia.
Oleh itu tegas Prof Khazani, intipati utama profesionalisme adalah sikap dan ilmu, walaupun pada keperluan ilmu secara definisi teknikal atau ‘legal’ dan akta profesion dalam negara telah menggariskan keilmuan tertentu.
Terangnya, ketetapan yang ada meletakkan keilmuan tahap profesional itu ‘diukur’ dengan kaedah, sistem dan prosedur mengikut bidang masing-masing, iaitu setelah mencapai kelayakan tertentu dan diiktiraf pihak berautoriti.
Demikian itu katanya, profesional tidak semestinya disandar hanya pada bidang keilmuan, tetapi juga soal sikap.
“Kalau ilmu sekian banyak dan mendakwa diri tahu, tetapi memberi kesimpulan tidak tepat, walaupun dihadapan namanya ada Ir, doktor dan sebagainya, (tetapi) kalau sikapnya tidak profesional, maka dia bukan profesional semasa hal tersebut.
“Atau profesor yang ‘profes’ dalam bidang dia, tetapi menggunakan ilmunya untuk buat kesimpulan tidak adil, tidak benar untuk capai sesuatu objektif dia yang tertentu, bermakna dia juga tidak bersikap profesional. Profesionalisme tidak ada pada dia ketika itu. Bererti profesionalisme tadi ia akan berubah, ia tidak kekal sifatnya pada seseorang.
“Mungkin dari segi ‘legal’ dia dapat kekal bila melepasi peperiksaan dalam bidang tertentu oleh badan berautoriti dalam bidang tersebut dan meraih ‘title’ profesional. Itu kekal selagi peperiksaan itu 'valid'.
“Tetapi sifat sebenar seorang profesional, ia berubah-ubah. Kalau dia tidak bersikap adil, berkata sesuatu yang dia tidak tahu, mendakwa sesuatu secara tidak tepat, beri kesimpulan tidak cukup kuat, lalu membuat keputusan atasnya, maka dia tidak profesional,” jelas beliau.
Menurut Prof Khazani lagi, mereka yang profesional bukan sahaja adil dan jujur dengan ilmu, tetapi juga dikaitkan dengan kerja dan hasil kerja berkualiti tinggi, berstruktur, cekap, tepati masa dan tidak emosional.
Maka katanya, berdasar seluruh penjelasan itu bermakna ulama telah memenuhi profesionalisme dan layak serta berhak dikatakan ahli profesional.
Beliau turut melontarkan pandangan bahawa sudah tiba masanya profesional dalam pelbagai bidang tampil secara berani ke hadapan mengemukakan pandangan berdasarkan penyelesaian Islam kepada masyarakat.
“Cabarannya adalah menukar falsafah dan prinsip dalam Islam itu kepada bentuk pelaksanaan. Sebab itulah pentingnya ulama,” ujarnya
No comments:
Post a Comment