Wednesday, October 28, 2015
Intisari Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Catatan Khas: Intisari Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
1) Tuan Guru memulakan ucapan dengan membaca ayat Al Quran, (Surah Al Israk: 29-30) yang bermaksud;
"Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya."
Ayat ini merupakan petunjuk Allah terhadap cara berbelanja yang betul bagi individu sehinggalah negara.
2) Bajet tidak mencapai matlamat kalau pihak kerajaan sahaja yang selesa sedangkan rakyat masih menderita denga masalah mereka belum selesai seperti masalah kemiskinan, kemudahan asas, kenaikan harga barang, inflasi yang membebankan, dan peningkatan kadar jenayah.
3) Bagi orang Islam yang diajar beriman, bukan sekadar Wawasan 2020 yang sudah hampir tiba bahkan lebih mencabar lagi menghadapi Wawasan Akhirat yang adanya perhitungan dosa dan pahala dalam segala aspek urusan hidup bermasyarakat.
4) Islam menegaskan aspek ekonomi juga termasuk dalam sebahagian amanah yang besar tanggungjawabnya. Rasulullah memberi amaran apabila amanah dijadikan peluang mendapat habuan diri, keluarga dan kroni menandakan berlakunya kemusnahan ummat.
5) Perkataan Berkat tidak ada dalam istilah teori politik, ekonomi dan kemasyarakatan ciptaan manusia. Ia hanya ada di dalam Al Quran. Tanpa keberkatan berlakulah bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan jerebu. Bukan sahaja jerebu cuaca termasuk juga jerebu politik, ekonomi dan sebagainya kerana kerakusan tanpa batas akibat tangan manusia.
5) Perlunya kita mengkaji matawang US Dollar yang menjadi sandaran kewangan dunia itu. Adakah ia hanyalah kertas kosong yang dicetak sebanyak-banyaknya tanpa sandaran emas dan sebagainya yang bernilai tinggi oleh negara kuasa besar.?
6) Dalam sistem Islam adanya Hisbah (Ombudsman) yang menyiasat bukan sahaja terhadap hasil pendapatan tetapi termasuk juga manusia yang mengurusnya.
7) Kisah kepimpinan melalui tauladan yang berlaku ketika pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab yang telah berjaya membebaskan tanah jajahan 2 kuasa besar dunia, Parsi dan Rom. Islam telah berjaya membawa perubahan dengan kebebasan ekonomi yang tidak menindas dan memperhambakan rakyat serta menjana kewangan negara yang melimpah ruah.
8) Peristiwa menarik berlaku apabila datangnya longgokan kain di Madinah untuk pakaian lalu dibahagi secara percuma kepada sekalian penduduk. Setelah beberapa hari, Khalifah Umar datang menemui rakyat dengan berpakaian baru. Khalifah memulakan ucapan dengan berkata "sila dengar dan taat".
Tiba-tiba ada yang menyampuk dengan berkata, "kami tidak mahu dengar dan taat sehinggalah Amirul Mukminin memberi tahu dari mana datangnya pakaian baru yang dipakai itu kerana mengikut pembahagian ianya tidak mencukupi badanmu yang besar, sudah pasti ia diambil dari pintu belakang.?
Sehinggalah anak Khalifah, Abdullah bin Umar memaklumkan bahawa dia menghadiahkan bahagiannya kepada ayahnya. Setelah penjelasan diberikan, barulah pengkritik menegaskan "sila teruskan ucapan, sekarang kami sedia mendengar dan mematuhinya."
9) Kita sedang mengalami krisis keyakinan yang lebih besar daripada sehelai kain. Berulang kali berlakunya salahlaku dalam hasil, perbelanjaan dan pengurusan.
10) Ibnu Khaldun menegaskan bahawa manusia itu bermasyarakat madani mengikut fitrahnya dengan syarat dibangunkan insannya dengan betul iaitu aspek jasad, ruh, akal, individu, masyarakat sehingga mampu membina negara dalam semua aspek.
11) Wawasan 2020 sudah hampir namun tahap pencapaiannya belum hampir mencecah harapan. Kaum Bumiputera yang sudah kebelakang tetap lebih jauh ke belakang kerana yang maju menjadi lebih maju. Ianya adalah kerana konsep perlumbaan teori liberal kapitalisme yang menjadikan kekayaan b
erpusing di kalangan tertentu sahaja.
12) Berlakunya perbahasan Bajet Tambahan setiap kali selepas adanya persidangan Bajet Umum menunjukkan adanya lubang yang membocorkan menjadikan kewangan peruntukannya tidak konsisten.
13) Muhasabah sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita memerlukan pembetulan terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan. Kehilangan wang negara telah berlaku dalam pelbagai peristiwa tanpa penyelesaian dan puncanya di letak dibawah karpet untuk dilupakan.
Undang-undang dan penguatkuasaannya laksana sarang labah-labah yang hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang besar.
Peristiwa terkini 1 MDB hanyalah mengulangi drama BMF, PERWAJA, PKFZ, MAIKA HOLDING dan lain-lain. Tidak habis-habis menyalahkan di antara satu sama lain silih berganti tanpa keinsafan.
14) Isu TPPA: Penyelesaian masalah ekonomi negara besar dibuat demi kepentingannya sahaja dengan mempergunakan negara sederhana dan kecil di atas konsep ekonomi bebas mengikut sistem liberal kapitalisme atau sosialisme mengikut agenda globalisasi.
TPPA menghapuskan sempadan bumi dan perairan negara bersamanya dihilangkan sempadan sifat kemanusiaan sejagat dan hak asasi adil sesama manusia yang berkeluarga secara masyarakat Madani.
15) Penjajahan purba merompak tanpa undang-undang maka penjajahan baru diadakan undang-undang bagi melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dimeteraikan laksana cacing-cacing kerdil yang menumpang dalam perut ular yang lebih besar atau iaknkecil menumpang jerung yang besar lagi ganas. Petani di negara ini akan bersaing dengan petani negara besar yang lebih maju dan canggih jenteranya. Nelayan kecil kita yang bersampan perlu menandingi kapal armada nelayan meredah lautan. Begitu juga nasib kontraktor tempatan akan bersaing dengan kontraktor gergasi yang masuk kerana perjanjian yang merobekkan sempadan ekonomi negara.
16) TPPA bukanlah penyelesaian ekonomi global bahkan lebih bersifat penjajah baru dalam aspek ekonomi. Adalah lebih baik negara kita mengadakan kerjasama serantau dengan negara terdekat seperti ASEAN, OIC, China, Jepun, Rusia selepasnya diikuti Eropah dan Amerika. Bebaskan pergantungan dengan USD kepada Dinar dan matawang ASEAN dan sebagainya daripada matawang negara yang juga mengalami krisis ekonomi dengan menjadikan kita pelampung penyelamat yang ditinggalkan selepas mereka selamat.
17) Krisis Keamanan dan Keselamatan:
Allah menjanjikan keamanan akan wujud apabila syariat Islam yang ada kehebatan menggerunkan penjenayah. Sudah tiba masanya kita kembali kepada syariat Islam yang adil daripada rahmat Allah. Cukuplah memberi keinsafan dengan kelemahan undang-undang ciptaan manusia dengan peningkatan jenayah.
18) Semua kekacauan yang berlaku di Asia Barat khususnya adalah agenda penjajah, negara kuasa besar yang pernah mencetuskan 2 perang dunia yang dahsyat.
Negara umat Islam kaya dengan sumber alam dan berkedudukan strategik dalam geografi peta dunia yang menjadi laluan sumber tenaga dan perjalanan perdagangan.
Selat Melaka antara Malaysia dan Indonesia, Bab Mandab pintu Laut Merah, Terusan Suz di Mesir, Selat Bosphorus pintu Laut Hitam dan Laut Mediterranean adalah tanah air ummat Islam. Maka, kawasan inilah sering menjadi mangsa peperangan.
19) Konflik yang berlaku di sana sekarang adalah agenda serampang lebih 2 mata, bagi menyelamatkan Israel, peperangan menjana ekonomi dengan permainan harga minyak, perniagaan senjata dengan mencetuskan peperangan secara proksi di atas kejahilan agama dan semangat perkauman yang sempit.
Semua pihak dibekalkan senjata dan logistik bagi berbunuhan sesama sendiri dengan menggunakan kesilapan yang berlaku seperti kezaliman pemerintah, perbezaan agama, mazhab dan kaum.
