Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Catatan Khas: Intisari Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
1) Tuan Guru memulakan ucapan dengan membaca ayat Al Quran, (Surah Al Israk: 29-30) yang bermaksud;
"Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil),
dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya
(boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang
tercela serta kering keputusan. Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang
menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam
pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya."
Ayat ini merupakan petunjuk Allah terhadap cara berbelanja yang betul bagi individu sehinggalah negara.
2) Bajet tidak mencapai matlamat kalau pihak kerajaan sahaja yang
selesa sedangkan rakyat masih menderita denga masalah mereka belum
selesai seperti masalah kemiskinan, kemudahan asas, kenaikan harga
barang, inflasi yang membebankan, dan peningkatan kadar jenayah.
3) Bagi orang Islam yang diajar beriman, bukan sekadar Wawasan 2020 yang
sudah hampir tiba bahkan lebih mencabar lagi menghadapi Wawasan Akhirat
yang adanya perhitungan dosa dan pahala dalam segala aspek urusan hidup
bermasyarakat.
4) Islam menegaskan aspek ekonomi juga termasuk
dalam sebahagian amanah yang besar tanggungjawabnya. Rasulullah memberi
amaran apabila amanah dijadikan peluang mendapat habuan diri, keluarga
dan kroni menandakan berlakunya kemusnahan ummat.
5) Perkataan
Berkat tidak ada dalam istilah teori politik, ekonomi dan kemasyarakatan
ciptaan manusia. Ia hanya ada di dalam Al Quran. Tanpa keberkatan
berlakulah bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan jerebu. Bukan
sahaja jerebu cuaca termasuk juga jerebu politik, ekonomi dan sebagainya
kerana kerakusan tanpa batas akibat tangan manusia.
5) Perlunya
kita mengkaji matawang US Dollar yang menjadi sandaran kewangan dunia
itu. Adakah ia hanyalah kertas kosong yang dicetak sebanyak-banyaknya
tanpa sandaran emas dan sebagainya yang bernilai tinggi oleh negara
kuasa besar.?
6) Dalam sistem Islam adanya Hisbah (Ombudsman)
yang menyiasat bukan sahaja terhadap hasil pendapatan tetapi termasuk
juga manusia yang mengurusnya.
7) Kisah kepimpinan melalui
tauladan yang berlaku ketika pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab yang
telah berjaya membebaskan tanah jajahan 2 kuasa besar dunia, Parsi dan
Rom. Islam telah berjaya membawa perubahan dengan kebebasan ekonomi yang
tidak menindas dan memperhambakan rakyat serta menjana kewangan negara
yang melimpah ruah.
8) Peristiwa menarik berlaku apabila
datangnya longgokan kain di Madinah untuk pakaian lalu dibahagi secara
percuma kepada sekalian penduduk. Setelah beberapa hari, Khalifah Umar
datang menemui rakyat dengan berpakaian baru. Khalifah memulakan ucapan
dengan berkata "sila dengar dan taat".
Tiba-tiba ada yang menyampuk
dengan berkata, "kami tidak mahu dengar dan taat sehinggalah Amirul
Mukminin memberi tahu dari mana datangnya pakaian baru yang dipakai itu
kerana mengikut pembahagian ianya tidak mencukupi badanmu yang besar,
sudah pasti ia diambil dari pintu belakang.?
Sehinggalah anak
Khalifah, Abdullah bin Umar memaklumkan bahawa dia menghadiahkan
bahagiannya kepada ayahnya. Setelah penjelasan diberikan, barulah
pengkritik menegaskan "sila teruskan ucapan, sekarang kami sedia
mendengar dan mematuhinya."
9) Kita sedang mengalami krisis
keyakinan yang lebih besar daripada sehelai kain. Berulang kali
berlakunya salahlaku dalam hasil, perbelanjaan dan pengurusan.
10) Ibnu Khaldun menegaskan bahawa manusia itu bermasyarakat madani
mengikut fitrahnya dengan syarat dibangunkan insannya dengan betul iaitu
aspek jasad, ruh, akal, individu, masyarakat sehingga mampu membina
negara dalam semua aspek.
11) Wawasan 2020 sudah hampir namun
tahap pencapaiannya belum hampir mencecah harapan. Kaum Bumiputera yang
sudah kebelakang tetap lebih jauh ke belakang kerana yang maju menjadi
lebih maju. Ianya adalah kerana konsep perlumbaan teori liberal
kapitalisme yang menjadikan kekayaan b
erpusing di kalangan tertentu sahaja.
12) Berlakunya perbahasan Bajet Tambahan setiap kali selepas adanya
persidangan Bajet Umum menunjukkan adanya lubang yang membocorkan
menjadikan kewangan peruntukannya tidak konsisten.
13) Muhasabah
sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita memerlukan pembetulan
terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan.
Kehilangan wang negara telah berlaku dalam pelbagai peristiwa tanpa
penyelesaian dan puncanya di letak dibawah karpet untuk dilupakan.
Undang-undang dan penguatkuasaannya laksana sarang labah-labah yang
hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang
besar.
Peristiwa terkini 1 MDB hanyalah mengulangi drama BMF,
PERWAJA, PKFZ, MAIKA HOLDING dan lain-lain. Tidak habis-habis
menyalahkan di antara satu sama lain silih berganti tanpa keinsafan.
14) Isu TPPA: Penyelesaian masalah ekonomi negara besar dibuat demi
kepentingannya sahaja dengan mempergunakan negara sederhana dan kecil di
atas konsep ekonomi bebas mengikut sistem liberal kapitalisme atau
sosialisme mengikut agenda globalisasi.
TPPA menghapuskan
sempadan bumi dan perairan negara bersamanya dihilangkan sempadan sifat
kemanusiaan sejagat dan hak asasi adil sesama manusia yang berkeluarga
secara masyarakat Madani.
15) Penjajahan purba merompak tanpa
undang-undang maka penjajahan baru diadakan undang-undang bagi
melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dimeteraikan
laksana cacing-cacing kerdil yang menumpang dalam perut ular yang lebih
besar atau iaknkecil menumpang jerung yang besar lagi ganas. Petani di
negara ini akan bersaing dengan petani negara besar yang lebih maju dan
canggih jenteranya. Nelayan kecil kita yang bersampan perlu menandingi
kapal armada nelayan meredah lautan. Begitu juga nasib kontraktor
tempatan akan bersaing dengan kontraktor gergasi yang masuk kerana
perjanjian yang merobekkan sempadan ekonomi negara.
16) TPPA
bukanlah penyelesaian ekonomi global bahkan lebih bersifat penjajah baru
dalam aspek ekonomi. Adalah lebih baik negara kita mengadakan kerjasama
serantau dengan negara terdekat seperti ASEAN, OIC, China, Jepun, Rusia
selepasnya diikuti Eropah dan Amerika. Bebaskan pergantungan dengan USD
kepada Dinar dan matawang ASEAN dan sebagainya daripada matawang negara
yang juga mengalami krisis ekonomi dengan menjadikan kita pelampung
penyelamat yang ditinggalkan selepas mereka selamat.
17) Krisis Keamanan dan Keselamatan:
Allah menjanjikan keamanan akan wujud apabila syariat Islam yang ada
kehebatan menggerunkan penjenayah. Sudah tiba masanya kita kembali
kepada syariat Islam yang adil daripada rahmat Allah. Cukuplah memberi
keinsafan dengan kelemahan undang-undang ciptaan manusia dengan
peningkatan jenayah.
18) Semua kekacauan yang berlaku di Asia
Barat khususnya adalah agenda penjajah, negara kuasa besar yang pernah
mencetuskan 2 perang dunia yang dahsyat.
Negara umat Islam kaya
dengan sumber alam dan berkedudukan strategik dalam geografi peta dunia
yang menjadi laluan sumber tenaga dan perjalanan perdagangan.
Selat Melaka antara Malaysia dan Indonesia, Bab Mandab pintu Laut Merah,
Terusan Suz di Mesir, Selat Bosphorus pintu Laut Hitam dan Laut
Mediterranean adalah tanah air ummat Islam. Maka, kawasan inilah sering
menjadi mangsa peperangan.
19) Konflik yang berlaku di sana
sekarang adalah agenda serampang lebih 2 mata, bagi menyelamatkan
Israel, peperangan menjana ekonomi dengan permainan harga minyak,
perniagaan senjata dengan mencetuskan peperangan secara proksi di atas
kejahilan agama dan semangat perkauman yang sempit.
Semua pihak
dibekalkan senjata dan logistik bagi berbunuhan sesama sendiri dengan
menggunakan kesilapan yang berlaku seperti kezaliman pemerintah,
perbezaan agama, mazhab dan kaum.
