Telaga Zam Zam semakin
dikunjungi manusia, sehingga itu terbangun sebuah masyarakat baru.
Perkembangan secara mendadak ini telah sampai pada pengetahuan beberapa
suku kaum yang menetap di bahagian pendalaman kota Makkah. Ini menarik
perhatian mereka dan dengan itu mereka mengambil kesempatan untuk
sama-sama menyertai serta mendapatkan manfaat dari telaga suci Zam-Zam.
Hajar, ibu Nabi Ismail
tidak keberatan menerima penghijrahan mereka. Malah Hajar menyambut
mereka sebagai tetamu-tetamu terhormat dengan diberi layanan yang
sebaik-baiknya. Keadaan ini mereka menghormati dan memuliakan lagi
keluarga Nabi Ibrahim. Juga mereka bersedia mematuhi peraturan-peraturan
yang telah diatur dan ditetapkan oleh Hajar. Justeru itu keadaan ini
membawa mereka hidup dalam suasana berkasih sayang dan saling bertolong
bantu.
Nabi Ismail yang kian
dewasa, hidup di tengah-tengah kelompok masyarakat itu, turut
melaksanakan tugas suci seperti Nabi Ibrahim. Menyebar dan menyampaikan
risalah Allah serta membawa masyarakat sekelilingnya kepada jalan yang
benar, sehingga akhirnya bangsa Arab yang terkenal dengan sikap kasar
dan bengis itu mengubah sikap mereka.
Nabi Ismail seterusnya
membina sebuah keluarga dengan menikahi seorang gadis dari bangsa
Jurhum. Namun dengan gadis pertama ini, kehidupan mereka tidak kekal
lama. Melalui isteri keduanya, kebahagiaan hidup dapat dirasai oleh Nabi
Ismail di samping anak-anak yang dikurniakan sebagai keturunannya. Dan
dari keturunan itu lahirnya Nabi Muhammad SAW.
Kerinduan Nabi Ibrahim
yang sekian lama berpisah dengan puteranya Ismail kian menebal di
dadanya. Namun kerana tugasnya sebagai Nabi Allah, menyampaikan dakwah
dan risalah Allah, keinginannya untuk bertemu itu ditangguhkan pada
suatu masa yang belum pasti.
Nabi Ibrahim terpaksa
mengembara ke seluruh pelusuk padang pasir yang amat luas, bagi menemui
rombongan-rombongan atau kafilah-kafilah manusia, menyeru dan mengajak
mereka pada agama yang benar menyembah dan mengEsakan Allah. Inilah
suatu tugas berat yang mesti dilaksanakan oleh baginda sebagai utusan
Allah.
Sementara Nabi Ismail
pula tetap berada di sekitar telaga Zam Zam, yang terus menerus
mengeluarkan airnya dan sentiasa dikunjungi manusia, sehingga
pertambahan mereka menyebabkan keadaan di sekitar Zam Zam berubah kepada
sebuah kota, iaitu yang selalu disebut-sebut mereka sebagai kota
Makkah.
Ketika Nabi Ibrahim
sibuk dengan tugasnya mengajak dan menyeru manusia menyembah Allah, maka
Allah SWT telah menurunkan wahyu memerintahnya mendirikan Rumah Allah
(Baitillahil Haram) iaitu Kaabah berhampiran telaga Zam Zam. Tugas suci
ini mesti dilakukan bersama-sama anaknya Nabi Ismail.
Dengan itu Nabi Ibrahim
segera menuju ke Makkah, mendapatkan Ismail. Tiba di Mekah mereka
bertemu di telaga Zam Zam. Di dalam kemuncak kegembiraan atas pertemuan
itu Nabi Ibrahim memberitahu Nabi Ismail akan wahyu Allah yang
diterimanya, “Wahai anakku Allah telah memerintahkan kepadaku untuk
mendirikan sebuah rumah di atas dataran yang tinggi itu.” Binaan Rumah
Allah akan dibina berhampiran telaga Zam-Zam.
Mendengarkan perintah
itu Nabi Ismail yang sangat taat pada Allah dan kedua orang tuanya,
hanya menundukkan kepalanya tanpa sebarang kata. Setelah itu kedua Nabi
Suci Allah segera menuju pada tempat yang telah ditetapkan oleh Nabi
Ibrahim secara tapak pembinaan Baitillahil Haram. Dengan dibantu oleh
beberapa alat dan dengan tulang empat kerat yang ada, mereka membuat
kerja-kerja mendatarkan tanah, mengangkut, mengumpulkan pasir dan
seterusnya sedikit demi sedikit meninggikan beberapa tiang dan benteng
Kaabah.
Dalam pada mereka
bekerja keras berhempas pulas mengerjakan pembinaan Rumah Allah, kedua
Nabi suci itu memanjatkan doa kepada Allah dengan berkata, “Ya Allah.