Sebenarnya sudah beribu tahun mereka di sana dan Islamlah yang telah menyatukan mereka. Bukan Islam yang salah tetapi kejahilan setempat, kezaliman pemerintah dan musuh luar.
20) Kita wajib membezakan di antara menentang musuh luar yang menceroboh dan menghadapi kesilapan dalam negara sendiri.
Di atas konsep ini, maka PAS sang
gup bertahan kalah teruk dan sedikit kemenangan walaupun kemenangan yang dikejar kelihatan terlalu jauh. Kerana kami berpegang kepada janji Allah iaitu 2 kemenangan Dunia dan kemenangan Akhirat.
21) Bahkan, kita berjanji tetap bersama menentang musuh luar dan sesiapa sahaja yang mahu mengganggu urusan negara kita walaupun dalam perkara masalah yang wajib kita betulkan. Biar kita sendiri dan kebijaksanaan kita sendiri. Jangan sesekali menjemput musuh datang ke sini.!
(ketika ini, kedengaran bunyi tepukan meja dewan tanda sokongan para Ahli Dewan)
Kita mahu mengharamkan peristiwa penjajahan berulang lagi kerana Nabi Muhammad S.A.W bersabda; "Tidak seharusnya orang mukmin itu disengat sebanyak 2 kali daripada 1 lubang."
22) Isu Al Aqsa:
Langkah penyelesaian secara kewujudan 2 negara adalah mustahil dan tidak lebih daripada mengiktiraf negara rompakan terhadap bumi Palestin dan penubuhan negara haram Israel yang menjaga kepentingan kuasa besar di Asia Barat.
Al Quran telah pun memberikan penyelesaiannya dalam ayat 40; Surah Al Haj yang menyebut berkenaan masyarakat majmuk. Islam telah mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai tanah suci kepada penganut 3 agama Samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
23) Isu Pelarian:
Isu pelarian kini menjadi isu global apabila berlakunya politik dan ekonomi yang zalim meminggirkan sesama manusia. Islam memberi penyelesaian kepada isu ini seperti terkandung di dalam ayat 6; Surah At Taubah.
Walaupun pelarian yang datang itu dalam kalangan penganut bukan Islam, mereka wajib diberi perlindungan dan menunjukkan Islam memberi jaminan hak kemanusiaan sehingga merentasi sempadan agama yang berbeza dan mereka juga tidak dipaksa memeluk Islam.
Konsep Islam inilah menjadi panduan undang-undang antarabangsa dan Piagam Geneva yang berkait dengan pelarian.
Nota Tambahan:
a) Ucapan Tuan Guru Presiden ini disiapkan dan ditaip oleh beliau sendiri. Saya hanya memetik sebahagian sahaja daripada teks penuh setebal 36 muka surat
b) YB Tuan Guru berucap selama 40 minit. Sebenarnya, masa diperuntukkan hanya 30 minit, tetapi suasana dewan ketika beliau berbahas sunyi-sepi tanpa sebarang gangguan. Dato' Timbalan Speaker pun diam sahaja walaupun masa dah tamat..hehe
c) Ucapan Tuan Guru ini menyentuh pelbagai aspek daripada pengurusan dan pentadbiran negara sehinggalah hal ehwal politik antarabangsa yang sememangnya menjadi kepakaran beliau yang memegang jawatan Naib Ketua Kesatuan UIama Sedunia.
Beliau membuat teguran, kritikan dan cadangan penyelesaian dengan berlandaskan dalil nas Al Quran dan Hadis serta Sirah Nabawiyah dalam konteks realiti semasa hari ini.
d) Antara ayat menarik dalam ucapan beliau yang masih terngiang di telinga saya ialah:
"Di atas konsep ini, maka PAS sanggup bertahan kalah teruk dan sedikit kemenangan walaupun kemenangan yang dikejar kelihatan terlalu jauh.
Kerana kami berpegang kepada janji Allah iaitu 2 kemenangan Dunia dan Akhirat.."
e) InsyaAllah, pihak kami akan membuat sebaran rakaman penuh ucapan perbahasan YB Marang melalui channel youtube TV PAS.. Tonton dan dengar sendiri pastinya lebih indah daripada catatan ini...
Catatan Oleh,
Syed Ahmad Fadhli, Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS.
8.45mlm, 26 Oktober 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment