Keracunan Makanan Boleh Dielak
Resmi kita, apabila memilih
tempat-tempat makan mahupun restoran - tinjau dahulu dari jauh, ramai
atau tidak pengunjungnya. Kalau ramai, maknanya sedaplah makanan yang
disediakan. Sebaliknya, jika lengang sahaja, `mesti tak sedaplah tu',
begitu kesimpulan mudah yang dibuat.
Setelah berpuas hati dengan hasil
tinjauan dan dalam pada kaki mengatur langkah menghampiri premis
berkenaan untuk menjamu selera, tiba-tiba mata kita tersorot insiden
ini.
``Arggkkkhhh... ptuih!'' Dengan tidak
semena-mena pengendali makanan tidak kira sama ada tukang masak,
pelayan, juruwang mahupun pemilik premis meludahkan air liur atau
kahaknya sesuka hati.
Seorang pekerja yang lain pula mengorek
hidung dan telinganya sambil menggaru-garu kepala atau bahagian-bahagian
lain anggota badannya. Salah seorang daripada mereka juga, kukunya
kalau secara kiasannya, nah! Panjang sedepa.
Tidak kurang juga yang mengamalkan
kelakuan buruk seperti merokok, bersin dan berbual-bual semasa sedang
menyediakan makanan. Sesekali ada kelibat seekor kucing yang keluar dari
longkang tetapi rupa-rupanya tikus mondok bersaiz gergasi, menumpang
lalu di situ. Jika demikianlah senarionya, anda mempunyai peluang yang
sangat cerah untuk mendapat keracunan makanan.
|
|
Bahaya Toksin
Tanggal 16 Januari 2005, seramai 126
pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah, Semambu, Kuantan, Pahang terpaksa
dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan kerana dipercayai mengalami
keracunan makanan. Mereka mengalami muntah dan cirit-birit selepas
menikmati nasi lemak, nasi ayam dan kari ayam yang memang agak berlainan
rasanya, tidak seperti kebiasaannya, berdasarkan maklumat awal mangsa.
Enam daripada mereka yang sedang
menjalani program induksi itu terpaksa ditahan di wad pemerhatian khas
untuk rawatan lanjut. Menurut Dr. Abd. Rahim, pencemaran makanan utama
terbahagi kepada tiga jenis iaitu, Biologi; bakteria, virus, fungus,
kulat dan yis; Fizikal; benda atau bahan asing seperti rambut, cebisan
kaca, paku dan lain-lain; Kimia; racun serangga, racun rumpai, bahan
pencuci kimia, aditif makanan seperti pengawet yang berlebihan.
Beliau berkata, makan makanan atau
meminum minuman yang mengandungi toksin atau racun semula jadi seperti
sesetengah jenis kulat, cendawan, makanan laut dan sebagainya merupakan
antara beberapa punca utama berlakunya keracunan makanan.
"Gejala yang dialami adalah berbeza bagi
setiap orang. Ia bergantung kepada jenis racun atau bakteria, jumlah
racun atau bakteria yang termakan, umur dan daya ketahanan tubuh
seseorang,'' kata Dr. Abd. Rahim.
Tambahnya, tanda-tanda dan gejala
biasanya mulai timbul beberapa jam selepas memakan makanan yang tercemar
atau beberapa hari kemudian. Ditanya mengapakah kes-kes keracunan
makanan berlaku, beliau berkata, rata-ratanya ia disebabkan oleh sikap
pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri baik ketika
menyedia, menghidang mahupun menjual makanan.
``Mereka tidak mengendahkan kebersihan
persekitaran luar dan dalam premis makanan selain membiarkan sahaja
makanan terdedah kepada serangga atau haiwan lain dan pencemaran
fizikal. Menggalakkan amalan pelanggan mengambil sendiri makanan tanpa
kawalan atau konsep layan diri juga boleh meningkatkan risiko keracunan
makanan,'' kata Dr. Abd. Rahim.
Katanya, keracunan makanan dapat
dielakkan jika pengguna tidak melanggani atau dalam kata lain,
``pakat-pakat memboikot premis makanan yang kotor''.
Orang ramai juga disarankan agar tidak
memakan makanan dalam tin kemik atau berkarat, paket bocor,
menggelembung, rosak dalam apa jua bentuk serta tamat tempoh
penggunaannya.
Cara paling berkesan untuk mencegah
keracunan makanan yang boleh dikatakan dilaporkan terjadi dari semasa ke
semasa, adalah dengan melindunginya daripada tercemar.
Keracunan makanan menyebabkan ketidakselesaan perut
Langkah-langkah Mengawasi Punca Pencemaran:
Manusia
-
Membasuh tangan dengan bersih terutamanya selepas ke tandas, memegang bahan mentah, membuang sampah sarap atau sisa-sisa makanan
-
Memastikan peralatan yang rosak, sumbing atau retak tidak digunakan lagi
-
Sentiasa menudung makanan yang dihidang
-
Tidak menyediakan makanan terlalu awal
-
Belajar tidak menjamah atau mengambil makanan dengan tangan yang kotor.
-
Bahan mentah
-
Bahan-bahan mentah terutama daging atau hasilnya harus disimpan pada suhu rendah (kurang 40 Celcius)
-
Bahan mentah harus disimpan berasingan daripada makanan yang sudah dimasak dan sedia untuk dimakan.
-
Ini dapat mengelakkan pencemaran silang dari bahan mentah ke makanan yang sedia dimakan.
-
Gunakan peralatan seperti pisau dan papan memotong berasingan bagi mengelakkan pencemaran silang
-
Cuci bahan mentah dengan teliti untuk mengeluarkan kekotoran dan bendasing pada permukaannya
-
Basuh tangan secara teliti setelah memegang bahan mentah seperti daging mentah sebelum mengendalikan makanan yang sedia dimakan seperti kuih-muih dan salad.
Serangga dan Haiwan
-
Makhluk perosak seperti lalat, lipas, tikus, burung dan binatang peliharaan adalah pembawa habuk, kekotoran dan bakteria
-
Kawalan serangga dan haiwan ini akan membantu mengurangkan pencemaran makanan secara berkesan.
Bekalan air
-
Jika air yang digunakan tidak diperoleh secara langsung dari sumber utama, contohnya dari tangki yang terdedah atau menggunakan sambungan paip getah, pencemaran boleh berlaku melalui kebocoran ini.
Sisa dan bahan buangan
-
Bahan buangan mengandungi makanan yang sedang mereput, sisa kulit kupasan dan bahan organik yang menjadi sumber bakteria hidup dan membiak dengan mudah
-
Bekas sisa dan sampah sarap yang terdedah atau melimpah akan menarik haiwan dan serangga perosak seperti tikus, burung, lalat dan lipas.Sumber pmr Penerangan Malaysia gov.my
No comments:
Post a Comment