- Ditulis oleh SAPINAH AB GHANI
KOTA BHARU - Pas
melancarkan gerakan menjadi ahli di usia muda dengan membuka keahlian
seawal 13 tahun dalam misi memantapkan lagi perjuangan Islam di negara
ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin
Hassan berkata, Pas sentiasa berusaha menambah keahlian kerana ia
menggambarkan betapa kuat dan mantapkan perjuangan mereka dalam
memartabatkan agama Islam di negara ini.
“Sejak ditubuhkan pada 1951 sehingga
hari ini, keahlian Pas sudah mencecah 1.6 juta, dan kita sentiasa
berusaha menambah keahlian kerana ramainya ahli menzahirkan sejauh mana
kekuatan kita.
“Ia
juga akan menggambarkan betapa hebatnya perjuangan Islam di negara
ini,” katanya dalam ucapan aluan sempena pelancaran gerakan menjadi ahli
di awal usia di sini, kelmarin.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota
Bharu berkata, gerakan menjadi ahli di usia muda dilancarkan buat
pertama kalinya di negeri ini sempena Sambutan 60 Tahun Kerajaan Pas
Kelantan di sini, malam tadi.
“Berdasarkan perlembagaan, lima syarat
melayakkan seseorang menjadi ahli Pas, iaitu, Islam, warganegara, cukup
umur mengikut hukum syarat (Pas menetapkan umur minimum menjadi ahli
ialah 13 tahun) selain mengaku menerima serta taat kepada perlembagaan
parti, peraturan, arahan dan keputusan parti dari masa ke semasa.
“Manakala bagi pelajar institusi
pengajian tinggi, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak
universiti terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, majlis pelancaran yang
disempurnakan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad turut menyaksikan kira-
kira 1000 borang diagihkan sebagai permulaan.
“Ahli yang menyerahkan borang dalam
tempoh seminggu bermula hari ini akan mendapatkan keahlian percuma
manakala penyerahan (borang) selepas tarikh ditetapkan perlu membayar
yuran pendaftaran sebanyak RM5 dan RM3 untuk yuran tahunan,” katanya.
Sumber www.pas.org.my
No comments:
Post a Comment