Thursday, January 28, 2016

Terkejut jumpa objek seperti serpihan pesawat


Terkejut jumpa objek seperti serpihan pesawat
Zakaria menunjukkan objek logam dipercayai serpihan pesawat yang ditemuinya di pantai Beting Lintang. – Foto Sinar Harian
 
BESUT - Seorang tukang rumah terkejut apabila menemui satu objek disyaki serpihan bangkai pesawat di tepi pantai Beting Lintang  dekat Kampung Raja, di sini petang semalam.
Penemuan serpihan tersebut menyebabkan timbul spekulasi ia mungkin milik pesawat Malaysia Airlines  System (MAS) penerbangan MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu.
Lelaki terbabit, Zakaria Muhammad, 26, berkata, dia menemui satu serpihan logam besar itu ketika berjalan di tepi pantai bersama anak perempuannya  berusia 9 tahun  kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, sebaik sahaja terpandang objek yang berada  di dalam air di tepi pantai tersebut, dia bertindak menarik objek tersebut ke pantai.
“Selepas terpandang objek tersebut, saya terus terlintas ia adalah serpihan pesawat (MH370) kerana bentuk dan warnanya.
“Apabila saya mendekati objek itu, saya bertambah yakin kerana ia adalah kepingan logam tahan karat aluminium,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zakaria berkata lagi, sebaik menemui objek itu petang semalam dia hanya memaklumkan penemuan tersebut kepada beberapa penduduk kampung sebelum berita penemuan itu menjadi heboh selepas tersebar melalui laman sosial pagi tadi.
Menurutnya, bangkai tersebut yang dianggarkan berukuran kira-kira tiga meter panjang dan satu meter lebar mempunyai beberapa lapisan logam serta kesan telah terpisah daripada bahagian lain.
Zakaria lagi, ada beberapa individu dipercayai terlibat dalam bidang penerbangan datang melihat serpihan ini kira-kira jam 11 pagi semalam dan mendakwa serpihan tersebut dipercayai sebahagian daripada kulit enjin sebuah pesawat.
“Penemuan ini sudah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  kampung ini semalam dan selepas itu orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat objek tersebut,” katanya yang seakan-akan bermimpi bertemu dengan serpihan sebuah pesawat itu.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut mendapati kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai yang datang untuk melihat secara dekat serpihan tersebut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah diketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan objek yang didakwa serpihan pesawat itu.
Menurutnya, anggota polis telah dihantar ke lokasi tersebut untuk memeriksa dan mengawasi  objek itu sebelum  dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah.
“Polis belum dapat mengesahkan apakah serpihan logam itu  sebenarnya tetapi  dakwaan mengatakan serpihan logam itu  menyerupai kulit bahagian enjin pesawat.
“Kita akan serahkan kepada pihak berkaitan untuk membuat pemeriksaan dan  mengesahkan objek yang ditemui itu,” katanya.

Sumber sinarharian

No comments:

Post a Comment