Sebenarnya sudah beribu tahun
mereka di sana dan Islamlah yang telah menyatukan mereka. Bukan Islam
yang salah tetapi kejahilan setempat, kezaliman pemerintah dan musuh
luar.
20) Kita wajib membezakan di antara menentang musuh luar yang menceroboh dan menghadapi kesilapan dalam negara sendiri.
Di atas konsep ini, maka PAS sang
gup bertahan kalah teruk dan sedikit kemenangan walaupun kemenangan
yang dikejar kelihatan terlalu jauh. Kerana kami berpegang kepada janji
Allah iaitu 2 kemenangan Dunia dan kemenangan Akhirat.
21)
Bahkan, kita berjanji tetap bersama menentang musuh luar dan sesiapa
sahaja yang mahu mengganggu urusan negara kita walaupun dalam perkara
masalah yang wajib kita betulkan. Biar kita sendiri dan kebijaksanaan
kita sendiri. Jangan sesekali menjemput musuh datang ke sini.!
(ketika ini, kedengaran bunyi tepukan meja dewan tanda sokongan para Ahli Dewan)
Kita mahu mengharamkan peristiwa penjajahan berulang lagi kerana Nabi
Muhammad S.A.W bersabda; "Tidak seharusnya orang mukmin itu disengat
sebanyak 2 kali daripada 1 lubang."
22) Isu Al Aqsa:
Langkah
penyelesaian secara kewujudan 2 negara adalah mustahil dan tidak lebih
daripada mengiktiraf negara rompakan terhadap bumi Palestin dan
penubuhan negara haram Israel yang menjaga kepentingan kuasa besar di
Asia Barat.
Al Quran telah pun memberikan penyelesaiannya dalam
ayat 40; Surah Al Haj yang menyebut berkenaan masyarakat majmuk. Islam
telah mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai tanah suci kepada penganut 3
agama Samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
23) Isu Pelarian:
Isu pelarian kini menjadi isu global apabila berlakunya politik dan
ekonomi yang zalim meminggirkan sesama manusia. Islam memberi
penyelesaian kepada isu ini seperti terkandung di dalam ayat 6; Surah At
Taubah.
Walaupun pelarian yang datang itu dalam kalangan
penganut bukan Islam, mereka wajib diberi perlindungan dan menunjukkan
Islam memberi jaminan hak kemanusiaan sehingga merentasi sempadan agama
yang berbeza dan mereka juga tidak dipaksa memeluk Islam.
Konsep Islam inilah menjadi panduan undang-undang antarabangsa dan Piagam Geneva yang berkait dengan pelarian.
Nota Tambahan:
a) Ucapan Tuan Guru Presiden ini disiapkan dan ditaip oleh beliau
sendiri. Saya hanya memetik sebahagian sahaja daripada teks penuh
setebal 36 muka surat
b) YB Tuan Guru berucap selama 40 minit.
Sebenarnya, masa diperuntukkan hanya 30 minit, tetapi suasana dewan
ketika beliau berbahas sunyi-sepi tanpa sebarang gangguan. Dato'
Timbalan Speaker pun diam sahaja walaupun masa dah tamat..hehe
c)
Ucapan Tuan Guru ini menyentuh pelbagai aspek daripada pengurusan dan
pentadbiran negara sehinggalah hal ehwal politik antarabangsa yang
sememangnya menjadi kepakaran beliau yang memegang jawatan Naib Ketua
Kesatuan UIama Sedunia.
Beliau membuat teguran, kritikan dan
cadangan penyelesaian dengan berlandaskan dalil nas Al Quran dan Hadis
serta Sirah Nabawiyah dalam konteks realiti semasa hari ini.
d) Antara ayat menarik dalam ucapan beliau yang masih terngiang di telinga saya ialah:
"Di atas konsep ini, maka PAS sanggup bertahan kalah teruk dan sedikit
kemenangan walaupun kemenangan yang dikejar kelihatan terlalu jauh.
Kerana kami berpegang kepada janji Allah iaitu 2 kemenangan Dunia dan Akhirat.."
e) InsyaAllah, pihak kami akan membuat sebaran rakaman penuh ucapan
perbahasan YB Marang melalui channel youtube TV PAS.. Tonton dan dengar
sendiri pastinya lebih indah daripada catatan ini...
Catatan Oleh,
Syed Ahmad Fadhli, Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS.
8.45mlm, 26 Oktober 2015