Pelarian Rohingya yang dilayan seperti hamba di Thailand |
Sekiranya kita melakukan tinjauan di kalangan umat islam hari ini dan
bertanya mengenai umat Islam yang tertindas, nescaya kita akan mendapat
jawapan Palestin,
Afghanistan, Iraq, Chechnya dan sebagainya. Namun tidak ramai di
kalangan kita yang menginsafi terhadap permasalahan umat Islam Rohingya.
Selama beberapa dekad, orang-orang Rohingya telah menjadi mangsa
pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta
tentera Myanmar (Burma).
Dalam satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Hak Asasi
Manusia Ireland (ICHR), seorang pakar undang-undang hak asasi manusia
antarabangsa mendakwa bahawa kekejaman massa yang dilakukan oleh
kerajaan junta tentera terhadap minoriti Rohingya yang tinggal di daerah
Barat Myammar mungkin merupakan antara jenayah terhebat terhadap
kemanusiaan di abad ini.
Permasalahan mereka telah telah diabaikan selama bertahun-tahun dan
tiada sebarang tindakan yang sistematik telah dilakukan untuk membantu
mereka meneruskan kehidupan sebagai masyarakat manusia yang normal.
Siapakah umat Islam Rohingya?
Umat
Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Burma (kini
Myanmar) di Negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka
adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain
yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan, dan
Bengali. Penyebaran Islam di Arakan (dan di sepanjang kawasan pantai
selatan Bangladesh) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia
Barat ini.
Mereka terus menetap di kawasan ini untuk tempoh yang panjang,
berkahwin dengan penduduk setempat dan hidup sebati dengan budaya
tempatan. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah
penduduk wilayah Arakan, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha
Arakanese.
Apakah nasib mereka?
Umat Islam Rohingya telah dinafikan daripada hak-hak asasi
kemanusiaan dan sentiasa terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia
secara konsisten oleh pihak juta tentera Myanmar.
a) Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka.
b) Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek
pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayan Arakan
c) Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti
bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan
bangunan berek tentera.
d) Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran
e) Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
f) Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar
g) Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942
apabila lebih 100,000 orang di kalangan mereka yang telah dibunuh.
h) Pada tahun 1978, seramai 300,000 di kalangan mereka telah
dihalau keluar secara massa ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan
untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai di
kalangan mereka mati kebuluran dan akibat penyakit.
Pada tahun 1991, tentera Burma sekali lagi telah melakukan operasi
pembersihan apabila 268,000 ribu di kalangan mereka terpaksa melarikan
diri kerana Myanmar ternyata tidak lagi selamat untuk mereka
Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan
besar, mereka mula mengambil bot-bot kecil ke laut terbuka dengan
harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi
dan agama.
Ada di kalangan mereka yang mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia
dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah ditolak
mentah-mentah oleh semua negara ini.
Bahkan ramai di kalangan ‘orang bot’ yang mendarat di Thailand telah
dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut
enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju.
Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan
Australia tetapi ribuan di kalangan mereka yang telah mati lemas atau
kebuluran di tengah laut.
Tiada siapa yang mahukan mereka ! Bahkan negara-negara yang mendakwa
mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan
bahawa seolah-olah umat ini ‘tidak ada harga’ kepada mereka.
Pelarian Rohingya di Acheh |
Umat Islam Rohingya telah memohon diberikan status ‘Pelarian
Sementara Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain
bersetuju untuk mengambil mereka buat sementara. Indonesia dikatakan
akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat
sementara.
Kalau bukan kita, siapa lagi ?
Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas
buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun
mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan
kemanusiaan daripada saudara seaqidah mereka.
Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap
orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat
dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah
saw yang bermaksud,
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Beberapa saranan :
- Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil inisiatif untuk menjuarai isu umat Islam Rohingya samada di peringkat antarabangsa dengan menyuarakan permasalahan kronik ini di persidangan OIC, PBB, WHO, ASEAN dan sebagainya.
- Badan-badan kerajaan di peringkat nasional dan negeri seharusnya mengambil tanggung-jawab kerana semakin ramai di kalangan umat Islam Rohingya yang telah mendarat bagi mendapatkan perlindungan di Malaysia. Mereka adalah pendatang yang jauh lebih baik untuk dibantu jika dibandingkan daripada kebanyakan pendatang Afrika yang kerap melakukan kekacauan di sana sini terhadap masyarakat temnpatan mahupun sebahagian daripada pelancung dari beberapa Negara yang terlibat dengan aktiviti pelacuran.
- NGO dan badan kebajikan yang ada di Malaysia harus mengambil bahagian bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh pelarian Rohingya yang sangat memerlukan bantuan di sudut sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan terutamanya di kalangan anak-anak mereka.
- Kalau rakyat Malaysia begitu perihatin dan pelbagai NGO telah ditubuh bagi menangani masalah umat antarabangsa seperti Palestin dan lain-lainnya, kenapa kita kita mengagihkan sedikit tenaga dan bantuan kepada saudara seaqidah yang kini terdampar di negara kita sendiri.
- Orang ramai di Malaysia seharusnya mengambil peluang menunjukkan keperihatinan terhadap isu kemanusiaan yang kronik ini dengan membantu meringankan bebanan kehidupan demi masa depan mereka.
- Kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta mengambil tahu perkembangan semasa terhadap keperitan umat yang berpanjangan ini.
Dari Nu’man bin Basyir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling
mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh.
Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa
sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”
Hadith riwayat Muslim
Sumber zainurrashid.com
No comments:
Post a Comment