Terimalah persembahan kami, Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Wahai Tuhan Jadikanlah kami muslimin untuk Engkau, begitu pula anak dan
keturunan kami semua menjadi umat yang Islam. Tunjukkanlan kepada kami
akan cara peribadatan kami, berilah ampun terhadap kami, kerana Engkau
Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”
Doa Nabi Ibrahim ini Allah SWT rakamkam dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 128.
Nabi Ibrahim ketika
berdoa, baginda telah berdiri pada satu tempat yang berhampiran dengan
bangunan Kaabah yang sedang dalam pembinaan. Dan tempat berdiri baginda
itulah yang dinamakan Maqam Ibrahim yang sekarang ini sesiapa yang
mengadakan tawaf di rumah suci Allah itu disunnahkan melakukan
sembahyang sunat dua rakaat dan berdoa. Maqam NaD Ibrahim ini adalah
merupakan di antara tempat-tempat berdoa yang dimakbulkan Allah.
Sehinggalah di saat ini tempat itu sentiasa menjadi rebutan ribuan
manusia setiap tahun yang tidak pernah kosong dari dahulu dan sekarang.
Doa yang telah diucapkan
oleh Nabi Ibrahim itu mengandungi dua makna terpenting. Pertamanya,
merupakan persembahan kepada Allah terhadap apa yang telah mereka
kerjakan. Bergantung kepada sejauh mana penilaian Allah terhadap
usaha-usaha mereka. Sementara yang keduanya, mengandungi permohonan atau
pengharapan. Mengharap agar Allah menjadikan Ibrahim dan Ismail serta
keturunan mereka menjadi manusia yang beragama Islam dan dipilih menjadi
orang-orang yang beriman serta yang menyerah diri semata-mata kepada
Allah. Dan juga agar Allah menunjukkan kepada mereka cara-cara beribadah
yang sebenarnya.
Nabi Ibrahim dan Ismail
kembali meneruskan pekerjaan yang belum selesai. Setelah binaan Kaabah
hampir siap, mereka dapati masih ada kekurangan yang perlu ditambah.
Waktu itulah Allah SWT dengan kekuasaan-Nya menghantarkan kepada mereka
seketul batu hitam dari syurga. Batu yang luar biasa keadaannya,
berwarna hitam (asal berwarna putih) serta berkilat.
Oleh kerana gembiranya
mereka mendapatkan pemberian besar dari Allah itu, mereka mengucapkan
syukur berulang-ulang kali sambil mengucup batu tersebut dan di waktu
yang sama mereka membawanya mengelilingi Rumah Allah dan sama-sama
meletakkan pada tempatnya, yang sekarang ini dinamakan Hajar Aswad.
Peristiwa ini dijadikan
salah satu dari ibadah- ibadah sunat yang digalakkan melakukannya semasa
mengerjakan haji. Kerana itu pada setiap kali musim haji, mereka yang
tawaf keliling Kaabah berebut-rebut untuk mengucup batu hitam tersebut.
Sementara mereka yang tidak berpeluang berbuat demikian memadailah
dengan mengangkat tangannya sebagai syarat ke arah batu hitam dan
mencium tangannya. Seolah-olah ia juga turut menciumi Hajar Aswad.
Sekalipun ibadah ini
bukan ibadah yang wajib, tetapi setiap muslimin yang datang ke situ
berhabis tenaga untuk mendapatkannya, kerana ia memberi kesan mendalam
bagi seseorang yang dapat berbuat demikian seperti mencium Nabi Allah
Ibrahim dan Nabi Ismail. Merekalah orang yang pertama sekali melakukan
begitu pada Hajar Aswad. Begitu juga seakan-akan mencium Nabi Muhammad,
para sahabat, orang-orang soleh yang pernah datang ke situ.
Pengaruh ini dibawa oleh
seorang yang bernama Amar bin Lahyin. Seorang yang terkenal dengan
hartawan dan juga dermawan. Kedermawanan Amar pernah satu ketika
menyumbangkan 10,000 ekor unta dan membahagi-bahagikan makanan dan
pakaian kepada berpuluh-puluh ribu jemaah haji. Oleh kerana kebanyakan
jemaah haji yang datang itu terdiri dari mereka yang kurang pengetahuan
dan kefahaman tentang ajaran Ibrahim, mereka menganggap perbuatan Amar
itu sebagai satu perbuatan yang suci. Mereka juga menganggap Amar
seorang yang mulia dan suci sehingga menyama tarafkan Amar dengan Tuhan.
Segala apa yang dikatakan oleh Amar dianggap wahyu dan syariat.
Akhirnya berubah dan terbubar keseluruhan ajaran Nabi Ibrahim. Dan
manusia kembali kufur dan derhaka kepada Allah.
Mereka kembali kepada
ajaran umat manusia sebelum kedatangan Nabi dan Rasul. Mereka menyembah
berhala dan memuliakan binatang (unta). Menyembah Al Manat, Yaghut, Nasr
dan lain-lain berhala yang sengaja mereka bawa masuk ke kota suci
Makkah dan memenuhi Kaabah dengan patung-patung berhala mereka. Hingga
Kota Makkah dan seluruh Tanah Arab dipenuhi berhala dan cara penyembahan
yang karut itu. Demikianlah besarnya pengaruh manusia kepada ajaran
Amar.
Namun demikian Allah SWT
tidak akan membiarkan bumi-Nya dipenuhi oleh kejahilan, kederhakaan dan
kekurafatan manusia. Maka Allah mengutuskan Nabi Muhammad dari
keturunan Ismail dan Ibrahim, untuk seluruh umat manusia. Kedatangan
bagindaadalah membersih dan mengembalikan manusia kepada menyembah dan
mengesakan Allah SWT.
Demikianlah Allah telah
menerima permohonan dan doa Nabi Ibrahim dan Ismail. Sementara
perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahbat serta orang-orang
soleh, juga para ulama menegakkan kembali ajaran Allah, bukan sahaja
terpikul di atas bahu mereka, malah inilah juga perjuangan bagi seluruh
umat muslimin, dalam mengajak manusia kepada kebenaran.
Firman Allah pada akhir
surah Al Haj yang bermaksud: “Berjuanglah kamu di jalan Allah dengan
sebenar-benar kesungguhan (jiwa, raga dan harta). Ia (Allah) sudah
memilih kamu dan tidaklah ia menjadikan satu perkara yang amat berat
atas kamu dalam agama ini, iaitu agama yang diajarkan oleh bapa kamu
Ibrahim, lalah yang menamakan kamu Muslimin sebelum ini dan juga dalam
Al Quran, agar Rasul itu menjadi penyampai (berita) kepada kamu. Maka
dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat, dan berpeganglah dengan agama
Allah. Ia Tuhan kamu, adalah sebaik- baik Tuhan dan sebaik-baik
penolong.”
Tindakan ini
melambangkan rasa cinta-iaitu cinta seorang hamba terhadap
kekasih-kekasih Allah. Ini juga bererti mencintai Allah. Kerana
kecintaan inilah yang menarik jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk
dunia untuk datang mengerjakan haji dan tawaf di Kaabah atau Baitul Atiq
atau Baitul Makmur iaitu rumah yang selalu dikunjungi manusia,
sebagaimana Baitul Makmur yang ada di langit tempat tumpuan para
Malaikat.
Setelah pembinaan rumah
Allah itu selesai, maka Allah mengajarkan kepada Nabi Ibrahim dan Ismail
bagaimana untuk mengerjakan ibadah haji iaitu cara penyembahan terhadap
Allah SWT. Dengan ibadah ini jugalah Nabi Ibrahim dan Ismail menyampai
dan menunjuk ajar kepada semua para nabi dan rasul yang kemudiannya
hinggalah ibadah haji ini sampai kepada Nabi terakhir dan penutu segala
nabi iaitu Nabi Muhammad SAW. Ibadah-ibadah yang termasuk sembahyang,
puasa, zakat dan haji, kerana nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan
kemudian hanya tinggal meneruskan saja ajaran Nabi Ibrahim.
Akhirnya Nabi Ibrahim
berdoa lagi pada Allah, “Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya aku menempatkan
anak turunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan
manusia, di sekirat rumah Engkau yang suci (Kaabah). Ya Tuhan! Agar
mereka mendirikan sembahyang. Jadikanlah tempat ini sebagai tempat
bertawaf, iktikaf, rukuk dan sujud. Jadikanlah hati manusia tertarik dan
simpati terhadap mereka. Berikanlah rezeki kepada mereka dari
buah-buahan. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur.”
“Wahai Tuhan!
Bangkitkanlah seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan
kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kepada mereka kitab dan
hikmah, serta yang akan membersihkan mereka, kerana sesungguhnya Engkau
Maha Gagah, lagi Maha Bijaksana.”
Berabad-abad telah
berlalu, setelah kewatatan Nabi Ibrahim dan Ismail, Makkah Baitillahil
Haram semakin menjadi tumpuan dan kunjungan manusia dari seluruh dunia
untuk melakukan ibadah haji dan umrah. Yang dikerjakan dalam bulan-bulan
tertentu dalam bulan Islam. Namun demikian, lama kelamaan, mereka mulai
lupa kepada ajaran Nabi Ibrahim. Syariat yang diwahyukan Allah kepada
Nabi Ibrahim satu demi satu mereka tinggalkan. Mereka mereka dan menokok
tambah cara-cara ibadah yang sedia ada dengan cara dan kehendak mereka
sendiri. Mereka bukan lagi menyembah Allah tetapi menyembah Rumah Allah
iaitu Kaabah dan berhala.
*Sumber dari cintarindurasul.blogspot.com
No comments:
Post a Comment