Sunday, November 1, 2015

Piala AFC: JDT Pasukan Pertama Pecahkan Monopoli Kelab-Kelab Asia Barat

Image result for datuk hamidin mohd amin
DATUK HAMIDIN MOHD AMIN


KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pasukan Asia Timur pertama yang berjaya memecahkan monopoli pasukan-pasukan Asia Barat pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata JDT adalah satu-satunya kelab dari Asia Timur, termasuk Asia Tenggara yang menjuarai kejohanan peringkat kedua tertinggi di Asia yang sebelum ini dikuasai oleh kelab-kelab dari negara Asia Barat iaitu, Kuwait, Jordan, Bahrain, Syria dan Uzbekistan.

"Sejak Piala AFC diperkenalkan pada tahun 2004, tidak pernah ada mana-mana pasukan dari Asia Timur muncul juara sehingga JDT mencipta sejarah malam tadi. Saban tahun wakil-wakil dari Malaysia hanya mampu melangkah setakat peringkat suku akhir.

"Saya mewakili Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh warga kerja FAM ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada JDT di atas kejayaan mereka muncul juara kejohanan Piala AFC tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan Ahad.

JDT muncul juara selepas menewaskan pasukan dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Central Republican, Dushanbe, Sabtu malam sekali gus, mengubat kekecewaan mereka yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Leandro Velazquez pada minit ke-23, manakala kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling bernilai.

Hamidin yang hadir menyaksikan perlawanan itu di Dushanbe bersama Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, kejayaan membanggakan skuad Harimau Selatan itu perlu dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pasukan-pasukan lain di Malaysia untuk mempunyai cita-cita tinggi bagi mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Bagi pihak FAM, kami sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan berterusan pada masa akan datang termasuk dari aspek penyusunan jadual liga domestik yang tidak terlalu padat buat wakil-wakil negara di kejohanan Piala AFC dan ternyata ia sedikit sebanyak telah membantu JDT untuk mara sehingga ke perlawanan akhir tahun ini," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tunjang utama dalam mengubah landskap bola sepak di Johor, sehingga berjaya menjulang nama JDT untuk mencapai kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA), yang menyebabkan kedua-dua pasukan dari negara itu, Qadsia SC (juara bertahan) dan Kuwait SC tidak dibenarkan beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan itu turut memudahkan laluan JDT ke final.

Selaku juara, JDT membawa pulang Piala AFC yang disampaikan sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC meraih US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.

Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga yang diraih JDT musim ini, selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 31 Jan lepas, selain menjuarai Liga Super 2015.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment