Mohd Yusof Hadhari, |
Syeikh Hasan al-Banna |
Kita
renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan
oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam
pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan
yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam
pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang
serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada
yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok
yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam
menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan
perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah
untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad,
dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan
takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan
perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka
untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam
masyarakat.
Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh
Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu memperbaiki diri
sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya,
maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di
sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan
Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu
menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan
amal yang mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.
“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara
mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan
membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari,
qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah
basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu
wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu
kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak
dekat dengan Allah.”
Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam
membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran, halangan dan
masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan
umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan
di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat
golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang
percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak
dan golongan yang menentang.
Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili
Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia
termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang diperoleh Ikhwan
Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus
semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.
Di sebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu
bukan diraih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata,
tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah
subhanahu wataala dalam perjuangan mereka. Melihat kepada anggota
Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140
orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10,000
hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang
bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih
dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang
adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang
wanita yang bertudung kemas.
Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan?
Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam
sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh?
Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “ Bagaimana mata ini dapat
tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan
kembali di antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun
yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan
superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan
ialah qiamullail.
Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang
bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir. Semoga kemenangan Islam
akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13
akan datang.
"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi
Allah tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa
yang tidak dicintai-Nya."
Sumber harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment