Khairul Azhar Bin Idris Fellow |
Islam
memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan
diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah
dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi
sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang
mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus
daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping
mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang
baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari
kebaikan dan menghapuskan kejahatan.
Salah satu
peluang yang mesti direbut itu adalah mengejar kebaikan yang hanya
diberikan oleh Allah dalam bulan-bulan tertentu dan tidak pada
bulan-bulan yang lain. Jika ada, ganjaran di bulan tersebut tentunya
lebih baik lagi jika dibandingkan dengan kebaikan yang ada pada
bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya, setiap ganjaran akan diberikan oleh
Allah kepada para hambaNya dalam bulan-bulan tertentu. Ini bertujuan
untuk meningkatkan kesungguhan mereka berusaha dan beramal, malah ini
untuk kebaikan mereka juga. Inilah peluang keemasan yang semestinya
mereka kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik dan mulia. Sudah
tentu, mereka pula janganlah semata-mata ingin memperolehi ganjaran itu,
tetapi yang lebih utama adalah mendapatkan keredhaan Allah, dan inilah
yang lebih penting. Kerana ganjaran baik itu akan mereka perolehi jika
Allah meredhai amalan mereka.
Kelebihan yang
Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang
ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan
kelebihan bulan ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: Bulan
Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan
Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan
dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. Nabi S.A.W.
memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini
diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah.
Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal
ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.
Antara
amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa.
Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana
ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang.
Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika
dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W
bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan
Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah
Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi
Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini,
dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam
kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan
aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.
Dalam
sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud,
Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan
Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan
mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan
sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid. Itulah
antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban. Di samping itu, berpuasa
dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah
puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.
Seterusnya
bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang
beriman akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu
yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10
Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya,
iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Di
samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan
memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul
S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang
malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan
pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa,
sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah
mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan
dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan
riba�, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu
domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan.
Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka
benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.
Inilah
antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya
dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi
semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan
bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah
sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha
mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan
mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga
bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang
lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya
masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum
datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup
sebelum datangnya mati.
Sumber www.ikim.gov.my
|
Wednesday, June 20, 2012
Fadhilat Bulan Syaaban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment